WAKAF BERANGAN, 1 Disember - Program Siri Mudah Belajar dan Mengajar Al-Quran Teknik Al-Baghdadi yang dikelolakan oleh Syihab Resources dari Kedah hari ini telah berjaya menarik seramai 40 penyertaan dari tenaga pengajar PASTI dan ibu bapa sekitar Pasir Puteh.

Kursus yang telah diadakan di Maahad Tahfiz Darul Huffaz ini telah dirasmikan oleh ADUN Limbongan yang telah menyatakan hasrat beliau untuk menubuhkan satu skuad Murabitun Kebajikkan Perdana untuk gelombang pertama terdiri dari para peserta yang telah mengambil bahagian.

Skuad yang bakal ditubuhkan itu bertujuan untuk menjalankan kerja dakwah Islamiah untuk mendekatkan masyarakat dengan Al-Quran di mana teknik bacaan Al-Baghdadi ini boleh menimbulkan minat kepada kanak-kanak malahan orang dewasa juga untuk belajar dan mempertajamkan kemahiran mambaca Al-Quran.

Minda kanak-kanak tidak boleh lari dari permainan, apa sahaja mereka buat mesti ada unsur-unsur bermain. Pelbelajaran teknik Al-Baghdadi ini mempunyai set alatan permainan untuk menarik minat kanak-kanak belajar membaca Al-Quran. Untuk itu satu slot pembelajaran akan dijalankan setiap hari untuk pelajar-pelajar di Maahad Tahfiz Darul Huffaz dibawah bimbingan Ustaz Ridwan Al-Hafiz.

Antara kandungan dalam pembelajaran ini termasuk keupayaan mengenal dan membaca 29 huruf hijaiyyah, membaca tanda baris asas, tanwin, mad, sukun dan bacaan sabdu. Pembelajaran menggunakan ‘alat ketuk’ mampu mendisiplinkan pembaca bagi menguasai bacaan dengan lebih fasih dalam tempoh yang singkat.

Sementara itu Ustaz Muhd Rasydan B. Razali sebagai fasilitator utama hari ini menyatakan bahawa ramai pelajar dibawah bimbingan beliau dapat menguasai bacaan Al-Quran hanya dalam tempoh 3 bulan sahaja melalui modul pembelajaran teknik Al-Baghdadi ini.

Dalam temubual bersama wartawan limbongan.net, Drs. Zainuddin telah melahirkan hasrat beliau untuk menjadikan kursus ini sebagai salah satu elemen dalam terus merealisasikan DUN Limbongan sebagai Pusat Ilmu dengan menubuhkan Al-Baghdadi Training Center pada masa akan datang.

Tags: , ,

Adik Siti Nur Balqis Lambang Kecemerlangan PASTI

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on November 13th, 2010 in DUN Limbongan, Pendidikan, Umum No Comments

KG. KELUBI, 12 Nov – Ibu bapa dan para hadirin yang hadir pada Ikhtifal PASTI Tarbiyyah Darul Hikmah pada hari ini terpegun dengan bacaan ayat-ayat Hafazan salah seorang pelajar PASTI ini.

Adik Siti Nur Balqis Binti Mohd Zani, 6 tahun telah memperdengarkan bacaan Ayat-ayat suci Al-Quran dari Surah Al-Fatihah, Ayat Qursi, Ayat Seribu Dinar dan beberapa baris ayat dalam Surah Al-Mulk.

Menurut ibu kepada pelajar ini, Zakiah Binti Muhd, 35 seorang Ustazah di SMK Machang, anak bongsu dari 4 orang adik beradik ini diasuh setiap hari dirumah dengan bacaan ayat-ayat suci selepas Solat Maghrib dan Subuh. Amalan ini juga telah membolehkan anak sulung beliau yang berumur 5 tahun telah Hafiz (hafal sepenuhnya) Surah Yaasin dan beberapa Surah pendek.

ADUN Limbongan yang hadir bersama isteri Puan Hjh. Mariah Binti Ibrahim juga terpegun dengan kelunakkan suara Balqis yang juga mengetuai Nasyid berkumpulan dalam acara persembahan sempena Ikhtifal ini. Rasa bangga terhadap kebolehan adik kecil ini membawa rezeki kepada Balqis apabila Drs. Zainuddin langsung melalui isteri beliau menyampaikan sumbangan peribadi kepadanya.

Drs. Hj. Zainuddin dalam ucapan perasmian beliau menyatakan hasrat untuk mempromosikan Balqis ke peringkat yang lebih tinggi untuk tujuan dakwah. Pada Awal Muharram ini Kembara Dakwah Edisi Kedua bersama 2 pelajar cilik Maahad Tahfiz Darul Hufaz, Lampong, Indonesia telah diaturkan dan insyaAllah dengan restu dari ibu bapa dan berkat Allah SWT, Siti Nur Balqis juga akan dibawa bersama dalam kembara dakwah tersebut.

Tags: ,

Ikhtifal PASTI raikan kanak-kanak asuhan Islam

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on November 13th, 2010 in DUN Limbongan, Pendidikan No Comments

PASIR PUTEH, 12 Nov – Majlis Ikhtifal PASTI bagi 2 Cawangan dalam DUN Limbongan iaitu PASTI Tarbiyatul Atfal dan PASTI Tarbiyyah Darul Hikmah hari ini telah berlansung dengan jayanya.

Majlis bermula pada jam 9.00 pagi di Kg. Nering ini telah dihadiri oleh Pengerusi PASTI, Ustaz Nazlan bin Mohd Hasbullah yang menyambut kedatangan ADUN Limbongan YB Drs. Hj. Zainuddin Awg. Hamat selaku Penaung PASTI DUN Limbongan untuk upacara perasmian.

Antara acara yang dilangsungkan adalah hafazan al-quran, bercerita, nasyid serta penyampaian hadiah kepada  para pelajar. Menurut Ustaz Nazlan, beliau menegaskan bahawa anak-anak adalah aset negara yang perlu dijaga dengan baik, berilah pendidikan yang terbaik kepada mereka, dekatkan mereka dengan Allah.

Dalam pada itu, Drs. Hj. Zainuddin dalam ucapan beliau menyatakan sempena budget Kerajaan Negeri Kelantan yang bertemakan penyayang untuk tahun 2011, insyaAllah akan memberi ruang untuk pembangunan PASTI termasuk menaikkan gaji tenaga pengajar untuk PASTI DUN Limbongan. Hasrat beliau itu sejajar dengan perkembangan Maahad Tahfidz Darul Huffaz yang kini dibawah didikan Ustaz Riduan Al-Hafiz telah mengasah beberapa orang pelajar berumur 5 dan 6 tahun belajar menghafal Al-Quran. Beliau juga mengharapkan agar Jawatankuasa Pemuda DUN akan lebih bertungkus-lumus pada masa akan datang dalam terus memartabatkan 20 Tahun Pemerintahan Kerajaan Negeri Kelantan Membangun Bersama Islam.

Sementara itu, Ikhtifal PASTI Tarbiyyah Darul Hikmah yang dilangsungkan di Kg. Kelubi yang dipengerusikan oleh Ketua Pemuda PAS DUN Limbongan, Ust Nazri (Tok Siak) yang diadakan pada sebelah petang memukau ibu bapa dan para hadirin dengan persembahan nasyid dan bacaan ayat-ayat hafazan oleh pelajar-pelajar yang diraikan.

Dalam majlis ini, ibu bapa yang tidak putus-putus memberi sokongan selama ini juga diberikan penghargaan dengan penyampaian anugerah khas di atas kerjasama dalam menjaga kebajikkan untuk anak-anak dan pembangunan PASTI itu sendiri.

Tags: ,