Lawatan MTD Limbongan ke Sibu Berbaloi

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on May 19th, 2010 in DUN Limbongan, Isu Semasa, Umum No Comments

SIBU, 16 Mei – Kemenangan Pakatan Rakyat yang diwakili oleh YB Wong Ho Leng (DAP) dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Sibu membawa seribu makna dalam perjuangan bagi rombongan MTD Limbongan.

Rombongan yang diketuai oleh ADUN Limbongan, YB Drs. Hj. Zainuddin  Awang Hamat selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail pada 17 Mei dengan wajah penuh bergaya. Kepulangan disambut mesra dan gembira oleh seluruh ahli keluarga dan warga MTD Limbongan yang menanti di LTSI.

"Kejayaan di Sibu adalah kemenangan dalam segala-gala tak kira dalam apa jua sudut sekalipun. Tahniah kepada semua petugas di PRK Sibu terutama Pihak Berkuasa Tempatan yang sentiasa memastikan keadaan berjalan dengan lancar" - Drs. Zainuddin

Tags: , , , , , , , , , , ,

Akhirnya PKR pecat YB Zulkifli Noordin

Posted by admin on March 6th, 2010 in Pakatan Rakyat No Comments

PETALING JAYA, 6 Mac – Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dipecat daripada PKR hari ini.

Perkara tersebut diumumkan Setiausaha Agungnya, Saifuddi Nasution Ismail pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya petang ini.

Timbalan Presiden PKR Syed Husin Ali, Naib Presiden Mustaffa Kamil Ayub, Ketua Penerangan Latheefa Koya dan Pengarah Strategik Tian Cua turut hadir. Bagaimanapun, ketua umummnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan presiden parti Datuk Seri Wan Azizah Ismail tidak turut serta dalam sidang media tersebut.

Sehubungan itu, Zulklifi juga diminta mengosongkan kerusi parlimen Kulim-Bandar Bharu yang dimenanginya pada pilihan raya umum 2008.

Bagaimanpun Zulklifi dibenarkan membuat rayuan dalam tempoh 14 hari berhubung pemecatan itu.

Dua hari lalu, Zulkifli dihadapkan ke lembaga jawatankuasa dispilin PKR tetapi bertindak keluar selang sejam kemudian.

‘Kesalahan berulang-ulang’

Beliau dihadapkan ke jawatankuasa itu bagi memberi penjelasan berhubung bidasannya terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan membuat laporan polis ke atas ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Zulklifi mendakwa panel yang sepatut menentukan masa depannya hari ini sepatutnya dianggotai oleh orang Islam kerana ia membabitkan penggunaan isu kalimah Allah dan agama Islam.

Dakwaannya itu bagaimanapun ditolak dan menurut setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution, kes Zulklifi tidak kena mengena dengan isu kalimah Allah.

Dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR selama kira-kira 3 jam setengah, Saifudin menjelaskan, keputusan terhadap Zulkifli dibuat secara sebulat suara selepas mempertimbangkan pelbagai aspek, termasuk kesan “kesalahan yang berulang-ulang” yang dilakukannya dan kesannya terhadap parti.

Saifuddin berkata, surat bagi memaklumkan keputusan tersebut akan dimaklum kepada Zulkifli pada Isnin ini melalui pelbagai surat, faks dan e-mel.

Menurut Saifuddin, Zulkifli disabitkan bersalah kerana membuat laporan polis terhadap wakil rakyat PAS Khalid Samad dan ekoran kenyataannya yang dibuat dalam sebuah wawancara di TV3 sebelum ini, antarnaya berbentuk serangan terhadap dasar dan pendirian parti serta kemampuan Pakatan Rakyat.

Kulim diselia Gobalakhrisnan

Saifuddin berkata, selepas tempoh rayuan tamat, sekiranya rayuannya ditolak, PKR akan mendesak ahli parlimen kontroversi itu mengosongkan kerusi parlimen kawasan tersebut kerana kemenangannya sebelum ini diperoleh atas tiket PKR.

Ditanya tindakan PKR sekiranya Zulkifli enggan berbuat demikian, Saifuddin hanya berkata, beliau yakin, sebagai ahli parlimen yang bertanggungjawab dan faham nilai integriti dan kewibawaan, beliau akan akur pada desakan tersebut.

Sementara itu, katanya, PKR juga menugaskan pemimpinanya menjaga kebajikan kawasan di mana wakil rakyat mereka berpaling tadah.

Beliau menambah, wakil rakyat Padang Serai N Gobalakhrisnan selepas ini akan ditugaskan menjaga kawasan Kulim-Bandar Baharu. Awar di Nibong Tebal, Yusmadi Yusoff (Balik Pulau) ditugaskan di Bayan Baru dan Dr Lee Boon Chye (Gopeng) di Bagan Serai.

Sementara Zulkifli ketika dihubungi Malaysiakini sejurus selepas keputusan tersebut diumumkan enggan mengulas lanjut kerana bercadang mengadakan sidang media khas mengenai perkara itu lewat petang ini.

Petikan Malaysiakini

Tags: , , , , ,

KOTA BHARU, 5 Mac – Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, tindakan beberapa wakil rakyat PKR yang keluar parti dan menjadi wakil bebas disifatkan sebagai “buaya di sebalik batu”.

“Sedihnya, ribut tidak (ada), hujan pun tidak, tiba-tiba bah melanda! Syak saya teramat kuat akan adanya kepentingan politik (mereka) tersendiri. Ini bukannya udang di sebalik batu, bahkan buaya,” katanya.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS mengulas ‘fenomena’ keluar parti yang menghantui PKR setelah tiga anggota parlimennya berpaling tadah dalam tempoh yang amat dekat.

Mereka ialah Datuk Seri Zahrain Hashim (Bayan Lepas), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai).

Dalam satu kenyatan hari ini, Nik Aziz berkata, jika terdapat perasaan tidak puas hati dengan kepimpinan sedia ada, perkara itu boleh disuarakan dengan dengan pelbagai cara, tetapi bukan dengan melompat parti.

“Usulkan sahaja sidang tergempar, ambil tindakan kepada mana-mana pemimpin yang bersalah. Paling tidak, adakan perbincangan dari hati ke hati.

“Bukankah ini menjadi amalan biasa turun temurun di dalam menyelesaikan urusan rumahtangga parti?” soalnya yang kini sedang mendapatkan rawatan kerana sakit dada di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kota Bharu sejak kelmarin.

Sehubungan itu, Nik Aziz menambah, pemimpin yang meninggalkan parti perlu juga meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen sebagai tanda menghormati mandat yang diberikan rakyat kepadanya.

“Bertanding atas tiket parti lain, tiba-tiba menukar haluan. Bukankah ini satu penipuan? Umpama meminang anak dara orang dengan perwatakan lebai, alih-alih bertukar rupa menjadi pencuri,” sindirnya.

Beliau juga menasihatkan PKR – yang disifatkanya sebagai parti yang masih muda – tidak berputus asa kerana perkara yang sama pernah berlaku pada PAS sendiri, termasuk melibatkan pemimpin tertingginya.

“Hari ini, PAS sudah dewasa dan matang, tidak lagi kedengaran pimpinan yang melompat sebagaimana dahulu.

“Bahkan Kelantan pernah diperintah dengan kelebihan satu kerusi dan dua undi! Alhamdulillah, tidak ada yang melompat,” katanya.

Petikan Malaysiakini

Tags: , , , , ,

PETALING JAYA, 4 Mac – Dua belas Ahli Parlimen PKR menyuarakan sokongan terhadap parti dan menyelar spekulasi mereka akan keluar parti seperti yang didakwa dalam beberapa laman blog.

Ahli Parlimen Teluk Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas, yang mewakili Ahli Parlimen terbabit, berkata mereka masih berpegang teguh terhadap pucuk kepimpinan parti itu.

“Kami mengambil ketetapan sekeras-kerasnya menolak dakwaan bahawa kami akan meninggalkan parti sepertimana yang dispekulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab semata-mata untuk mengganggu kesatuan dan perpaduan dalam parti,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di Tropicana semalam.

Pada sidang media itu, 10 Ahli Parlimen hadir manakala dua lagi iaitu Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh, dan Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan, tidak hadir kerana mempunyai urusan luar.

Mereka yang hadir ialah Ahmad Kassim (Kuala Kedah), Yusmadi Yusoff (Balik Pulau), S Manikavasagam (Kapar), Datuk Rashid Din (Merbok), Azan Ismail (Indera Mahkota), Hee Loy Sian (Petaling Jaya Selatan), Abdullah Sani Abdul Hamid (Kuala Langat), Ab Aziz Ab Kadir (Ketereh) dan Amran Ab Ghani (Tanah Merah).

Mengulas mengenai tindakan ahli yang keluar parti, Kamarul Baharin berkata kemungkinan ia disebabkan masalah peribadi yang tidak dimaklumkan kepada pimpinan parti.

“Saya tak menduga kemungkinan itu (masalah peribadi) menjadi tugas kepimpinan parti untuk ambil tahu. Tapi kalau masalah berkaitan dengan parti, saya ingat parti tidak mengabaikan tanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Yusmadi berkata PKR perlu melihat dan memperbaiki segala kesilapan kerana tindakan keluar parti sering berlaku.

BERNAMA/Berita Harian

Tags: , , , , ,

3 bekas MP PKR khianati amanah rakyat

Posted by admin on March 4th, 2010 in Pakatan Rakyat No Comments

KOTA BHARU, 4 Mac – Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan langkah tiga bekas ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) keluar daripada parti itu mengkhianati amanah rakyat.

Justeru, beliau menggesa kesemua ahli Parlimen terbabit supaya meletakkan jawatan bagi memberikan peluang kepada rakyat untuk memilih calon yang diingini.

Katanya, rakyat memberikan undi kepada ketiga-tiga ahli Parlimen tersebut kerana percaya dengan perjuangan parti yang mereka sertai.

“Saya nasihatkan mereka ini letak jawatan dan bertanding semula, demi maruah dan agama kerana mereka telah mengkhianati amanah yang diberikan rakyat.

“Jangan fikir senang, manusia walaupun gagah ada masanya dia akan lemah. Rakyat memberi undi kepada parti, mereka mengkhianati amanah yang diberikan,” katanya ketika ditemui pada majlis solat hajat sempena pembukaan pasar raya Mydin, Kubang Kerian di sini semalam.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan ahli Parlimen terbabit yang keluar parti dan menjadi ahli Parlimen Bebas.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim; Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri hari ini yang mengisytiharkan dirinya sebagai Ahli Parlimen Bebas.

Sementara itu, Nik Aziz menafikan bahawa beliau tidak dijemput untuk menghadiri majlis perlepasan Le Tour De Langkawi (LTdL) Isnin lalu.

Katanya, sekiranya tidak dijemput beliau tidak akan hadir pada majlis berkenaan sehingga terpaksa meninggalkan sidang DUN yang sedang berlangsung.

Tags: , , , ,

MP Bagan Serai belot, keluar PKR

Posted by admin on March 4th, 2010 in Pakatan Rakyat No Comments

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri mengumumkan keluar daripada PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas pada sidang media yang turut dihadiri bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim di sini, semalam.

Mohsin, 65, yang dilantik mewakili PKR di kerusi utara Perak adalah ahli parlimen ketiga parti itu yang bertindak keluar parti.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bayan Baru, Zahrain Hashim dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng bertindak keluar dari PKR dan mengisytihar sebagai wakil rakyat bebas.

Pada sidang media di Ampang, Moshin diiringi oleh bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim. Salehuddin sebelum ini juga muncul pada dua sidang media di mana dua ahli parlimen PKR berkenaan mengumumkan tindakan keluar parti mereka.

Turut keluar PKR ialah bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin.

Pada pilihan raya umum 2008 lalu, Mohsin yang pertama kali bertanding mengalahkan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin dari Umno dengan majoriti 3,413 undi.

Parlimen Bagan Serai mempunyai 47,111 pengundi berdaftar.

Berikutan senario terbaru ini, jumlah ahli parlimen PKR kini tinggal 27 orang. Jumlah itu adalah kurang daripada kerusi yang dimiliki oleh sekutunya dalam Pakatan Rakyat, DAP.

DAP mempunyai 28 kerusi, manakala PKR sekarang ini memiliki 27 dan PAS 23.

Bagaimanpun pemimpin DAP dan juga PAS semalam memaklumkan mereka akan terus memberi sokongan kepada ketua umum PKR untuk menjadi Ketua Pembangkang di parlimen.

Isnin lalu, Salehuddin meramalkan, lebih 10 lagi wakil rakyat PKR akan keluar parti itu.

Bercakap dalam sidang akhbar tersebut, Mohsin berkata beliau bertindak keluar parti kerana tidak bersetuju dengan pendirian PKR berhubung isu Allah.

Menurutnya, beliau telah membangkitkan perkara itu melalui saluran parti tetapi mendakwa ia tidak dihiraukan.

Salehudin pula berkata, PKR tidak seharusnya membuat sebarang pendirian ketika ahli-ahlinya masih bercelaru mengenai isu tersebut.

Beliau mendakwa, keputusan dibuat oleh satu dua orang tanpa dibahaskan.

Keadaan itu, tambahnya, telah menimbulkan kegelisahan di kalangan pemimpin di peringkat akar umbi.

Tags: , , , , , ,