Memakmurkan Masjid TMFP Gua Musang

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on October 6th, 2010 in DUN Kelantan, ICT, Lawatan No Comments

GUA MUSANG, 4 Oktober – Menyedari peranan dan fungsi masjid dalam mentadbir kehidupan seharian, Kerajaan Negeri Kelantan menganjurkan satu program melalui Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan untuk mengimbas peranan masjid di Zaman Rasulullah SAW.

ADUN Limbongan yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan mewakili Kerajaan Negeri Kelantan menyatakan masjid adalah Rumah Allah yang menjadi Jantung Hati untuk umat Islam beribadat.

Menurut beliau lagi, masjid perlu dihias bukan sahaja pada bangunan masjid tersebut tetapi pengisian aktiviti keagamaan mesti di susun dan dikemaskinikan setiap masa.

Antara faktor utama yang boleh membawa ke arah itu adalah penyusunan AJK masjid yang efektif, banyak mengadakan kuliah yang dikendalikan oleh penceramah dari luar dan hebahan juga penting bagi memberitahu informasi dan perkembangan masjid. Sehubungan itu, Drs. Zainuddin telah melancarkan Facebook Masjid TMFP Gua Musang pada majlis tersebut.

Menurut Zainuddin lagi, AJK Masjid perlu mendekatkan diri dengan orang awam terutama golongan belia tidak kira dengan apa cara sekalipun untuk menarik kunjungan jemaah supaya lebih ramai lagi pada masa akan datang.  Pada hari ini, terdapat masjid yang hanya terhad kepada beberapa aktiviti keagamaan sahaja yang menyebabkan kunjungan jemaah yang ramai hanya pada hari-hari kebesaran Islam seperti Solat Jumaat dan Sunat Hari Raya. Disebabkan itu, jemaah lebih gemar untuk beribadat dirumah.

Drs. Zainuddin antara lain dalam ucapan beliau menyatakan hasrat Kerajaan Negeri Kelantan untuk membina Islamik Homestay di perkarangan masjid tersebut sejajar dengan pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan berkonsepkan Islam di Jajahan ini. “Membina masjid tidaklah susah sepertimana memakmurkannya juga”,  ujar Drs. Zainuddin lagi.

Tags: , , , ,