Sambutan Maulidul Rasul di Markaz Al-Aitam

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on February 26th, 2011 in Markaz Al-Aitam No Comments

KG. WAKAF, 26 Feb – Ahli Jawatankuasa Markaz Al-Aitam hari ini telah mengadakan sambutan Maulidul Rasul di Masjid Darul Aitam yang dihadiri oleh pelajar dan guru-guru dari Madrasah Al-Khairiyah, warga Pondok Yaakub Samba dan juga penduduk sekitar.

Selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW

Program bermula dengan Solat Zuhur berjemaah diiringi dengan berzanji serta bacaan selawat ke atas junjungan besar Muhammad SAW. Program juga diisi dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh pelajar anak-anak yatim di bawah jagaan Markaz Al-Aitam. Jamuan makan juga disediakan sementara menunggu Ceramah Maulidul Rasul oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Mustafa yang diadakan selepas Solat Maghrib .

Turut hadir dalam program ini ADUN Limbongan yang dalam ucapan beliau berkata sambutan seperti ini amat digalakkan bagi terus meneguhkan keimanan kepada Rasulullah SAW. “Walaupun kita tidak pernah mengenali paras rupa dan peribadi sebenar Rasulullah SAW secara dekat, namun seperti sabda baginda, umat hari ini adalah yang paling mulia kerana sentiasa berselawat, kasih dan mengikuti segala ajaran baginda” ujar Drs. Hj. Zainuddin lagi.Beliau juga mengingatkan agar sentiasa mendekati majlis-majlis ilmu seperti ini kerana usaha untuk mendapatkan ilmu agama adalah tanda kesyukuran ke hadrat Ilahi.

Sementara itu Setiausaha Jawatankuasa Markaz Al-Aitam, Nik Yusof Nik Abdullah yang mempengerusikan majlis tersebut berharap agar anak-anak dapat mengkuti malah akan lebih baik lagi pada masa akan datang setiap amalan ibadah yang ditunjukkan oleh orang-orang yang terdahulu.

Tags: , ,

Majlis Penyerahan Kunci Masjid Al-Aitam

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on November 13th, 2010 in Markaz Al-Aitam No Comments

KG WAKAF, 12 November – Para Jemaah Markaz Al-Aitam hari ini dengan penuh rasa kesyukuran berkumpul seperti mana biasa pada setiap pagi Jumaat untuk Majlis Ilmu dan Solat Duha tetapi kali ini dalam suasana berlainan di Masjid Al-Aitam yang telah pun siap sepenuhnya.

Pada hari bersejarah ini satu Majlis Penyerahan Kunci Masjid oleh wakil tuan tanah Hj. Mohd Salleh bin Hj. Hussin, 64 kepada  Penasihat Markaz Al-Aitam Ayahnda Tuan Guru Ayah Mat Permatang Gading. Majlis yang dipengerusikan oleh ADUN Limbongan YB Drs. Hj. Zainuddin Awang Hamat ini dihadiri oleh lebih kurang 50 orang jemaah muslimin dan muslimat.

Masjid Al-Aitam yang berkeluasan 80 kaki persegi dan mampu menampung 400 orang jemaah dalam satu masa ini telah dibina dan dibiayai sepenuhnya hasil dari kutipan derma sepanjang tahun ini. Lot tanah wakaf ini asalnya dimiliki oleh keluarga Allahyarham Hj. Husin bin Hj. Hassan, Hjh. Bidah binti Seman, Hjh. Selamah Hj. Yaakub dan Hjh. Maklesom Hj. Saat.

Sementara itu ADUN Limbongan dalam ucapan alu-aluan beliau menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua yang telah terlibat dalam pembinaan masjid ini. Dalam merealisasikan wawasan DUN Limbongan sebagai Pusat Ilmu beliau telah menyusun beberapa aktiviti yang bakal diadakan pada masa akan datang bagi mengimarahkan masjid ini. Selain dari konsep ilmuan, aktiviti yang dirancang antara lain berkaitan dengan pelancongan dan kebudayaan Islam bagi menarik minat para jemaah untuk beribadat di sini selain terus memberi sokongan dan sumbangan dalam menyiapkan sepenuhnya Markaz Al-Aitam pada akhir tahun ini juga.

Drs. Hj. Zainuddin juga menyatakan hasrat untuk membawa rombongan AJK Masjid ini pada satu masa nanti melawat perkampungan Orang Asal Kg. Lambok Kuala Betis bertujuan untuk menyebarkan dakwah Islamiah dan sebagai penghargaan kepada AJK yang selama ini bertungkus-lumus dalam menjayakan pembinaan Masjid Al-Aitam ini.

Tags: ,

LIMBONGAN, 19 Mac – ADUN Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat mewakili Bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Kak Wan Che Esah telah menyerahkan bantuan kewangan bagi membina Markaz Al-Aitam Kampung Wakaf kepada Pengerusi markaz, Tuan Guru Mohd Nordin (Ayah Mad), 16 Mac lalu.

“Kak Wan yang menghidap penyakit stroke namun masih mampu menggunakan lisan untuk menyata komitmen dalam perjuangan, maka beliau menghulurkan bantuan bagi membantu pembinaan bangunan Markaz Al-Aitam.

“Bagi pihak MTD Limbongan saya mengucapkan terima kasih dan berharap beliau bersabar menghadapi ujian Allah,” kata Adun Limbongan.

Tags: , , ,

BERSEMPENA dengan Program Pemukiman Dakwah DUN Limbongan maka pihak YB Adun Limbongan bersama pengurusan Markaz Al-Aitam mengadakan Solat Dhuha, Hajat dan Istisqa’ jam 8 pagi tadi di tapak pembinaan Masjid Al-Aitam.

Tanda rahmat daripada Allah amat diyakini apabila pada waktu solat dilakukan kelihatan awan mendung di langit tanda-tanda hujan akan turun (lihat foto).

Sewaktu Program Pemimpin Bersama Rakyat di SMU (A) Nahdatul Islamiah, Jelor pada waktu tengah hari hujan turun membasahi bumi Pasir Puteh.

Tapak masjid yang akan dibina seluas 10,000 kaki persegi itu telah diwakafkan oleh Hj Mohd Salleh Hussain sebagai mewakili pihak keluarganya, pasangan Hjh Bidah Saman dan Hj Hasan Salleh serta Hjh Makalsom Saad.

Tapak yang diwakafkan untuk pembinaan Masjid Al-Aitam itu dianggarkan bernilai RM120,000 di mana masjid dengan keluasan 3,000 kaki persegi berjumlah lebih kurang RM300,000 sebagaimana pelan asal.

Apa yang menarik kos pembinaan berkenaan ditanggung oleh keluarga beliau. Walau bagaimanapun beliau menyeru mana-mana pihak yang ingin berkongsi saham akhirat melalui pembinaan Masjid Al-Aitam ini bolehlah menghubungi pihak pengurusan Markaz Al-Aitam secara terus menerusi Pengerusi Markaz, Hj Mohd Nordin Ismail (Tuan Guru Ayah Mat) di talian 019-967 5378.

Solat Hajat berkenaan telah diimamkan oleh Tuan Guru Ayah Mad yang turut disertai sama oleh Setiausaha Markaz Al-Aitam, Nik Yusof Nik Abdullah, Setiausaha Adun Limbongan, Hj Mohd Judin Samad serta penduduk sekitar.

Sementara itu Setiausaha Markaz Al-Aitam, Hj Nik Yusof ketika ditemui selepas solat hajat berkenaan mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat atas kehadiran beliau melancarkan tabung dana pembinaan Markaz Al-Aitam, 20 Februari lepas.

Selain itu beliau turut mengucapkan terima kasih atas usaha dan sokongan ADUN Limbongan merangkap Penasihat Markaz Al-Aitam yang bertungkus lumus bagi menjayakan program tersebut.

“Tak lupa juga kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung atau tidak langsung terutama sekali kepada para penderma dan para petugas serta masyarakat sekitar sehinggakan derma yang diperolehi semasa hari pelancaran tersebut melebihi RM100,000 yang di luar jangkaan.

Tags: , ,

Majlis perasmian pungutan untuk menyiapkan bangunan pusat pengajian dan penginapan anak-anak yatim, Markaz Al-Aitam di Padang Pak Amat oleh Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 20 Februari 2010 bersamaan 6 Rabiulawal 1431.

Tags: , , ,