Cakna Duafat: Dua beradik sebatang kara bersyukur

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on March 13th, 2011 in DUN Limbongan No Comments

KG. CHERANG TULI, 11 Mac – Kepayahan hidup 2 beradik yang tinggal dalam keadaan yang sangat daif mendapat perhatian dari pimpinan MTD Limbongan yang hari ini melancarkan aktiviti gotong-royong di bawah program Cakna Duafat. Aktiviti seperti ini adalah kali yang kedua telah dilakukan oleh MTD Limbongan dalam minggu ini.

Setelah kematian bapa lebih 10 tahun yang lalu dan ibu 2 tahun  yang lalu, Yusuf Mamat, 51 dan adiknya Yaakub Mamat meneruskan kehidupan di rumah usang ini dengan menyara hidup melalui pendapatan mereka hasil dari kerja-kerja kampung. Dua lagi adik beradik mereka yang sudah berumah tangga tinggal bersama keluarga masing-masing sementara dua orang lagi telah pulang ke rahmatullah beberapa tahun yang lalu akibat dari sakit kronik.

Yusuf Mamat yang lebih dikenali dengan panggilan Dollah di Kg. Cherang Tuli (berdekatan dengan Tmn. Derasa) juga menderita sakit kencing manis dan darah tinggi. Dahulunya, beliau seorang yang sangat aktif dalam sukan namun ketentuan takdir menyebabkan beliau tidak boleh melakukan sebarang aktiviti lasak lagi.

Dollah juga sempat menceritakan bagaimana di saat-saat akhir hayat ibu kesayangan beliau. Kenangan itu menyebabkan beliau sangat sayang dengan apa yang ditinggalkan oleh arwah ibu kepada beliau. “Kalau kapten kapal, dia akan bersumpah untuk mati dalam kapalnya. Rumah ini tidak ternilai bagi saya” kata Dollah dalam nada yang sangat menyayat hati dan tidak mahu rumah itu dirobohkan untuk diganti dengan yang baru.

Sementara itu, Pengarah Cakna Duafat kali ini En. Ghazali Abdullah menyatakan keluarga ini dari dulu lagi memang hidup dalam serba kekurangan namun mereka tidak pernah meminta bantuan dari mana-mana pihak. Tidak hairanlah 2 beradik ini sehingga hari ini tidak mendapat bantuan bulanan dari mana-mana pihak sekalipun. Namun memikul tanggungjawab sebagai pemimpin, MTD Limbongan kali ini tidak terlepas pandang dengan nasib mereka dan akan berusaha menyiapkan kerja-kerja membaiki rumah ini dengan kadar segera.

ADUN Limbongan yang turut sama hadir dalam gotong-royong ini mengucapkan syabas dan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program ini terutama kepada kakitangan Jabatan Perkhidmatan Awam yang  hadir membantu.

Tags: , ,