Titian Ukhwah Muslimat DUN Limbongan Melalui Cakna Duafat

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on January 18th, 2011 in DUN Limbongan, Lawatan 2 Comments

PASIR PUTEH, 17 Januari – Rombongan yang diketuai oleh Pengarah MTD DUN Limbongan yang turun bersama isteri serta beberapa orang Muslimat PAS DUN Limbongan hari ini menziarahi beberapa keluarga yang hidup dalam kedaifan dan miskin tegar sekitar DUN ini.

Turut serta dalam Titian Ukhwah ini adalah Pemangku Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Pasir Puteh, Dzulkaedah bt Ali Mohd dan Ketua Dewan Muslimat DUN Limbongan, Fauziah bt Salleh yang menyatakan bahawa Cakna Duafat kali ini lebih fokus kepada keluarga yang hidup dalam serba kekurangan dalam mengharungi hidup yang dibebani oleh keadaan ekonomi semasa serta tanggungjawab membesarkan anak-anak yang ramai.

  • Keluarga Mat Zahar bin Awang menerima sumbangan dari ADUN Limbongan dalam Titian Ukhwah Cakna Duafat

Salah satu keluarga yang diziarahi rombongan ini adalah keluarga Mat Zahar Bin Awang, 40 yang menanggung kepayah hidup bersama 8 orang anak dan isteri Saudah Binti Abdul Aziz, 36 di Kg. Merkang. Bekerja sebagai buruh kontraktor Telekom, pendapatan harian sekitar RM30 masih tidak mampu untuk menampung perbelanjaan keluarga sehingga isteri beliau terpaksa bekerja sambilan di salah sebuah restoran di Pasir Puteh. Sekali imbas kebahagiaan keluarga tetap teserlah walaupun dibelenggu kemiskinan, hidup di sebuah rumah usang tanpa bilik tidur apatah lagi kelengkapan isi rumah yang lain.

Menurut Dzulkaedah, Cakna Duafat ini tidak bermotifkan parti politik semata-mata namun rasa tanggungjawab sebagai kerajaan yang memerintah di bawah syariat Agama mengajak mereka untuk terus mendekati masalah rakyat walaupun hadir dengan bantuan yang tidak seberapa.

Rombongan ini juga sempat singgah di kediaman Nik Hanafi Nik Mat di Kg. Gong Chapa yang kematian isteri beliau baru-baru ini. Kehilangan ibu kepada 7 orang anak ini amat terasa kepayahannya lebih-lebih lagi Nik Hanafi dalam usia yang sudah menjangkau 60-an kini hanya mampu mencari sumber rezeki melalui kerja-kerja kampung. YB Drs. Hj. Zainuddin yang amat bersimpati dengan keluarga ini menyampaikan sumbangan melalui isteri beliau kepada anak-anak yatim tersebut dan berdoa semoga Allah akan sentiasa memberkati dan memberi semangat serta ketabahan yang kuat dalam mengharungi hidup pada masa akan datang.

Jazakallahu Khairan Khatira.

Tags: ,

Lawatan Halwa DUN Limbongan ke Pulau Langkawi

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on January 3rd, 2011 in DUN Limbongan, Lawatan No Comments

KUALA PERLIS, 25 Disember 2010 – Rombongan Halwa dibawah pimpinan Timbalan Pengarah 4 MTD Limbongan, Puan Fauziah Salleh singgah di Majlis Keraian Perkahwinan Anak ADUN Sanglang lebih kurang jam 4.00 petang sebagai destinasi pertama dalam lawatan ke Pulau Langkawi.

Rombongan kemudiannya ke Markaz UPU Behor Mali DUN Simpang Empat untuk bermalam di sini. Menurut salah seorang peserta lawatan Nor Asilah Bt Mohd Zain, jalinan erat antara UPU Behor Mali dengan PAS Kawasan Pasir Puteh terjalin sejak dari PRK Arau 1997 lagi semasa mereka bertugas di sana.

Pada malam keesokkan harinya, lawatan mahabbah dan silaturrahim beserta dialog dengan Dewan Muslimat Langkawi di Markaz Pekan Kuah telah diadakan. Program ini banyak memberi manfaat di mana percambahan idea dan perkongsian maklumat dalam menjalankan kerja-kerja dakwah dapat dihuraikan bersama.

Selain dari program-program rasmi yang telah dirancangkan, peserta lawatan juga sempat menziarah beberapa destinasi menarik di pulau yang kini tersohor di serata dunia. Keindahan pulau yang amat mengagumkan meningkatkan lagi rasa cinta kepada Allah SWT.

Setiausaha MTD Limbongan, Hj. Md. Judin selaku ketua rombongan ini menyatakan rasa terharu dan berterima kasih  dengan layanan dari pihak tuan rumah terutamanya YB. Rus’sele Eizan dan YB. Ust. Hashim Jasin yang banyak memberi kerjasama menjayakan lawatan ini.

Berbekalkan Nasi Berlauk Ala Perlis dan Bubur Asyura dari pihak tuan rumah, Alhamdulillah perjalanan pulang tidak menghadapi sebarang masalah. InsyaAllah segala yang dipelajari dari hasil lawatan ini akan diberi keberkatan dariNya dan terus mengukuhkan jalinan ukhwah dalam memartabatkan perjuangan agama Islam pada masa akan datang.

Majlis Keraian Perkahwinan anak YB UST HASHIM JASIn, Pesuruhjaya PAs Perlis / ADUN Sanglang

Tags: , , , , ,

T2K di Program Cakna Remaja

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on December 13th, 2010 in DUN Limbongan, Lawatan 2 Comments

PANTAI MELAWI, 8 Disember – Sempena musim cuti sekolah ini, Dewan Muslimat DUN Limbongan telah menganjurkan satu Program Cakna Remaja di sini yang telah disertai oleh 40 orang remaja perempuan DUN Limbongan.

Program selama 2 hari 1 malam di Redzuan’s Chalet ini telah diketuai oleh Ketua Dewan Muslimat DUN Limbongan, Fauziah Bt. Yusof. Bertemakan Tarbiyyah, Kerjaya dan Kesejahteraan, program ini telah dimuatkan dengan pelbagai aktiviti kerohanian yang bertujuan membentuk minda remaja kearah kematangan pemikiran berlandaskan syariah Islam dan menjauhi dakyah serta kelakuan yang negatif.

Antara aktiviti yang dijalankan seperti zikir munajat memuji kebesaran Allah, pendekatan kepada ajaran Al-Quran dan Hadis, dialog bersama pemimpin, nasyid dan banyak lagi.

ADUN Limbongan dalam ucapan perasmian program ini telah menyatakan tentang cabaran dalam pertumbuhan minda remaja dalam dunia globalisasi dengan menghuraikan kaitan perkembangan rohani dan jasmani dalam usia belasan tahun. Menurut beliau, dunia informasi terpantas pada hari ini lebih cenderung kepada perkara-perkara yang boleh memudaratkan dan jika remaja tidak berhati-hati dalam membataskan kehidupan seharian maka tidak mustahil lebih banyak lagi gejala sosial yang tidak pernah ada difikiran kita hari ini akan berlaku pada masa akan datang.

Selain itu, remaja juga harus bersifat lebih proaktif dalam menangani masalah rakan sebaya kerana ramai dikalangan mereka pada hari ini lebih berminat untuk tidak merujuk kepada ibu bapa sekiranya terdapat masalah yang tidak mampu diselesaikan malahan rakan sebaya adalah orang pertama dijadikan sebagai tempat untuk berkongsi masalah.

Walaupun telah ramai ibu bapa pada hari ini menyedari hakikat ini, namun pengawasan mereka terhadap anak-anak juga dibatasi dengan adanya kemudahan alat-alat komunikasi seperti telefon bimbit dan komunikasi internet seperti Facebook yang akhir-akhir ini telah banyak mencetuskan masalah kerana penyalahgunaan aplikasinya.

Teraju utama program ini Fauziah Yusof, menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan Cakna Remaja kali ini dan berharap lebih banyak lagi aktiviti untuk remaja seperti ini akan dijalankan pada masa akan datang untuk terus mentarbiyyahkan remaja kearah menjadi insan yang beriman.

Tags: , , ,

Cakna Muslimat DUN Limbongan Ziarah Keluarga Rahma

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on July 7th, 2010 in DUN Kelantan, Lawatan No Comments

CHENGAL BATU, 7 Julai – Dewan Muslimat PAS DUN Limbongan telah menziarahi keluarga Rahma Abdul Rahman yang baru sahaja kehilangan abang tersayang yang meninggal akibat sakit kronik dua hari yang lalu.

Lawatan juga disertai oleh Puan Zulkaedah Bt. Ali Muhammad selaku Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Pasir Puteh bersama dengan Ketua Dewan Muslimat PAS DUN Limbongan, Faudziah Yusof.

Rahma, 30 dan suami Zamzuri, 35 tahun hidup bersama 4 orang anak di kediaman mereka yang masih belum siap sepenuhnya kerana dihimpit dengan masalah kewangan. Suaminya yang bekerja sebagai seorang petani tidak mampu untuk meneruskan pembinaan rumah mereka sehingga siap. Tambahan lagi semasa hayat abang kandung beliau masih ada, keluarga Rahma lah tempat Allayarham menumpang kasih dan menghabiskan sisa kehidupan. Allayarham Shamsudin mempunyai saudara kembar, Rahim Abd. Rahman, 33 tahun.

Rumah yang diduduki sekarang dalam serba kekurangan, tiada bilik mandi, tiada bekalan air dan amat tidak selesa untuk anak-anak  yang semakin membesar. “Saya risau jika anak-anak tidak dapat menumpukan perhatian pada pelajaran sepenuhnya dengan kehidupan yang serba daif ini walaupun saya sedar itu bukan alasan untuk berjaya” kata Rahma.

Menyedari hakikat keperitan hidup ini, Dewan Muslimat PAS DUN Limbongan dengan kerjasama Penghulu Mukim menyampaikan sedikit sumbangan dengan harapan dapat meredakan beban yang dipikul oleh keluarga ini. Menurut Ketua Dewan Muslimat DUN Limbongan, selain dari sumbangan yang telah diberikan kepada keluarga ini, beliau akan terus berusaha untuk  cuba memberi sumbangan kepada pihak yang memerlukan tidak kira samaada besar atau kecil nilainya, asalkan titian ukhwah sesama umat Islam dapat dijalin dengan lebih kukuh lagi.

Tags: , ,

WAKAF LANAS, 31 Mei - Lawatan Titian Ukhwah yang diketuai oleh Puan Zulkaedah Bt. Ali Muhammad selaku Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Pasir Puteh  menziarah ke rumah keluarga anak yatim piatu yang hidup dalam serba kekurangan.

Setelah ketiadaan ibu bapa sejak beberapa tahun yang lalu, 14 orang anak-anak yatim piatu ini meniti kehidupan dengan penuh cabaran. 7 orang yang masih dibawah tanggungan keluarga sering juga mendapat bantuan dari pihak-pihak yang bersimpati.

Dalam keadaan yang serba kekurangan, mata pencarian rezeki dan tanggungjawab di rumah ini digalas oleh anak keempat, Hazmainizi yang berkhidmat sebagai Pengawal Keselamatan di salah sebuah agensi sekuriti di Pasir Puteh.

Adik beradik lain yang sudah berkeluarga dan berkerjaya terpaksa menyahut cabaran kehidupan masing-masing di perantauan.

Tinggal dirumah yang usang peninggalan dari ibu bapa,  Ketua Dewan Muslimat PAS DUN Limbongan, Fauziah Yusof bersama Norashikin Musa selaku Ketua Penerangan Muslimat DUN telah berikhtiar memyumbangkan satu unit pam air untuk memudahkan keluarga ini menjalankan aktiviti harian.Selain itu sumbangan dalam bentuk makanan juga diberikan.

Lawatan yang mengeratkan lagi persaudaraan Islam bertujuan untuk meringankan beban kehidupan keluarga ini telah mengambil biodata keluarga untuk di bawa kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Kesihatan Kerajaan Negeri Kelantan dalam usaha memohon bantuan yang selanjutnya bagi menampung keperitan hidup anak-anak yatim piatu ini.

ADUN Limbongan selaku Penaung Titian Ukhwah mengulas bahawa usaha yang dilakukan oleh Dewan Muslimat ini harus diberi pujian kerana menyedari akan kepayahan hidup yang dipikul oleh anak-anak yatim dan berusaha mendapatkan bantuan yang sewajarnya.


Galeri foto oleh wanribu:


Tags: , , , ,