Wakil rakyat keluar parti ‘pengkhianat’

Posted by admin on March 24th, 2010 in Isu Semasa No Comments

KOTA BHARU, 24 Mac – Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan wakil rakyat yang lompat parti tetapi enggan melepaskan jawatan mereka sebagai golongan yang pecah amanah.

Tok Guru berkata, wakil rakyat yang ingin melompat parti sepatutnya meletakkan jawatan dan bertanding semula bagi mendapat mandat rakyat kerana mereka menang pada pilihan raya lepas berdasar kepada parti yang mereka wakili.

Katanya, apabila wakil rakyat terbabit menang kerana meraih undi berdasar parti politik yang mereka wakili, maka mandat rakyat itu perlu dipulang kembali apabila mereka melompat ke parti lain.

“Mereka ni tak betul kerana telah pecah amanah.. khianat (kepada rakyat).. kalau nak lompat kena letak jawatan (dan) bertanding semula, baru betul.

“Serupa kita berkongsi berniaga, si A ada duit tapi tak ada idea (untuk berniaga) manakala si B tak ada duit tapi ada idea dan usaha.

“Maka begitu juga wakil rakyat mereka ada idea untuk dibawa ke parlimen manakala rakyat berkongsi beri undi kepada mereka, sebagaimana mereka yang kongsi berniaga dikira pecah amanah kerana bawa lari duit begitu juga wakil rakyat pecah amanah kerana bawa lari undi daripada rakyat.

“Lebih baik wakil rakyat Cina dari Perlis yang letak jawatan bila dia tak setuju dengan parti,” kata Tok Guru semasa menyampaikan kuliah Maghrib mingguan di Masjid Pulau Melaka, malam ini.

Baru-baru ini tiga wakil rakyat dari PKR bertindak keluar parti dan mengisytihar sebagai wakil rakyat bebas tetapi enggan melepas jawatan mereka walau pun didesak oleh para pengundi kawasan masing-masing.

Wakil rakyat terbabit ialah Ahli Parlimen (MP) Bayan Baru, Datuk Zahrain Hashim, MP Bagan Serai, Mohsin Fadzli dan MP Nibong Tebal, Tan Tee Beng.

Seorang lagi wakil rakyat PKR iaitu MP Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin pula dipecat dari parti itu ekorang masalah disiplin yang serius.

Tags: , , ,

KOTA BHARU, 5 Mac – Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, tindakan beberapa wakil rakyat PKR yang keluar parti dan menjadi wakil bebas disifatkan sebagai “buaya di sebalik batu”.

“Sedihnya, ribut tidak (ada), hujan pun tidak, tiba-tiba bah melanda! Syak saya teramat kuat akan adanya kepentingan politik (mereka) tersendiri. Ini bukannya udang di sebalik batu, bahkan buaya,” katanya.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS mengulas ‘fenomena’ keluar parti yang menghantui PKR setelah tiga anggota parlimennya berpaling tadah dalam tempoh yang amat dekat.

Mereka ialah Datuk Seri Zahrain Hashim (Bayan Lepas), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai).

Dalam satu kenyatan hari ini, Nik Aziz berkata, jika terdapat perasaan tidak puas hati dengan kepimpinan sedia ada, perkara itu boleh disuarakan dengan dengan pelbagai cara, tetapi bukan dengan melompat parti.

“Usulkan sahaja sidang tergempar, ambil tindakan kepada mana-mana pemimpin yang bersalah. Paling tidak, adakan perbincangan dari hati ke hati.

“Bukankah ini menjadi amalan biasa turun temurun di dalam menyelesaikan urusan rumahtangga parti?” soalnya yang kini sedang mendapatkan rawatan kerana sakit dada di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kota Bharu sejak kelmarin.

Sehubungan itu, Nik Aziz menambah, pemimpin yang meninggalkan parti perlu juga meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen sebagai tanda menghormati mandat yang diberikan rakyat kepadanya.

“Bertanding atas tiket parti lain, tiba-tiba menukar haluan. Bukankah ini satu penipuan? Umpama meminang anak dara orang dengan perwatakan lebai, alih-alih bertukar rupa menjadi pencuri,” sindirnya.

Beliau juga menasihatkan PKR – yang disifatkanya sebagai parti yang masih muda – tidak berputus asa kerana perkara yang sama pernah berlaku pada PAS sendiri, termasuk melibatkan pemimpin tertingginya.

“Hari ini, PAS sudah dewasa dan matang, tidak lagi kedengaran pimpinan yang melompat sebagaimana dahulu.

“Bahkan Kelantan pernah diperintah dengan kelebihan satu kerusi dan dua undi! Alhamdulillah, tidak ada yang melompat,” katanya.

Petikan Malaysiakini

Tags: , , , , ,

PETALING JAYA, 4 Mac – Dua belas Ahli Parlimen PKR menyuarakan sokongan terhadap parti dan menyelar spekulasi mereka akan keluar parti seperti yang didakwa dalam beberapa laman blog.

Ahli Parlimen Teluk Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas, yang mewakili Ahli Parlimen terbabit, berkata mereka masih berpegang teguh terhadap pucuk kepimpinan parti itu.

“Kami mengambil ketetapan sekeras-kerasnya menolak dakwaan bahawa kami akan meninggalkan parti sepertimana yang dispekulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab semata-mata untuk mengganggu kesatuan dan perpaduan dalam parti,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di Tropicana semalam.

Pada sidang media itu, 10 Ahli Parlimen hadir manakala dua lagi iaitu Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh, dan Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan, tidak hadir kerana mempunyai urusan luar.

Mereka yang hadir ialah Ahmad Kassim (Kuala Kedah), Yusmadi Yusoff (Balik Pulau), S Manikavasagam (Kapar), Datuk Rashid Din (Merbok), Azan Ismail (Indera Mahkota), Hee Loy Sian (Petaling Jaya Selatan), Abdullah Sani Abdul Hamid (Kuala Langat), Ab Aziz Ab Kadir (Ketereh) dan Amran Ab Ghani (Tanah Merah).

Mengulas mengenai tindakan ahli yang keluar parti, Kamarul Baharin berkata kemungkinan ia disebabkan masalah peribadi yang tidak dimaklumkan kepada pimpinan parti.

“Saya tak menduga kemungkinan itu (masalah peribadi) menjadi tugas kepimpinan parti untuk ambil tahu. Tapi kalau masalah berkaitan dengan parti, saya ingat parti tidak mengabaikan tanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Yusmadi berkata PKR perlu melihat dan memperbaiki segala kesilapan kerana tindakan keluar parti sering berlaku.

BERNAMA/Berita Harian

Tags: , , , , ,

3 bekas MP PKR khianati amanah rakyat

Posted by admin on March 4th, 2010 in Pakatan Rakyat No Comments

KOTA BHARU, 4 Mac – Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan langkah tiga bekas ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) keluar daripada parti itu mengkhianati amanah rakyat.

Justeru, beliau menggesa kesemua ahli Parlimen terbabit supaya meletakkan jawatan bagi memberikan peluang kepada rakyat untuk memilih calon yang diingini.

Katanya, rakyat memberikan undi kepada ketiga-tiga ahli Parlimen tersebut kerana percaya dengan perjuangan parti yang mereka sertai.

“Saya nasihatkan mereka ini letak jawatan dan bertanding semula, demi maruah dan agama kerana mereka telah mengkhianati amanah yang diberikan rakyat.

“Jangan fikir senang, manusia walaupun gagah ada masanya dia akan lemah. Rakyat memberi undi kepada parti, mereka mengkhianati amanah yang diberikan,” katanya ketika ditemui pada majlis solat hajat sempena pembukaan pasar raya Mydin, Kubang Kerian di sini semalam.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan ahli Parlimen terbabit yang keluar parti dan menjadi ahli Parlimen Bebas.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim; Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri hari ini yang mengisytiharkan dirinya sebagai Ahli Parlimen Bebas.

Sementara itu, Nik Aziz menafikan bahawa beliau tidak dijemput untuk menghadiri majlis perlepasan Le Tour De Langkawi (LTdL) Isnin lalu.

Katanya, sekiranya tidak dijemput beliau tidak akan hadir pada majlis berkenaan sehingga terpaksa meninggalkan sidang DUN yang sedang berlangsung.

Tags: , , , ,

MP Bagan Serai belot, keluar PKR

Posted by admin on March 4th, 2010 in Pakatan Rakyat No Comments

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri mengumumkan keluar daripada PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas pada sidang media yang turut dihadiri bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim di sini, semalam.

Mohsin, 65, yang dilantik mewakili PKR di kerusi utara Perak adalah ahli parlimen ketiga parti itu yang bertindak keluar parti.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bayan Baru, Zahrain Hashim dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng bertindak keluar dari PKR dan mengisytihar sebagai wakil rakyat bebas.

Pada sidang media di Ampang, Moshin diiringi oleh bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim. Salehuddin sebelum ini juga muncul pada dua sidang media di mana dua ahli parlimen PKR berkenaan mengumumkan tindakan keluar parti mereka.

Turut keluar PKR ialah bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin.

Pada pilihan raya umum 2008 lalu, Mohsin yang pertama kali bertanding mengalahkan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin dari Umno dengan majoriti 3,413 undi.

Parlimen Bagan Serai mempunyai 47,111 pengundi berdaftar.

Berikutan senario terbaru ini, jumlah ahli parlimen PKR kini tinggal 27 orang. Jumlah itu adalah kurang daripada kerusi yang dimiliki oleh sekutunya dalam Pakatan Rakyat, DAP.

DAP mempunyai 28 kerusi, manakala PKR sekarang ini memiliki 27 dan PAS 23.

Bagaimanpun pemimpin DAP dan juga PAS semalam memaklumkan mereka akan terus memberi sokongan kepada ketua umum PKR untuk menjadi Ketua Pembangkang di parlimen.

Isnin lalu, Salehuddin meramalkan, lebih 10 lagi wakil rakyat PKR akan keluar parti itu.

Bercakap dalam sidang akhbar tersebut, Mohsin berkata beliau bertindak keluar parti kerana tidak bersetuju dengan pendirian PKR berhubung isu Allah.

Menurutnya, beliau telah membangkitkan perkara itu melalui saluran parti tetapi mendakwa ia tidak dihiraukan.

Salehudin pula berkata, PKR tidak seharusnya membuat sebarang pendirian ketika ahli-ahlinya masih bercelaru mengenai isu tersebut.

Beliau mendakwa, keputusan dibuat oleh satu dua orang tanpa dibahaskan.

Keadaan itu, tambahnya, telah menimbulkan kegelisahan di kalangan pemimpin di peringkat akar umbi.

Tags: , , , , , ,

Bekas setiausaha agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim meramalkan lebih 10 wakil rakyat PKR akan keluar parti itu.

“Mungkin lebih daripada 10. Ambil semua jumlah (wakil rakyat), tolak yang sosialis, NGO liberal dan kroni, buatlah kerja matematik (mengira),” katanya.

“Tetapi semua mereka tidak akan melompat pada masa yang sama, mereka akan muncul seorang atau dua orang sekali. Seperti dalam sukan tinju, ada regunya masing-masing.”

Didesak membuat penjelasan lanjut, beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama atau jumlah sebenarnya wakil rakyat terbabit dengan alasan ia akan dilakukan pasa masa yang sesuai.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar di mana ahli parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng mengumumkan keluar PKR dan menjadi wakil rakyat bebas.

Salehuddin juga meramalkan akan wujud satu ‘blok MP’ bebas di Dewan Rakyat.

“Kamu sedar ada perkembangan dalam PAS dan DAP ke arah itu. Terdapat juga perkembangan dalam PKR,” katanya.

Bekas setiausaha agung PKR itu juga turut menghadiri sidang akhbar Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim bulan lalu, ketika ahli parlimen Bayan Baru itu mengumumkan keluar PKR.

Malaysiakini

Tags: , , , ,