PASIR PUTEH, 2 Mac – Madrasah Dakwah Islamiah Pondok Sri Permai yang ditubuhkan sejak 22 tahun lalu melalui proses peningkatan sistem pengajian dengan pembinaan bangunan baru.

Bangunan tiga tingkat yang bakal menempatkan ruang tetamu, makmal komputer, bilik belajar dan perpustakaan membolehkan urusan pengajian dilaksanakan dengan lebih tersusun.

Setiausaha Majlis Syura Pondok, Ahmad Shah Awang Ngah berkata, bilik belajar di bangunan tersebut merupakan matlamat utama kerana ketika ini katanya, kelas diadakan dalam suasana tidak selesa di bilik usang.

Katanya, bangunan itu nanti membolehkan lebih 200 warga pondok dan pelajar mengikuti kelas belajar dengan sempurna.

“Secara kasarnya, bangunan ini siap 70 peratus yang menelan belanja kira-kira RM150,000 hasil sumbangan orang ramai dan untuk menyiapkan dan melengkapkan bangunan ini, kami memerlukan sekurang-kurangnya RM150,000,” katanya.

Ahmad Shah berkata, Majlis Jamuan Sambil Menderma dan Maulidur Rasul yang diadakan tiga hari lalu berjaya mengumpul sumbangan orang ramai sebanyak RM33,000.

Orang ramai yang mahu memberi sumbangan diminta menyalurkannya ke akaun BIMB 03-090-02-009151 atas nama Madrasah Dakwah Islamiah Pondok Sri Permai atau menghubungi Ahmad Shah di talian 013-9002487.

Pondok yang ditubuhkan Tuan Guru Abdul Hamid Daud itu dirasmikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1990.

Kawasan pondok seluas 2.3 hektar itu merangkumi kediaman guru atau tenaga pengajar, masjid, ruang belajar, pondok pelajar Muslimin, pondok pelajar Muslimat, pondok orang tua dan pondok keluarga.

Ahmad Shah berkata, pondok tersebut mendapat bekalan air tandak dari jeram yang terletak kira-kira 2 kilometer dari pondok terbabit.

“Penyelenggaraannya dilakukan pelajar dari semasa ke semasa yang membolehkan air disalurkan ke tangki pondok serta digunakan secara percuma.

“Suasana damai di pinggir bukit ini membolehkan pelajar atau warga pondok mengikuti kelas dalam keadaan tenteram,” katanya sambil memberitahu sistem pengajian di pondok berkenaan diadakan secara Nizami (bersistem), Umumi (umum) dan kumpulan belajar.

Tags: ,