Jom Heboh: Tok Guru mendepani naluri rakyat

Posted by admin on March 28th, 2010 in Isu Semasa No Comments

PASIR PUTEH, 28 Mac – Timbalan Pengerusi II Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Drs Zainuddin Awang Hamat sependapat dengan pandangan Dato’ Takiyuddin Hassan yang membenarkan konsert Jom Heboh diadakan di negeri ini.

Katanya, pandangan Takiyuddin selaku Exco Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan adalah amat berasas kerana menghormati undang-undang kecil enakmen hiburan kerajaan negeri.

Justeru itu kata Drs Zainuddin, tidak keterlaluan apabila Tok Guru melahirkan hasrat untuk membenarkan program ini sebagai acara tahunan di Kelantan memandangkan ia mampu memberi hiburan alternatif kepada rakyat.

“Tok Guru tidak pernah menyekat naluri manusia untuk berhibur asalkan masih dalam skema yang terkawal.

“Sebab itulah dalam program Jom Heboh, Komponen solat, pemisahan antara jantina dan keluarga diwujudkan yang tidak ditemui di tempat selain Kelantan.

“Maka bergantunglah kepada rakyat untuk memanfaatkan ruang hiburan yang tidak melampau yang boleh menjejaskan kod etika sosial berteraskan islam.

“Walau pun ada pihak tertentu yang cuba memberi satu gambaran konfrontasi antara TV3 dengan kerajaan negeri, maka yang terlibat dengan kepimpinan sahaja dapat menghayati realiti semasa,” katanya kepada wartawan BBCKelantan.com di kediaman beliau di sini, petang tadi.

Sebelum ini katanya, kerajaan negeri pernah membenarkan konsert membabitkan artis terkenal tanah air seperti Mawi dan Amy Search menyebabkan golongan berkenaan dapat mendekati pihak kerajaan tanpa rasa curiga, seolah-olah kepimpinan ulamak menjauhi para artis.

“Hasil daripada pendekatan sederhana ini, sudah banyak artis yang memberi satu persepsi bersih kepada kerajaan negeri Kelantan seperti Aisyah umpamanya yang sanggup memenuhi undangan kerajaan negeri untuk menghiburkan golongan wanita,” katanya.

Tags: , , ,

Wakil rakyat keluar parti ‘pengkhianat’

Posted by admin on March 24th, 2010 in Isu Semasa No Comments

KOTA BHARU, 24 Mac – Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan wakil rakyat yang lompat parti tetapi enggan melepaskan jawatan mereka sebagai golongan yang pecah amanah.

Tok Guru berkata, wakil rakyat yang ingin melompat parti sepatutnya meletakkan jawatan dan bertanding semula bagi mendapat mandat rakyat kerana mereka menang pada pilihan raya lepas berdasar kepada parti yang mereka wakili.

Katanya, apabila wakil rakyat terbabit menang kerana meraih undi berdasar parti politik yang mereka wakili, maka mandat rakyat itu perlu dipulang kembali apabila mereka melompat ke parti lain.

“Mereka ni tak betul kerana telah pecah amanah.. khianat (kepada rakyat).. kalau nak lompat kena letak jawatan (dan) bertanding semula, baru betul.

“Serupa kita berkongsi berniaga, si A ada duit tapi tak ada idea (untuk berniaga) manakala si B tak ada duit tapi ada idea dan usaha.

“Maka begitu juga wakil rakyat mereka ada idea untuk dibawa ke parlimen manakala rakyat berkongsi beri undi kepada mereka, sebagaimana mereka yang kongsi berniaga dikira pecah amanah kerana bawa lari duit begitu juga wakil rakyat pecah amanah kerana bawa lari undi daripada rakyat.

“Lebih baik wakil rakyat Cina dari Perlis yang letak jawatan bila dia tak setuju dengan parti,” kata Tok Guru semasa menyampaikan kuliah Maghrib mingguan di Masjid Pulau Melaka, malam ini.

Baru-baru ini tiga wakil rakyat dari PKR bertindak keluar parti dan mengisytihar sebagai wakil rakyat bebas tetapi enggan melepas jawatan mereka walau pun didesak oleh para pengundi kawasan masing-masing.

Wakil rakyat terbabit ialah Ahli Parlimen (MP) Bayan Baru, Datuk Zahrain Hashim, MP Bagan Serai, Mohsin Fadzli dan MP Nibong Tebal, Tan Tee Beng.

Seorang lagi wakil rakyat PKR iaitu MP Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin pula dipecat dari parti itu ekorang masalah disiplin yang serius.

Tags: , , ,

MB mohon menghadap Sultan Kelantan

Posted by admin on March 11th, 2010 in Isu Semasa No Comments

KOTA BHARU, 10 Mac – Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menghantar surat permohonan kepada istana Kelantan bagi memohon perkenan menghadap Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra.

Katanya, surat berkenaan dihantar bagi mendapatkan persetujuan mengadap baginda bersama anggota-anggota Exco kerajaan negeri.

“Sejak keberangkatan pulang baginda pada Khamis lalu pemimpin kerajaan negeri belum lagi mengadap biar pun telah menyambut keberangkatan pulang baginda dari Singapura,” katanya selepas mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Pada 4 Mac lalu, Sultan Kelantan berangkat pulang dari Singapura selepas mendapat rawatan lanjut di negara itu sejak 24 Mei lalu.

Sebelum itu, baginda menghadapi masalah jantung dan dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian.

Turut menyambut keberangkatan pulang baginda Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco kerajaan negeri dan pegawai kanan kerajaan negeri dan Persekutuan.

Bagaimanapun Menteri Besar tidak dapat hadir kerana sedang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian kerana masalah kesihatan.

Harakahdaily

Tags: , , ,

KOTA BHARU, 10 Mac – Ekoran keadaan kemarau yang agak luar biasa yang kini dirasai oleh seluruh rakyat Kelantan, kerajaan negeri akan menganjurkan majlis solat sunat istisqa.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, solat sunat berkenaan yang bakal diadakan Jumaat ini, bertujuan supaya Allah menurunkan hujan.

Beliau berkata demikian dalam sidang medianya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Menurutnya, amalan solat tersebut telah dilakukan oleh baginda Rasulullah s.a.w. sebelum ini untuk tujuan yang sama.

“Untuk mendapat rahmat di samping mengharapkan permohonan kita diterima Allah, esok saya seru semua rakyat Kelantan yang beragama Islam supaya bersedekah banyak-banyak di samping berpuasa sunat.

“Saya sendiri akan berpuasa esok hari, insya Allah dan akan bersedekah juga sekadar kemampuan yang ada pada saya kepada fakir miskin, insya Allah,” ujarnya.

Beliau memberitahu, Jumaat ini, rakyat Kelantan hendaklah hadir pada majlis itu selewat-lewatnya pukul 8.00 pagi, di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV.

Jelasnya, selain menunaikan solat sunat istisqa itu, beliau sendiri akan menyampaikan tazkirah mengenai pengertian solat itu berdasarkan hadis-hadis Rasulullah.

Sambungnya lagi, solat sunat berkenaan akan diadakan kira-kira pukul 8.30 pagi, iaitu selepas tazkirah.

Sehubungan itu, kuliah agama di Medan Ilmu dibatalkan yang digantikan dengan solat sunat dan tazkirah di perkarangan stadium.

Beliau bagaimanapun memberitahu, program solat sunat tersebut akan turut diadakan secara berperingkat di setiap kawasan dalam negeri ini.

Menurutnya, program itu akan diatur sendiri oleh penganjur di peringkat kawasan, bagaimanapun beliau juga akan hadir sekiranya dijemput.

“Saya setuju benar sekiranya solat sunat ini diadakan di seluruh Kelantan, pandai-pandailah nak buat ikut zon ke,” ujarnya.

Tuan Guru berkata, biarpun Kelantan tidak begitu kritikal menghadapi masalah air, bagaimanapun kemerosotan air sama ada di sungai dan telaga, agak ketara akibat cuaca terlalu panas.

Menyentuh tentang keperluan berjimat menggunakan air tidak seharusnya berlaku sewaktu musim kemarau, sebaliknya sepanjang masa sebagaimana mengikut ajaran Islam.

Tambahnya, rakyat Kelantan yang sudah terbiasa dengan air banyak, menyebabkan mereka menggunakan daripada yang sepatutnya.

“Saya selalu menyebut Nabi Muhammad s.a.w. mengambil wuduk hanya secupak air, dan mandi segantang air,” ujarnya.

Menurutnya, amat tidak wajar membazir air, sedangkan untuk mendapatkan bahan tersebut mengikut kaedah sains begitu sukar sekali.

Mengikut ahli sains dunia akan berperang kerana air kemudian hari nanti kerana kekurangan bahan itu sebagaimana sekarang berperang kerana minyak.

Kerana itu, tambahnya manusia wajib menjaga keperluannya demi untuk kegunaan masa panjang.

Menyentuh tentang catuan air pula, beliau memberitahu Kelantan tidak sampai ke peringkat itu.

Bagaimanapun, sambungnya catuan air bukan sewaktu ketiadaan air semata-mata, sebaliknya kerana Islam sendiri menggalakkan menjimatkan penggunaan air.

“Contohnya penggunaan air di masjid-masjid yang perlu benar berjimat, apa lagi bil airnya dibayar oleh pihak masjid sendiri dengan menggunakan wang sumbangan derma orang ramai.

“Kalau kita membazir bermakna kita membazir harta orang ramai,” ujarnya.

Harakahdaily

Tags: , , ,

Perdana Resort menggapai pelancong

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on March 9th, 2010 in Isu Semasa No Comments

KOTA BHARU, 9 Mac – Pengerusi Lembaga Pengarah Perdana Resort, Drs Zainuddin Awang Hamat mengambil kesempatan mengalu-alukan kehadiran para pelancong untuk menggunakan semua kemudahan yang disediakan di Perdana Resort termasuk golongan artis.

“Keterbukaan kerajaan negeri dalam pendekatan hiburan adalah amat terbuka dan saya mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Pengarah Drama, Zul Arsyad yang memilih Perdana Resort sebagai lokasi penggambaran drama “Kalau Tidak Kerana Puan”.

“Saya mengharapkan drama ini berakhir dengan para penggiat seni menghayati karya-karya yang bersesuaian dengan syariat,” katanya  semasa meraikan jamuan tengah hari kepada krew drama berkenaan, kelmarin.

Majlis keraian berkenaan turut dihadiri pelakon terkenal termasuk pelakon wanita bertudung, Aida Radzwil serta Mubarak Majid.

Artikel berkaitan

Tags: ,

Akhirnya PKR pecat YB Zulkifli Noordin

Posted by admin on March 6th, 2010 in Pakatan Rakyat No Comments

PETALING JAYA, 6 Mac – Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dipecat daripada PKR hari ini.

Perkara tersebut diumumkan Setiausaha Agungnya, Saifuddi Nasution Ismail pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya petang ini.

Timbalan Presiden PKR Syed Husin Ali, Naib Presiden Mustaffa Kamil Ayub, Ketua Penerangan Latheefa Koya dan Pengarah Strategik Tian Cua turut hadir. Bagaimanapun, ketua umummnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan presiden parti Datuk Seri Wan Azizah Ismail tidak turut serta dalam sidang media tersebut.

Sehubungan itu, Zulklifi juga diminta mengosongkan kerusi parlimen Kulim-Bandar Bharu yang dimenanginya pada pilihan raya umum 2008.

Bagaimanpun Zulklifi dibenarkan membuat rayuan dalam tempoh 14 hari berhubung pemecatan itu.

Dua hari lalu, Zulkifli dihadapkan ke lembaga jawatankuasa dispilin PKR tetapi bertindak keluar selang sejam kemudian.

‘Kesalahan berulang-ulang’

Beliau dihadapkan ke jawatankuasa itu bagi memberi penjelasan berhubung bidasannya terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan membuat laporan polis ke atas ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Zulklifi mendakwa panel yang sepatut menentukan masa depannya hari ini sepatutnya dianggotai oleh orang Islam kerana ia membabitkan penggunaan isu kalimah Allah dan agama Islam.

Dakwaannya itu bagaimanapun ditolak dan menurut setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution, kes Zulklifi tidak kena mengena dengan isu kalimah Allah.

Dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR selama kira-kira 3 jam setengah, Saifudin menjelaskan, keputusan terhadap Zulkifli dibuat secara sebulat suara selepas mempertimbangkan pelbagai aspek, termasuk kesan “kesalahan yang berulang-ulang” yang dilakukannya dan kesannya terhadap parti.

Saifuddin berkata, surat bagi memaklumkan keputusan tersebut akan dimaklum kepada Zulkifli pada Isnin ini melalui pelbagai surat, faks dan e-mel.

Menurut Saifuddin, Zulkifli disabitkan bersalah kerana membuat laporan polis terhadap wakil rakyat PAS Khalid Samad dan ekoran kenyataannya yang dibuat dalam sebuah wawancara di TV3 sebelum ini, antarnaya berbentuk serangan terhadap dasar dan pendirian parti serta kemampuan Pakatan Rakyat.

Kulim diselia Gobalakhrisnan

Saifuddin berkata, selepas tempoh rayuan tamat, sekiranya rayuannya ditolak, PKR akan mendesak ahli parlimen kontroversi itu mengosongkan kerusi parlimen kawasan tersebut kerana kemenangannya sebelum ini diperoleh atas tiket PKR.

Ditanya tindakan PKR sekiranya Zulkifli enggan berbuat demikian, Saifuddin hanya berkata, beliau yakin, sebagai ahli parlimen yang bertanggungjawab dan faham nilai integriti dan kewibawaan, beliau akan akur pada desakan tersebut.

Sementara itu, katanya, PKR juga menugaskan pemimpinanya menjaga kebajikan kawasan di mana wakil rakyat mereka berpaling tadah.

Beliau menambah, wakil rakyat Padang Serai N Gobalakhrisnan selepas ini akan ditugaskan menjaga kawasan Kulim-Bandar Baharu. Awar di Nibong Tebal, Yusmadi Yusoff (Balik Pulau) ditugaskan di Bayan Baru dan Dr Lee Boon Chye (Gopeng) di Bagan Serai.

Sementara Zulkifli ketika dihubungi Malaysiakini sejurus selepas keputusan tersebut diumumkan enggan mengulas lanjut kerana bercadang mengadakan sidang media khas mengenai perkara itu lewat petang ini.

Petikan Malaysiakini

Tags: , , , , ,