MB, Exco, Adun, pegawai, rakyat basah kuyup semasa solat

KOTA BHARU, 12 Mac – Hujan yang turun di sekitar bandar ini membasahkan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan serta ribuan rakyat yang menyertai solat sunat istisqa’ (solat mohon hujan).

Hujan agak lebat tiba-tiba turun pada rakaat pertama solat sunat Istisqa’ yang diadakan di Padang Perdana pagi tadi. Solat tersebut diimamkan Menteri Besar bermula kira-kira jam 8.30 pagi.

Ketika Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedang membaca surah pada rakaat pertama tiba-tiba hujan turun agak lebat sehingga membasahkan ribuan yang menunaikan solat.

Hujan hanya berhenti selepas selesai solat sunat tersebut. Akibatnya, semua yang hadir termasuk pembesar negeri dan pegawai kanan kerajaan kelihatan basah kuyup.

Program tadi dihadiri hampir kesemua pegawai kanan kerajaan negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Faudzi Che Mamat, Pengelola Istana, Datuk Abdul Halim Hamat dan Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Muhammad.

Adun Limbongan, Zainuddin Awang Hamat turut hadir menunaikan solat sunat berkenaan bersama rakyat jelata pelbagai peringkat dari kanak-kanak hingga orang dewasa.

Solat Istisqa’ tersebut merupakan kali kedua diadakan di Kelantan selepas pertama kali diadakan beberapa tahun lalu akibat kemarau panjang.

Cuaca kering dan panas kini melanda seluruh negara sehingga ada tempat paras sungai dan empangan semakin surut dan tanah-tanah menjadi merekah.

Ketika membaca khutbah Menteri Besar memalingkan badan ke arah kiblat seketika sebagai mengikut amalan sunnah Rasulullah s.a.w. ketika baginda mengerjakan solat Istisqa’.

Harakahdaily

Tags: ,

MB mohon menghadap Sultan Kelantan

Posted by admin on March 11th, 2010 in Isu Semasa No Comments

KOTA BHARU, 10 Mac – Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menghantar surat permohonan kepada istana Kelantan bagi memohon perkenan menghadap Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra.

Katanya, surat berkenaan dihantar bagi mendapatkan persetujuan mengadap baginda bersama anggota-anggota Exco kerajaan negeri.

“Sejak keberangkatan pulang baginda pada Khamis lalu pemimpin kerajaan negeri belum lagi mengadap biar pun telah menyambut keberangkatan pulang baginda dari Singapura,” katanya selepas mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Pada 4 Mac lalu, Sultan Kelantan berangkat pulang dari Singapura selepas mendapat rawatan lanjut di negara itu sejak 24 Mei lalu.

Sebelum itu, baginda menghadapi masalah jantung dan dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian.

Turut menyambut keberangkatan pulang baginda Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco kerajaan negeri dan pegawai kanan kerajaan negeri dan Persekutuan.

Bagaimanapun Menteri Besar tidak dapat hadir kerana sedang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian kerana masalah kesihatan.

Harakahdaily

Tags: , , ,

KOTA BHARU, 10 Mac – Ekoran keadaan kemarau yang agak luar biasa yang kini dirasai oleh seluruh rakyat Kelantan, kerajaan negeri akan menganjurkan majlis solat sunat istisqa.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, solat sunat berkenaan yang bakal diadakan Jumaat ini, bertujuan supaya Allah menurunkan hujan.

Beliau berkata demikian dalam sidang medianya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Menurutnya, amalan solat tersebut telah dilakukan oleh baginda Rasulullah s.a.w. sebelum ini untuk tujuan yang sama.

“Untuk mendapat rahmat di samping mengharapkan permohonan kita diterima Allah, esok saya seru semua rakyat Kelantan yang beragama Islam supaya bersedekah banyak-banyak di samping berpuasa sunat.

“Saya sendiri akan berpuasa esok hari, insya Allah dan akan bersedekah juga sekadar kemampuan yang ada pada saya kepada fakir miskin, insya Allah,” ujarnya.

Beliau memberitahu, Jumaat ini, rakyat Kelantan hendaklah hadir pada majlis itu selewat-lewatnya pukul 8.00 pagi, di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV.

Jelasnya, selain menunaikan solat sunat istisqa itu, beliau sendiri akan menyampaikan tazkirah mengenai pengertian solat itu berdasarkan hadis-hadis Rasulullah.

Sambungnya lagi, solat sunat berkenaan akan diadakan kira-kira pukul 8.30 pagi, iaitu selepas tazkirah.

Sehubungan itu, kuliah agama di Medan Ilmu dibatalkan yang digantikan dengan solat sunat dan tazkirah di perkarangan stadium.

Beliau bagaimanapun memberitahu, program solat sunat tersebut akan turut diadakan secara berperingkat di setiap kawasan dalam negeri ini.

Menurutnya, program itu akan diatur sendiri oleh penganjur di peringkat kawasan, bagaimanapun beliau juga akan hadir sekiranya dijemput.

“Saya setuju benar sekiranya solat sunat ini diadakan di seluruh Kelantan, pandai-pandailah nak buat ikut zon ke,” ujarnya.

Tuan Guru berkata, biarpun Kelantan tidak begitu kritikal menghadapi masalah air, bagaimanapun kemerosotan air sama ada di sungai dan telaga, agak ketara akibat cuaca terlalu panas.

Menyentuh tentang keperluan berjimat menggunakan air tidak seharusnya berlaku sewaktu musim kemarau, sebaliknya sepanjang masa sebagaimana mengikut ajaran Islam.

Tambahnya, rakyat Kelantan yang sudah terbiasa dengan air banyak, menyebabkan mereka menggunakan daripada yang sepatutnya.

“Saya selalu menyebut Nabi Muhammad s.a.w. mengambil wuduk hanya secupak air, dan mandi segantang air,” ujarnya.

Menurutnya, amat tidak wajar membazir air, sedangkan untuk mendapatkan bahan tersebut mengikut kaedah sains begitu sukar sekali.

Mengikut ahli sains dunia akan berperang kerana air kemudian hari nanti kerana kekurangan bahan itu sebagaimana sekarang berperang kerana minyak.

Kerana itu, tambahnya manusia wajib menjaga keperluannya demi untuk kegunaan masa panjang.

Menyentuh tentang catuan air pula, beliau memberitahu Kelantan tidak sampai ke peringkat itu.

Bagaimanapun, sambungnya catuan air bukan sewaktu ketiadaan air semata-mata, sebaliknya kerana Islam sendiri menggalakkan menjimatkan penggunaan air.

“Contohnya penggunaan air di masjid-masjid yang perlu benar berjimat, apa lagi bil airnya dibayar oleh pihak masjid sendiri dengan menggunakan wang sumbangan derma orang ramai.

“Kalau kita membazir bermakna kita membazir harta orang ramai,” ujarnya.

Harakahdaily

Tags: , , ,

Tok Guru lancar Laman Web Limbongan.net

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on March 9th, 2010 in DUN Limbongan 3 Comments

PASIR PUTEH, 9 Mac – Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat mengucapkan tahniah atas inisiatif Majlis Tindakan DUN (MTD) Limbongan menggunakan kemudahan ICT sebagai media untuk mendekati rakyat khususnya bagi DUN Limbongan.

Inisiatif berkenaan antaranya mewujudkan portal rasmi MTD Limbongan di alamat www.limbongan.net yang memberi kemudahan kepada rakyat terutama pengundi Limbongan mendapatkan makumat dan info terkini di samping menggemblengkan semua sumber manusia terutama yang memegang jawatan dalam kerajaan berfungsi dengan cekap dan berkesan.

“Portal MTD Limbongan sebagai wasilah memperkasakan falsafah kerajaan yang telah memerintah selama 20 tahun dengan moto ‘Membangun Bersama Islam’ dengan teras ‘ Ubudiyah, Mas’uliah dan Itqan’ yang ternyata telah mereaisasikan seluruh peringkat rakyat sehingga menolak akidah politik wang.

“Justeru itu, wang ehsan.. rakyat Kelantan menganggapnya sebagai najis rasuah kerana mereka memahami perkara ini,” katanya semasa merasmikan laman web www.limbongan.net di kediaman rasmi Adun Limbongan di Lorong Purnama, Sri Aman 1, di sini pagi ini.

Sementara itu Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat mengucapkan terima kasih kepada Tok Guru yang sanggup memenuhi undangan walau dalam keadaan beliau sepatutnya beristirehat selepas baru keluar dari hospital, baru-baru ini.

“Peranan website ini memang sebagai media alternatif yang boleh membina minda pemikiran pelayar semua peringkat, oleh itu pihak kerajaan melalui Exco Sains dan Teknologi telah melancarkan hub ICT bagi mengelak mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab merosak pemikiran masyarakat dengan maklumat-maklumat negatif dan berunsur maksiat,” katanya.

Tags: , , , ,

MB, Adun Limbongan lawat mangsa kebakaran

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on March 9th, 2010 in DUN Limbongan 1 Comment

PASIR PUTEH, 9 Mac – Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat meluangkan masa melawat mangsa kebakaran di Kampung Wakaf Lanas bersama Adun Limbongan serta isteri dan diiringi jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Kawasan Pasir Puteh, Pejabat Tanah dan Jajahan, Pejabat Kebajikan Masyarakat Jajahan.

Lawatan pagi ini menyerlahkan keperihatinan semua institusi kerajaan negeri memandangkan mangsa mempunyai lima anak dan menyarai seorang ibu yang lumpuh.

Dalam kejadian semalam, mangsa, Rohani Jaafar, 33, yang tinggal bersama ibunya yang lumpuh, Siti Khadijah Mat tinggal sehelai sepinggang apabila rumah kediamannya hangus dijilat api dalam kebakaran yang berlaku sekitar jam 10.

Dalam lawatan berkenaan, Tuan Guru Menteri Besar menyumbangkan derma peribadi sebanyak RM1,500 di samping bantuan kerusi roda menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat, manakala Pejabat Tanah dan Jajahan menyampaikan bantuan pendahuluan sebanyak RM1,000.

Tags: , , ,

Melawat mangsa kebakaran bersama Tok Guru

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on March 8th, 2010 in DUN Limbongan, Makluman No Comments

Insya-Allah pada 9 Mac 2010 (esok, Selasa), Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat akan membuat lawatan ke DUN Limbongan susulan tragedi kebakaran pagi tadi di Kampung Wakaf Lanas.

Tok Guru dijangka akan bersarapan pagi di kediaman Adun Limbongan dan dijadualkan akan melancar Laman Web DUN Limbongan (www.limbongan.net) sebelum melawat lokasi tragedi kebakaran di Kampung Wakaf Lanas.

Tags: , , ,