WAKAF BERANGAN, 1 Disember - Program Siri Mudah Belajar dan Mengajar Al-Quran Teknik Al-Baghdadi yang dikelolakan oleh Syihab Resources dari Kedah hari ini telah berjaya menarik seramai 40 penyertaan dari tenaga pengajar PASTI dan ibu bapa sekitar Pasir Puteh.

Kursus yang telah diadakan di Maahad Tahfiz Darul Huffaz ini telah dirasmikan oleh ADUN Limbongan yang telah menyatakan hasrat beliau untuk menubuhkan satu skuad Murabitun Kebajikkan Perdana untuk gelombang pertama terdiri dari para peserta yang telah mengambil bahagian.

Skuad yang bakal ditubuhkan itu bertujuan untuk menjalankan kerja dakwah Islamiah untuk mendekatkan masyarakat dengan Al-Quran di mana teknik bacaan Al-Baghdadi ini boleh menimbulkan minat kepada kanak-kanak malahan orang dewasa juga untuk belajar dan mempertajamkan kemahiran mambaca Al-Quran.

Minda kanak-kanak tidak boleh lari dari permainan, apa sahaja mereka buat mesti ada unsur-unsur bermain. Pelbelajaran teknik Al-Baghdadi ini mempunyai set alatan permainan untuk menarik minat kanak-kanak belajar membaca Al-Quran. Untuk itu satu slot pembelajaran akan dijalankan setiap hari untuk pelajar-pelajar di Maahad Tahfiz Darul Huffaz dibawah bimbingan Ustaz Ridwan Al-Hafiz.

Antara kandungan dalam pembelajaran ini termasuk keupayaan mengenal dan membaca 29 huruf hijaiyyah, membaca tanda baris asas, tanwin, mad, sukun dan bacaan sabdu. Pembelajaran menggunakan ‘alat ketuk’ mampu mendisiplinkan pembaca bagi menguasai bacaan dengan lebih fasih dalam tempoh yang singkat.

Sementara itu Ustaz Muhd Rasydan B. Razali sebagai fasilitator utama hari ini menyatakan bahawa ramai pelajar dibawah bimbingan beliau dapat menguasai bacaan Al-Quran hanya dalam tempoh 3 bulan sahaja melalui modul pembelajaran teknik Al-Baghdadi ini.

Dalam temubual bersama wartawan limbongan.net, Drs. Zainuddin telah melahirkan hasrat beliau untuk menjadikan kursus ini sebagai salah satu elemen dalam terus merealisasikan DUN Limbongan sebagai Pusat Ilmu dengan menubuhkan Al-Baghdadi Training Center pada masa akan datang.

Tags: , ,