BBC lawat keluarga mangsa dihanyutkan arus Sungai Betis

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on January 23rd, 2012 in DUN Kelantan, Makluman No Comments

GUA MUSANG – Kelab penyokong Kerajaan Negeri Kelantan (BBC) mengunjungi dua keluarga mangsa kejadian hilang dihanyutkan arus Sungai Betis. Rombongan diketuai oleh ADUN Limbongan YB Drs, Zainuddin Ag. Hamat yang merupakan Timb. Presiden BBC  mewakili YAB Menteri Besar Kelantan yang turut sama bersimpati dengan nasib yang menimpa kedua-dua keluarga itu.

Gambar 1: Di sinilah pertemuan dua Kuala Sungai yang menyebabkan air berpusar kuat

Dalam kejadian jam 4.30 pagi 18 Jan lalu, Mohammad Ali Abdul Wahab, 26, hilang dihanyutkan arus deras selepas terjun di pertemuan dua sungai iaitu Kuala Sg. Betis dan Kuala Sg. Brooke (belakang rumah mangsa) ketika dikejar polis.

Bapa mangsa Abd Wahab Mat Diah, 67 ketika menceritakan keadaan sebenar setelah ditanya oleh Drs. Zainuddin menyatakan rasa terharu dengan kehilangan anaknya itu. Beliau hanya mampu berserah dan kejadian ini adalah satu panggilan yang tepat dari Allah SWT.

Namun beliau juga menyatakan rasa terkilan dengan tindakan pihak polis yang bertindak tidak mengikut prosedur. Beliau selaku Setiausaha Jawatankuasa Keselamatan Kampung menyatakan pihak polis tidak sepatutnya bertindak sedemikian. “Orang kampung ini ramai, kalau pihak polis memerlukan bantuan kami sentiasa sedia bersama membantu”  kata Abd Wahab.

Kejadian pecah masuk oleh pihak polis yang berlaku dirumah beliau itu amat mengejutkan lebih-lebih lagi pada waktu itu mereka sekeluarga sedang nyenyak tidur. “Beberapa anggota polis menendang pintu rumah saya dan masuk dengan tanpa buka kasut dan mengotorkan rumah saya dengan selut (lumpur) tanpa sebarang pertanyaan terus mengejar anak saya itu” ujar beliau lagi.

Gambar 2: Abd Wahab sedang menunjukkan tempat yang anaknya (mangsa) terjun

Lebih mengecewakan lagi apabila pihak polis yang mengejar mangsa itu terus meninggalkan kawasan tersebut tanpa memberitahu keluarga mangsa sehingga petang esoknya barulah keluarga mangsa mendapat tahu keadaan yang sebenar. “Pihak polis nampak anak saya terjun di sungai yang berarus deras pada ketika itu, tapi langsung tidak memberitahu kami. Inilah yang saya amat kesali” tambah Abd Wahab lagi.

Dalam kejadian kedua pula yang berlaku kira-kira jam 6.15 petang ketika Mohd Asmawi Mohd Nasir, 16 terjun ke Sungai Betis untuk mandi tidak jauh dari tempat mangsa pertama hilang, namun dalam keadaan arus sungai yang deras itu terus dihanyutkan sebelum hilang dibawa arus.

Gambar 3: Zainuddin mengimamkan Solat Hajat di rumah keluarga mangsa

Sehingga kini sudah lima hari mangsa masih belum dijumpai. Pertemuan dua kuala sungai yang berarus deras itu menhyebabkan air berpusar dengan kuat di bahagian tengah. Orang ramai masih berkampung ditepi kuala sungai membantu anggota pasukan penyelamat yang bertugas sambil terus berdoa kepada Allah SWT agar dipermudahkan segala urusan mencari mangsa.

Kunjungan BBC antara lain mengadakan Solat Hajat yang diimamkan sendiri oleh Drs. Zainuddin di rumah keluarga mangsa.  Rombongan yang juga turut dihadiri oleh YDP PAS Kawasan Gua Musang bersama Timb. Ketua Pemuda  serta  Setiausaha Penyelia DUN Nenggiri antara lain memberi sumbangan untuk pihak keluarga mengadakan tahlil dan doa selamat untuk terus memohon pertolongan Allah sehingga kedua-dua mangsa ditemui.

Tags: , ,