MB Ziarah ADUN Limbongan di HPRZII

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on May 24th, 2011 in DUN Kelantan, DUN Limbongan, Isu Semasa, Makluman 1 Comment

KOTA BHARU, 24 Mei – Menteri Besar Kelantan Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini telah membuat lawatan ke HPRZII untuk menziarahi ADUN Limbongan yang sehingga hari ini masih dirawat di hospital tersebut sejak dimasukkan pada 19 Mei lalu akibat pendarahan usus.

Ini adalah kali yang kedua Tuan Guru menziarahi Drs. Hj. Zainuddin dalam tempoh beliau  mendapat rawatan di sini. Zainuddin yang telah dipindahkan dari Wad CCU ke Wad 10 dua hari lepas kini sedang menjalani rawatan susulan bagi memastikan tahap kesihatan beliau betul-betul pulih sebelum kembali bertugas. Menurut kata Dr. Nur Atiqah, Pegawai Perubatan yang merawat beliau, Zainuddin dijangkakan dapat pulang ke rumah insyaAllah pada Khamis ini.

Dalam pada itu, Tuan Guru Menteri Besar berpesan agar seluruh warga khasnya  di Limbongan agar tidak perlu risau lagi tentang ketiadaan ADUN  buat sementara waktu ini dan berharap semoga rakyat sekalian akan terus berdoa memohon dari Allah SWT agar Zainuddin akan kembali bertugas seperti biasa dalam keadaan yang sihat seperti sedia kala.

Zainuddin ketika ditanya, menyatakan rasa syukur kepada Allah SWT kerana masih lagi diberi kesempatan untuk meneruskan perjuangan dalam memartabatkan agama yang syumul ini dan insyaAllah akan kembali bertugas untuk terus memikul amanah rakyat seawal yang boleh. Beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang prihatin dengan masalah kesihatan yang dialaminya dan tidak lupa juga kepada semua yang datang menziarahi beliau di sini.

Tags: , , , ,