PASIR PUTEH, 16 Mac – Ibu bapa diminta sentiasa memantau perkembangan pendidikan anak masing-masing dan tidak melepaskan tanggungjawab mendidik kepada guru dan pihak sekolah semata-mata.

Exco Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, proses pendidikan tidak akan lengkap jika ibu bapa tidak turut memain peranan ketika anak-anak mereka berada di rumah selepas selesai waktu persekolahan.

Mengambil contoh pelajar terbaik SPM 2008, Nik Nur Madiha, Nik Amar berkata, pelajar berkenaan mencapai kecemerlangan dalam setiap peperiksaan kerana ketika di rumah ibu dan bapanya sentiasa bertanya khabar dan mengambil ‘cakno’ terhadap beliau.

“Tiga komponen perlu seiring jika kita inginkan anak-anak kita berjaya dengan cemerlang iaitu sekolah, guru dan ibu bapa. Jika salah satu daripada tiga komponen ini tidak cukup, bukan bermakna pelajar itu tidak berjaya tetapi agak susah untuk mencapai kecemerlangan,” katanya.

Nik Amar berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Jawatankuasa Pengelola Kemajuan Sekolah (JPKS) Sekolah Menengan Ugama (Arab) Khairiah, Padang Pak Amat, Sabtu lepas.

Hadir sama Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat, Penolong Pengarah Yayasan Islam Kelantan (HEM), Ustaz Muslim, Pengetua SMU (A) Khairiah, Ustaz Ahmad Zaki Mat Nor dan Pengerusi JPKS SMU (A) Khairiah.

Pada majlis berkenaan, Nik Amar turut menyampaikan sumbangan set komputer kepada Pengetua SMU (A) Khairiah dan Pengetua SMU (A) Nahdatul Islamiah Jelor.

Tags: , , , , ,

BERSEMPENA dengan Program Pemukiman Dakwah DUN Limbongan maka pihak YB Adun Limbongan bersama pengurusan Markaz Al-Aitam mengadakan Solat Dhuha, Hajat dan Istisqa’ jam 8 pagi tadi di tapak pembinaan Masjid Al-Aitam.

Tanda rahmat daripada Allah amat diyakini apabila pada waktu solat dilakukan kelihatan awan mendung di langit tanda-tanda hujan akan turun (lihat foto).

Sewaktu Program Pemimpin Bersama Rakyat di SMU (A) Nahdatul Islamiah, Jelor pada waktu tengah hari hujan turun membasahi bumi Pasir Puteh.

Tapak masjid yang akan dibina seluas 10,000 kaki persegi itu telah diwakafkan oleh Hj Mohd Salleh Hussain sebagai mewakili pihak keluarganya, pasangan Hjh Bidah Saman dan Hj Hasan Salleh serta Hjh Makalsom Saad.

Tapak yang diwakafkan untuk pembinaan Masjid Al-Aitam itu dianggarkan bernilai RM120,000 di mana masjid dengan keluasan 3,000 kaki persegi berjumlah lebih kurang RM300,000 sebagaimana pelan asal.

Apa yang menarik kos pembinaan berkenaan ditanggung oleh keluarga beliau. Walau bagaimanapun beliau menyeru mana-mana pihak yang ingin berkongsi saham akhirat melalui pembinaan Masjid Al-Aitam ini bolehlah menghubungi pihak pengurusan Markaz Al-Aitam secara terus menerusi Pengerusi Markaz, Hj Mohd Nordin Ismail (Tuan Guru Ayah Mat) di talian 019-967 5378.

Solat Hajat berkenaan telah diimamkan oleh Tuan Guru Ayah Mad yang turut disertai sama oleh Setiausaha Markaz Al-Aitam, Nik Yusof Nik Abdullah, Setiausaha Adun Limbongan, Hj Mohd Judin Samad serta penduduk sekitar.

Sementara itu Setiausaha Markaz Al-Aitam, Hj Nik Yusof ketika ditemui selepas solat hajat berkenaan mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat atas kehadiran beliau melancarkan tabung dana pembinaan Markaz Al-Aitam, 20 Februari lepas.

Selain itu beliau turut mengucapkan terima kasih atas usaha dan sokongan ADUN Limbongan merangkap Penasihat Markaz Al-Aitam yang bertungkus lumus bagi menjayakan program tersebut.

“Tak lupa juga kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung atau tidak langsung terutama sekali kepada para penderma dan para petugas serta masyarakat sekitar sehinggakan derma yang diperolehi semasa hari pelancaran tersebut melebihi RM100,000 yang di luar jangkaan.

Tags: , ,

YB ADUN Limbongan akan menghadiri “Program Pemukiman Dakwah” dengan pelbagai atur cara khusus bermula jam 8 pagi esok.

Program pertama bermula di Markaz Al-Aitam Kampung Wakaf dengan mengadakan solat hajat sempena perasmian tapak masjid khusus untuk Markaz Tahfiz Al-Aitam.

Program kedua pula bertempat di Sekolah Madinatul Ilmi Kampung Wakaf dengan majlis penyampaian hadiah acara sukan.

Ia disusuli dengan program Maulidur Rasul SAW di Sekolah Menengah Ugama (A) Jelor dan Ceramah Khas Maulidur Rasul SAW di Masjid Kampung Jelor pada sebelah malamnya.

Di masjid yang sama turut diadakan program Qiyamullail pada keesokan pagi (Pagi Jumaat) yang disusuli dengan Kuliah Subuh selepas solat fardhu. (KLIK DI SINI UNTUK ACARA PENUH)

Tags: , , , ,

Majlis perasmian pungutan untuk menyiapkan bangunan pusat pengajian dan penginapan anak-anak yatim, Markaz Al-Aitam di Padang Pak Amat oleh Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 20 Februari 2010 bersamaan 6 Rabiulawal 1431.

Tags: , , ,

PASIR PUTEH, 2 Mac – Madrasah Dakwah Islamiah Pondok Sri Permai yang ditubuhkan sejak 22 tahun lalu melalui proses peningkatan sistem pengajian dengan pembinaan bangunan baru.

Bangunan tiga tingkat yang bakal menempatkan ruang tetamu, makmal komputer, bilik belajar dan perpustakaan membolehkan urusan pengajian dilaksanakan dengan lebih tersusun.

Setiausaha Majlis Syura Pondok, Ahmad Shah Awang Ngah berkata, bilik belajar di bangunan tersebut merupakan matlamat utama kerana ketika ini katanya, kelas diadakan dalam suasana tidak selesa di bilik usang.

Katanya, bangunan itu nanti membolehkan lebih 200 warga pondok dan pelajar mengikuti kelas belajar dengan sempurna.

“Secara kasarnya, bangunan ini siap 70 peratus yang menelan belanja kira-kira RM150,000 hasil sumbangan orang ramai dan untuk menyiapkan dan melengkapkan bangunan ini, kami memerlukan sekurang-kurangnya RM150,000,” katanya.

Ahmad Shah berkata, Majlis Jamuan Sambil Menderma dan Maulidur Rasul yang diadakan tiga hari lalu berjaya mengumpul sumbangan orang ramai sebanyak RM33,000.

Orang ramai yang mahu memberi sumbangan diminta menyalurkannya ke akaun BIMB 03-090-02-009151 atas nama Madrasah Dakwah Islamiah Pondok Sri Permai atau menghubungi Ahmad Shah di talian 013-9002487.

Pondok yang ditubuhkan Tuan Guru Abdul Hamid Daud itu dirasmikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1990.

Kawasan pondok seluas 2.3 hektar itu merangkumi kediaman guru atau tenaga pengajar, masjid, ruang belajar, pondok pelajar Muslimin, pondok pelajar Muslimat, pondok orang tua dan pondok keluarga.

Ahmad Shah berkata, pondok tersebut mendapat bekalan air tandak dari jeram yang terletak kira-kira 2 kilometer dari pondok terbabit.

“Penyelenggaraannya dilakukan pelajar dari semasa ke semasa yang membolehkan air disalurkan ke tangki pondok serta digunakan secara percuma.

“Suasana damai di pinggir bukit ini membolehkan pelajar atau warga pondok mengikuti kelas dalam keadaan tenteram,” katanya sambil memberitahu sistem pengajian di pondok berkenaan diadakan secara Nizami (bersistem), Umumi (umum) dan kumpulan belajar.

Tags: ,