PETALING JAYA, 4 Mac – Dua belas Ahli Parlimen PKR menyuarakan sokongan terhadap parti dan menyelar spekulasi mereka akan keluar parti seperti yang didakwa dalam beberapa laman blog.

Ahli Parlimen Teluk Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas, yang mewakili Ahli Parlimen terbabit, berkata mereka masih berpegang teguh terhadap pucuk kepimpinan parti itu.

“Kami mengambil ketetapan sekeras-kerasnya menolak dakwaan bahawa kami akan meninggalkan parti sepertimana yang dispekulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab semata-mata untuk mengganggu kesatuan dan perpaduan dalam parti,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di Tropicana semalam.

Pada sidang media itu, 10 Ahli Parlimen hadir manakala dua lagi iaitu Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh, dan Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan, tidak hadir kerana mempunyai urusan luar.

Mereka yang hadir ialah Ahmad Kassim (Kuala Kedah), Yusmadi Yusoff (Balik Pulau), S Manikavasagam (Kapar), Datuk Rashid Din (Merbok), Azan Ismail (Indera Mahkota), Hee Loy Sian (Petaling Jaya Selatan), Abdullah Sani Abdul Hamid (Kuala Langat), Ab Aziz Ab Kadir (Ketereh) dan Amran Ab Ghani (Tanah Merah).

Mengulas mengenai tindakan ahli yang keluar parti, Kamarul Baharin berkata kemungkinan ia disebabkan masalah peribadi yang tidak dimaklumkan kepada pimpinan parti.

“Saya tak menduga kemungkinan itu (masalah peribadi) menjadi tugas kepimpinan parti untuk ambil tahu. Tapi kalau masalah berkaitan dengan parti, saya ingat parti tidak mengabaikan tanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Yusmadi berkata PKR perlu melihat dan memperbaiki segala kesilapan kerana tindakan keluar parti sering berlaku.

BERNAMA/Berita Harian

Tags: , , , , ,

KOTA BHARU 2 Mac – Walaupun beberapa pemimpin dan wakil rakyatnya seorang demi seorang meninggalkan parti namun Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan semua itu sebagai proses penambahbaikan kepada parti.

Katanya, PKR bukan sahaja tidak goyang malah bertambah kukuh dengan keputusan yang dibuat golongan tersebut yang disifatkannya sebagai ‘bermasalah’.

“Saya sebut beberapa nama dalam barisan kepimpinan yang meninggalkan PKR seperti Marina Yusof, Zainur Zakaria dan Dr. Chandra Muzaffar pada awal penubuhan parti.

“Sehingga kemudiannya yang kita anggap pemimpin utama seperti Ezam Mohd. Noor, hakikatnya bahawa kita wujud di atas prinsip yang ikhlas maka PKR terus lincah bergerak.

“Mereka menganggap bahawa PKR lumpuh, saya menolaknya berdasarkan fakta tersebut dan mereka yang keluar ini telah dihadapkan ke lembaga disiplin parti kalau tidak ada masalah mereka tidak dihadapkan ke lembaga disiplin, rakyat boleh menilai siapa mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pekarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Saifuddin diminta mengulas tindakan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng yang keluar daripada parti itu kerana kecewa dengan kerenah kepimpinan tertinggi PKR.

Utusan Malaysia

Tags: , ,

Bekas setiausaha agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim meramalkan lebih 10 wakil rakyat PKR akan keluar parti itu.

“Mungkin lebih daripada 10. Ambil semua jumlah (wakil rakyat), tolak yang sosialis, NGO liberal dan kroni, buatlah kerja matematik (mengira),” katanya.

“Tetapi semua mereka tidak akan melompat pada masa yang sama, mereka akan muncul seorang atau dua orang sekali. Seperti dalam sukan tinju, ada regunya masing-masing.”

Didesak membuat penjelasan lanjut, beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama atau jumlah sebenarnya wakil rakyat terbabit dengan alasan ia akan dilakukan pasa masa yang sesuai.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar di mana ahli parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng mengumumkan keluar PKR dan menjadi wakil rakyat bebas.

Salehuddin juga meramalkan akan wujud satu ‘blok MP’ bebas di Dewan Rakyat.

“Kamu sedar ada perkembangan dalam PAS dan DAP ke arah itu. Terdapat juga perkembangan dalam PKR,” katanya.

Bekas setiausaha agung PKR itu juga turut menghadiri sidang akhbar Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim bulan lalu, ketika ahli parlimen Bayan Baru itu mengumumkan keluar PKR.

Malaysiakini

Tags: , , , ,