BBC lawat keluarga mangsa dihanyutkan arus Sungai Betis

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on January 23rd, 2012 in DUN Kelantan, Makluman No Comments

GUA MUSANG – Kelab penyokong Kerajaan Negeri Kelantan (BBC) mengunjungi dua keluarga mangsa kejadian hilang dihanyutkan arus Sungai Betis. Rombongan diketuai oleh ADUN Limbongan YB Drs, Zainuddin Ag. Hamat yang merupakan Timb. Presiden BBC  mewakili YAB Menteri Besar Kelantan yang turut sama bersimpati dengan nasib yang menimpa kedua-dua keluarga itu.

Gambar 1: Di sinilah pertemuan dua Kuala Sungai yang menyebabkan air berpusar kuat

Dalam kejadian jam 4.30 pagi 18 Jan lalu, Mohammad Ali Abdul Wahab, 26, hilang dihanyutkan arus deras selepas terjun di pertemuan dua sungai iaitu Kuala Sg. Betis dan Kuala Sg. Brooke (belakang rumah mangsa) ketika dikejar polis.

Bapa mangsa Abd Wahab Mat Diah, 67 ketika menceritakan keadaan sebenar setelah ditanya oleh Drs. Zainuddin menyatakan rasa terharu dengan kehilangan anaknya itu. Beliau hanya mampu berserah dan kejadian ini adalah satu panggilan yang tepat dari Allah SWT.

Namun beliau juga menyatakan rasa terkilan dengan tindakan pihak polis yang bertindak tidak mengikut prosedur. Beliau selaku Setiausaha Jawatankuasa Keselamatan Kampung menyatakan pihak polis tidak sepatutnya bertindak sedemikian. “Orang kampung ini ramai, kalau pihak polis memerlukan bantuan kami sentiasa sedia bersama membantu”  kata Abd Wahab.

Kejadian pecah masuk oleh pihak polis yang berlaku dirumah beliau itu amat mengejutkan lebih-lebih lagi pada waktu itu mereka sekeluarga sedang nyenyak tidur. “Beberapa anggota polis menendang pintu rumah saya dan masuk dengan tanpa buka kasut dan mengotorkan rumah saya dengan selut (lumpur) tanpa sebarang pertanyaan terus mengejar anak saya itu” ujar beliau lagi.

Gambar 2: Abd Wahab sedang menunjukkan tempat yang anaknya (mangsa) terjun

Lebih mengecewakan lagi apabila pihak polis yang mengejar mangsa itu terus meninggalkan kawasan tersebut tanpa memberitahu keluarga mangsa sehingga petang esoknya barulah keluarga mangsa mendapat tahu keadaan yang sebenar. “Pihak polis nampak anak saya terjun di sungai yang berarus deras pada ketika itu, tapi langsung tidak memberitahu kami. Inilah yang saya amat kesali” tambah Abd Wahab lagi.

Dalam kejadian kedua pula yang berlaku kira-kira jam 6.15 petang ketika Mohd Asmawi Mohd Nasir, 16 terjun ke Sungai Betis untuk mandi tidak jauh dari tempat mangsa pertama hilang, namun dalam keadaan arus sungai yang deras itu terus dihanyutkan sebelum hilang dibawa arus.

Gambar 3: Zainuddin mengimamkan Solat Hajat di rumah keluarga mangsa

Sehingga kini sudah lima hari mangsa masih belum dijumpai. Pertemuan dua kuala sungai yang berarus deras itu menhyebabkan air berpusar dengan kuat di bahagian tengah. Orang ramai masih berkampung ditepi kuala sungai membantu anggota pasukan penyelamat yang bertugas sambil terus berdoa kepada Allah SWT agar dipermudahkan segala urusan mencari mangsa.

Kunjungan BBC antara lain mengadakan Solat Hajat yang diimamkan sendiri oleh Drs. Zainuddin di rumah keluarga mangsa.  Rombongan yang juga turut dihadiri oleh YDP PAS Kawasan Gua Musang bersama Timb. Ketua Pemuda  serta  Setiausaha Penyelia DUN Nenggiri antara lain memberi sumbangan untuk pihak keluarga mengadakan tahlil dan doa selamat untuk terus memohon pertolongan Allah sehingga kedua-dua mangsa ditemui.

Tags: , ,

MAJLIS IFTHOR JAMA’IE TOK GURU BERSAMA MASYARAKAT ORANG ASLI DI KUALA BETIS

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on September 5th, 2010 in Umum No Comments

KG. LAMBOK, 4 September  -  YAB Tuan Guru diiringi oleh Dato’ Speaker DUN Kelantan, YB Mejar (B) Dato Anizan B. Abd Rahman, ahli Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Kelantan di wakili oleh Timbalan Presiden BBC  Kelantan YB Drs Zainuddin Awang Hamat, YB Abd. Fatah Harun, YB Abang Uji, YB Ariffibillah, Badan Bukan Kerajaan Damai Bakti Malaysia, Penolong Ketua Jabatan Hal Ehwal Islam, Wakil-wakil Majlis Agama Islam Kelantan, Polis Jajahan Gua Musang, JHEOA, Pimpinan PAS Kawasan Gua Musang, Wakil Pej Tanah dan Daerah Gua Musang.

YAB Tok Guru dalam amanah dan tazkirah merasa amat bertuah dan bersyukur kerana pada tahun ini dapat bertemu muka dengan semua masysarakat orang asli di Kuala Betis dan yang terlibat dengan kecaknaan dakwah bagi meletakkan masyarakat orang asli setaraf dengan warga Negara di Malaysia dalam aspek ekonomi, akhlak dan pembangunan fizikal.

YAB Tuan Guru melahirkan rasa keinginan agar suatu hari nanti dapat berhari raya bersama masyarakat orang asli di sini. Sebagai ketua kerajaan yang memerintah negeri ini beliau sentiasa mendengar pandangan dan cadangan dari mana-mana pihak demi keadilan kepada rakyat Negeri Kelantan khususnya masyarakat orang asli.

Banyak perkara yang boleh dilakukan bagi membangun masyarakat orang asli secara menyeluruh maka pelbagai pendekatan mesti diambil kira oleh pihak kerajaan mahupun pihak NGO sebagai mana contoh oleh Damai Bakti Malaysia yang telah menempatkan seorang Ustaz  untuk tenaga pengajar fardhu ain (Ustaz Mustafa Yaakub) dimana beliau akan ditempatkan sebagai muallim oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan.

Pada kesempatan ini, Timbalan Presiden BBC Kelantan merasakan terharu di atas kehadiran YAB Tuan Guru dan sambutan oleh masyarakat setempat bagi menjayakan program yang telah dirancang antara Pejabat Menteri Besar, NGO Damai Bakti Malaysia dan BBC Kelantan.

Demi mejayakan hasrat YAB Tuan Guru sebagai Exco Kerajaan, pihak BBC memikirkan beberapa alternatif agar kesinambungan ini terus digerakkan secara sistematik dan bukan secara bermusim sahaja. Antara lain adalah supaya pihak kerajaan membuat satu plan penempatan penduduk orang asli di Rancangan Penempatan Semula Penduduk (RPTS Gua Musang) sebagai Pusat Tamadun Islam yang merangkumi masjid, institusi pendidikan awal kanak-kanak, Sekolah Agama YIK dan dewan orang ramai sejajar dengan konsep “Gua Musang Medan Zon Ilmu Selatan”.

Selain dari itu konsep pendidikan bergerak (mobile education), pentas Islamik Deklamasi dan Lakon (I-Dikon) bagi pendidikan Islam melalui pendekatan seni dan kebudayaan. Pelajar-pelajar yang terpilih sewajarnya diberi perhatian untuk diberi pendidikan khas sebagai kader dakwah bagi masyarakat setempat.

Bagi Pandak bin Panjang Ey salah satu tok batin di Kg. Lambok mohon kepada YAB Tuan Guru untuk mengadakan kunjungan ke Pulau Melaka. Mereka juga mengucapkan terima kasih kepada YAB Tuan Guru kerana telah meluluskan pemilikkan tanah di RPTS Gua Musang. Rasa gembira ini semua Tok Batin member komitmen untuk bersama-sama YAB Tuan Guru bagi memajukan Masyarakat orang asli.

Ustaz Mustafa Yaakub sebagai muallim yang ditempatkan oleh Damai Bakti Malaysia dan BBC Kelantan sejak 2 tahun lalu berjaya memberi pendidikan kepada anak-anakorang asli  seramai 40 orang pelajar yang kini sudah mampu menguasai bacaan Al-Quran dengan baik.

Pada Majlis ini juga YAB Tuan Guru menyampaikan sumbangan dari BBC Kelantan iaitu komputer riba, LCD projector dan pakej pembelajaran Al-Quran yang boleh menambahkan motivasi dalam pembelajaran fardhu ain.

Pengerusi Damai Bakti Malaysia, En. Shamsudin Saleh amat terharu dengan kehadiran YAB Tuan Guru pada bulan Ramadhan ini di Kg. Lambok untuk mendengar segala permasalahan dengan teliti dan akan mengatasi sedaya upaya mengikut keupayaan Kerajaan Negeri walaupun dalam keadaan hujan lebat Tok Guru masih mampu seyum kerana ingin bersama-sama dalam majlis yang amat bermakna ini sempena Ifthor Ramadhan.

YB Ustaz Abdullah Yaakub mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program ini dan menyampaikan 160 hamper dan beras  yang di sumbangkan oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Tags: , , , ,