KOTA BHARU, 12 Mac – Solat sunat Istisqa’ yang dianjurkan kerajaan negeri pagi tadi bukan sahaja menakjubkan 2,000 jemaah yang hadir bahkan rakyat negeri ini apabila kerahmatannya langsung terbukti sebaik sahaja solat dimulakan.

Hujan mula turun ketika Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengimamkan solat berkenaan membaca surah al-Fatihah pada rekaat pertama.

Solat yang dimulakan pada pukul 8.30 pagi itu diadakan di Padang Perdana bersebelahan jalan berhadapan dengan Stadium Sultan Mohamad IV, di sini.

Hadir sama seluruh kepimpinan kerajaan negeri termasuk anggota exco, pegawai kanan negeri, wakil rakyat dan pelbagai lapisan rakyat Kelantan.

Nik Aziz yang ditemui selepas solat sunat tersebut melahirkan rasa syukur tidak terhingganya kerana menganggap doa rakyat Kelantan minta diturunkan hujan itu segera dimakbulkan Allah SWT.

“Syukur, kita sembahyang Istisqa’ hari ini mendapat sambutan baik dan di tengah-tengah sembahyang itu turun hujan.

“Saya sendiri telah didedah oleh Allah dengan air hujan yang pertama semasa sembahyang hari ini sangat-sangat besarlah harapan, mudah-mudahan Allah beri pada kita bahagia di dunia dan akhirat.

“Tiada erti kita bahagia di dunia tetapi akhirat kelak kita masuk neraka. Dengan sebab itu saya berusaha supaya rakyat Kelantan faham bahawa kesusahan yang berlaku atas dunia ini adalah berpunca daripada dosa.

“Ayat-ayat Quran banyak menyebut bala yang menimpa manusia ini adalah berpunca daripada dosa.

“Oleh yang demikian kita kena pakat-pakat (sama-sama) tegur, nasihat, tak kiralah dalam apa jua pun keadaan termasuk politik, ekonomi kerana ini cara Islam, bukan cara demokrasi, bukan cara komunis dan juga sosialis, tapi cara Islam” katanya.

Menjawab soalan sama ada solat hajat dan solat istisqa yang diadakan pagi ini sebagai tradisi negeri Kelantan, beliau berkata “wallahualam. Yang pastinya nabi Muhammad SAW sendiri sembahyang istisqa’ setiap kali berlakunya kemarau”.

Tags: , ,

MB, Exco, Adun, pegawai, rakyat basah kuyup semasa solat

KOTA BHARU, 12 Mac – Hujan yang turun di sekitar bandar ini membasahkan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan serta ribuan rakyat yang menyertai solat sunat istisqa’ (solat mohon hujan).

Hujan agak lebat tiba-tiba turun pada rakaat pertama solat sunat Istisqa’ yang diadakan di Padang Perdana pagi tadi. Solat tersebut diimamkan Menteri Besar bermula kira-kira jam 8.30 pagi.

Ketika Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedang membaca surah pada rakaat pertama tiba-tiba hujan turun agak lebat sehingga membasahkan ribuan yang menunaikan solat.

Hujan hanya berhenti selepas selesai solat sunat tersebut. Akibatnya, semua yang hadir termasuk pembesar negeri dan pegawai kanan kerajaan kelihatan basah kuyup.

Program tadi dihadiri hampir kesemua pegawai kanan kerajaan negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Faudzi Che Mamat, Pengelola Istana, Datuk Abdul Halim Hamat dan Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Muhammad.

Adun Limbongan, Zainuddin Awang Hamat turut hadir menunaikan solat sunat berkenaan bersama rakyat jelata pelbagai peringkat dari kanak-kanak hingga orang dewasa.

Solat Istisqa’ tersebut merupakan kali kedua diadakan di Kelantan selepas pertama kali diadakan beberapa tahun lalu akibat kemarau panjang.

Cuaca kering dan panas kini melanda seluruh negara sehingga ada tempat paras sungai dan empangan semakin surut dan tanah-tanah menjadi merekah.

Ketika membaca khutbah Menteri Besar memalingkan badan ke arah kiblat seketika sebagai mengikut amalan sunnah Rasulullah s.a.w. ketika baginda mengerjakan solat Istisqa’.

Harakahdaily

Tags: ,

KOTA BHARU, 10 Mac – Ekoran keadaan kemarau yang agak luar biasa yang kini dirasai oleh seluruh rakyat Kelantan, kerajaan negeri akan menganjurkan majlis solat sunat istisqa.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, solat sunat berkenaan yang bakal diadakan Jumaat ini, bertujuan supaya Allah menurunkan hujan.

Beliau berkata demikian dalam sidang medianya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Menurutnya, amalan solat tersebut telah dilakukan oleh baginda Rasulullah s.a.w. sebelum ini untuk tujuan yang sama.

“Untuk mendapat rahmat di samping mengharapkan permohonan kita diterima Allah, esok saya seru semua rakyat Kelantan yang beragama Islam supaya bersedekah banyak-banyak di samping berpuasa sunat.

“Saya sendiri akan berpuasa esok hari, insya Allah dan akan bersedekah juga sekadar kemampuan yang ada pada saya kepada fakir miskin, insya Allah,” ujarnya.

Beliau memberitahu, Jumaat ini, rakyat Kelantan hendaklah hadir pada majlis itu selewat-lewatnya pukul 8.00 pagi, di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV.

Jelasnya, selain menunaikan solat sunat istisqa itu, beliau sendiri akan menyampaikan tazkirah mengenai pengertian solat itu berdasarkan hadis-hadis Rasulullah.

Sambungnya lagi, solat sunat berkenaan akan diadakan kira-kira pukul 8.30 pagi, iaitu selepas tazkirah.

Sehubungan itu, kuliah agama di Medan Ilmu dibatalkan yang digantikan dengan solat sunat dan tazkirah di perkarangan stadium.

Beliau bagaimanapun memberitahu, program solat sunat tersebut akan turut diadakan secara berperingkat di setiap kawasan dalam negeri ini.

Menurutnya, program itu akan diatur sendiri oleh penganjur di peringkat kawasan, bagaimanapun beliau juga akan hadir sekiranya dijemput.

“Saya setuju benar sekiranya solat sunat ini diadakan di seluruh Kelantan, pandai-pandailah nak buat ikut zon ke,” ujarnya.

Tuan Guru berkata, biarpun Kelantan tidak begitu kritikal menghadapi masalah air, bagaimanapun kemerosotan air sama ada di sungai dan telaga, agak ketara akibat cuaca terlalu panas.

Menyentuh tentang keperluan berjimat menggunakan air tidak seharusnya berlaku sewaktu musim kemarau, sebaliknya sepanjang masa sebagaimana mengikut ajaran Islam.

Tambahnya, rakyat Kelantan yang sudah terbiasa dengan air banyak, menyebabkan mereka menggunakan daripada yang sepatutnya.

“Saya selalu menyebut Nabi Muhammad s.a.w. mengambil wuduk hanya secupak air, dan mandi segantang air,” ujarnya.

Menurutnya, amat tidak wajar membazir air, sedangkan untuk mendapatkan bahan tersebut mengikut kaedah sains begitu sukar sekali.

Mengikut ahli sains dunia akan berperang kerana air kemudian hari nanti kerana kekurangan bahan itu sebagaimana sekarang berperang kerana minyak.

Kerana itu, tambahnya manusia wajib menjaga keperluannya demi untuk kegunaan masa panjang.

Menyentuh tentang catuan air pula, beliau memberitahu Kelantan tidak sampai ke peringkat itu.

Bagaimanapun, sambungnya catuan air bukan sewaktu ketiadaan air semata-mata, sebaliknya kerana Islam sendiri menggalakkan menjimatkan penggunaan air.

“Contohnya penggunaan air di masjid-masjid yang perlu benar berjimat, apa lagi bil airnya dibayar oleh pihak masjid sendiri dengan menggunakan wang sumbangan derma orang ramai.

“Kalau kita membazir bermakna kita membazir harta orang ramai,” ujarnya.

Harakahdaily

Tags: , , ,