Kuliah Maghrib Sempena Sambutan Maal Hijrah

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on December 13th, 2010 in DUN Limbongan, Dunia Islam 1 Comment

KG. WAKAF, 7 Disember – Kuliah maghrib Sempena Sambutan Maal Hijrah dibawah anjuran Penduduk Mukim Kg. Wakaf yang diketuai oleh Penghulu Mukim, Mohd Sabri telah diadakan di Madrasah Madinatul Ilmi malam ini.

Penceramah jemputan khas Ustaz Mohd Rifki Imam Dua Masjid Taman Universiti, Johor Bharu dalam kuliah beliau menceritakan tentang sirah Rasulullah dan para Sahabat tentang bagaimana baginda berhijrah dari Kota Mekah ke Madinah.

Dalam tazkirah selama 1 jam setengah ini, beliau menekankan bagaimana setiap kejadian Allah SWT dimuka bumi ini wajib menjalankan tugas yang diamanahkan oleh Allah dalam membuat perubahan dan membetulkan kesilapan sekiranya kehidupan seharian kita berhadapan dengan kemungkaran yang ditegah olehNya.

“Bukan saja manusia yang diciptakan sebagai sebaik-baik kejadian ini mendapat arahan Allah, namun makluk lain pun begitulah sepertimana Allah mengarahkan labah-labah untuk membuat sarang memberi perlindungan kepada Rasulullah ketika bersembunyi di dalam gua semasa perjalanan baginda menuju ke Madinah dijejaki oleh kaum Quraisy” ujar Ustaz Rifki.

Selain itu beliau juga membuat kesimpulan bahawa dalam kita menghijrahkan diri kearah kebaikkan sudah pasti terdapat halangan yang kadang kala boleh melumpuhkan hasrat seseorang untuk membuat amal kebajikan. Menurut beliau, berbuat baik umpama menjaga sebidang sawah padi, walaupun dibaja dan dijaga dengan rapi, ianya tidak tumbuh semudah lalang.

Tazkirah oleh anak kelahiran tempatan ini mendapat perhatian seluruh jemaah termasuk ADUN Limbongan yang turut sama hadir di majlis tersebut dan berjaya menimbulkan rasa keinsafan, keinsanan dan kesyukuran dalam menyambut kedatangan Awal Muharam 1432H.

Tags: , , ,