Majlis Kesyukuran Sempena Naib Pangkat

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on July 1st, 2010 in DUN Kelantan No Comments

KOTA BHARU, 1 Julai – Timbalan Exco Kerajaan Negeri Kelantan merangkap ADUN Limbongan meraikan Pegawai-pegawai Dewan Undangan Negeri dengan mengadakan jamuan makan tengahari di sebuah restoran masakan ala thai terkemuka di sini.

Majlis jamuan ini juga dihadiri oleh Setiausaha Sulit Menteri Besar Kelantan, Setiausaha DUN Kelantan dan Pegawai-pegawai Kerajaan yang berkhidmat di DUN Kelantan.

Menurut beliau majlis ini diadakan sebagai tanda kesyukuran dan tahniah kepada semua yang terlibat selama ini. “Kejayaan yang dimiliki adalah hasil titik peluh bersama, maka haruslah dinikmati bersama” katanya.

Dalam pada itu ADUN Limbongan akan mengadakan Solat Hajat di Markaz Al-Aitam yang sudah hampir siap sepenuhnya pada malam ini bertujuan untuk mendoakan kesejahteraan dan memohon agar dimurahkan rezeki dari Allah SWT kepada semua.

Tahniah YB!


Galeri foto oleh wanribu:

Tags: ,

KOTA BHARU, 1 Mac – Usul agar Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan bagi pihak Negeri Kelantan memikirkan tindakan-tindakan yang sesuai termasuklah tindakan mahkamah bagi memastikan Akta Pembangunan Petroleum 1974 dipatuhi disokong sebulat suara termasuk oleh pihak pembangkang Dun Kelantan.

Usul itu yang dikemukakan oleh Adun Air Lanas, Abdullah Yaakub dibahas dan diluluskan sebulat suara.

Adun BN, Aziz Derasid (BN-Kuala Balah) antara yang bangkit dan berkata “sokong” ketika speaker minta ahli-ahli dewan lain memberi sokongan terhadap usul itu.

Speaker, Nasaruddin Daud berkata, selepas meneliti cadangan tersebut beliau mendapati ia memenuhi tiga syarat iaitu perkara yang tertentu dan mustahak, kedua, bagi kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.

Sebelum itu beliau menanyakan sokongan terhadap usul tersebut.

Ekoran itu kesemua Adun bangun sebagai menyatakan sokongan kepadal usul terbabit termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad, Mat Yusof Abdul Ghani (BN–Nenggiri) dan Datuk Abdul Rashid Aziz (BN–Kuala Balah).

Adun Barisan Nasional yang tidak berdiri iaitu Datuk Nozula Mat Diah (BN–Paloh) dan Adhan Kechik (BN–Bukit Bunga), manakala Datuk Noorzahidi Omar (BN–Pengkalan Kubur) tiada dalam dewan ketika itu.

Usul tersebut dikemukakan selepas selesai sesi soal jawab secara lisan.

Usul berkenaan berdasar kepada peruntukan Peraturan Tetap Dewan Negeri Kelantan Perkara 30 (1) bagi cadangan menangguh persidangan kerana merundingkan perkara-perkara mustahak bagi orang ramai.

Usul terbabit berbunyi, “bahawa Dun memberi mandat kepada MMK bagi pihak kerajaan negeri mengambil apa-apa tindakan mahkamah yang bersesuaian bagi mendapatkan bayaran tunai yang terhak kepada rakyat dan kerajaan Kelantan mengikut perjanjian dan penyerah hakkan kuasa-kuasa petroleum sama ada di daratan atau di lautan negeri Kelantan yang ditandatangani pada 1975.

“Seperti mana kehendak undang-undang tunggal yang berkaitan dengan pengeluaran petroleum iaitu Akta Pembangunan Petroleum 1974, pada bila-bila masa yang difikirkan oleh kerajaan negeri.”

Abdullah berkata, sebanyak 13 negeri di negara ini telah menandatangani penyerahan hak pada 1975 dan 1976 kepada Petronas bagi membolehkan carigali minyak dijalankan tanpa mengambil kira jarak kedudukan lokasi minyak.

Oleh itu katanya, mengikut Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroleum 1974 sebagai balasan terhadap penyerahan kepunyaan dan hak-hak kuasa dan keistimewaan itu, Petronas hendaklah membuat bayaran tunai kepada negeri.

Cadangan tersebut disokong Datuk Omar Mohamad (PAS – Perupuk).

Ekoran sokongan padu itu Speaker menerima dan meluluskan cadangan tersebut dan kemudian dibuka kepada perbahasan.

Zulkifli Mamat (PAS–Pulai Chondong) ketika mengambil bahagian dalam perbahasan tersebut berkata, biar pun beliau menyokong penuh usul tersebut namun cukup sedih apabila ada pihak gagal memahami perjanjian yang dibuat pada 1975.

“Saya cukup sedih apabila Peguam Negara, menteri-menteri dan timbalan menteri gagal untuk memahami perjanjian yang telah ditandatangani.

“Sedangkan semangat atau moral perjanjian itu Petronas perlu membayar wang tunai kepada negeri berdasar kepada petroleum yang dijumpai di negeri terbabit,” ujarnnya.

Menurutnya, suatu kezaliman telah berlaku di mana kerajaan pusat lebih mengutamakan politik apabila cuba menafikan hak yang sepatutnya diperolehi kerajaan Kelantan.

Kata beliau, amat mudah untuk memahami semangat perjanjian tersebut, di mana Pak Mat dan Pak Leh di kampung pun diyakini boleh faham.
Beliau berkata, tuntutan royalti sebenarnya tidak perlu dibawa ke mahkamah sekiranya kerajaan pusat menunaikan tanggungjawab mereka seperti terkandung dalam perjanjian.

Beliau juga mencadanngkan supaya kerajaan negeri mengkaji semula setiap perjanjian dengan mana-mana pihak dalam tempoh 10 tahun sekali.

Zulkifli juga berhujah sekiranya kuasa carigali diberi kepada syarikat asing Kelantan mampu menikmati royalti sehingga 25 peratus.

“Perkara itu pernah berlaku di mana Sarawak sebelum ada PDA telah menandatangani perjanjian dengan Shell, di mana syarikat tersebut memberi royalti antara 8 hingga 12 peratus kepada negeri berkenaan,” tambahnya.

Petang semalam, diadakan majlis taklimat mengenai tuntutan royalti petroleum kepada wakil-wakil rakyat di Bilik Gerakan Negeri di sini yang disampaikan oleh bekas Ketua Jabatan Undang-Undang Petronas, Nik Syaghir Nik Mohd Nor, bekas peguam kanan di Jabatan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dan peguam kes tuntutan royalti minyak Terengganu, Thommy Thomas.

Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Tuntuan Royalti Minyak Kelantan, Datuk Husam Musa dan wakil rakyat kerajaan, dua Adun BN iaitu Datuk Norzula Mat Diah (Paloh) dan Mohd Yusoff Abdul Ghani (Nenggiri) turut hadir. — Harakahdaily

Tags: , , ,

KOTA BHARU, 2 Mac – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hangat seketika apabila beberapa wakil kerajaan membangkitkan tindakan penganjur perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi membelakangkan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (bawah) pada upacara melepaskan peserta semalam.

Rata-rata wakil rakyat PAS itu mendesak agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil tindakan segera terhadap penganjur yang didakwa mereka telah memalukan bukan sahaja kepada Nik Aziz tetapi kepada rakyat Kelantan keseluruhannya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri Abdul Fatah Mahmood berkata beliau telah menghantar mesej kepada Najib melalui laman sosial Facebook Perdana Menteri itu hari ini.

“Saya juga sudah mengutus surat secara rasmi kepada Perdana Menteri hari ini agar sesuatu tindakan susulan diambil terhadap penganjur yang telah memalukan Menteri Besar (Nik Aziz) dan juga rakyat Kelantan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan DUN, di Kota Bharu hari ini.

Semalam, nama Nik Aziz sebagai tetamu kehormat yang akan melepaskan peserta di hadapan Istana Balai Besar, digugurkan pada saat akhir tanpa dimaklumkan kepada kerajaan negeri.

Majlis pelepasan perlumbaan jelajah berbasikal terulung Asia yang memulakan peringkat pertama dari Kota Bharu ke Kuala Berang sejauh 174.5km itu disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Abdul Fatah berkata yang lebih mengecewakan ialah Nik Aziz pada mulanya tidak dibenar menaiki pentas utama untuk bersama-sama Awang Adek (kanan) membuat pelepasan itu tetapi selepas campurtangan pegawai, Menteri Besar itu dibenar naik ke pentas.

Mat Yusoff Abdul Ghani (BN-Nenggiri) bangun meminta penjelasan adakah benar Nik Aziz yang sepatutnya membuat pelepasan itu atau sebaliknya seperti yang diputus dalam mesyuarat jawatankuasa sambutan sebelum itu.

Abdul Fatah berkata perkara itu tidak timbul kerana pemilihan Nik Aziz diputuskan dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

Ketika ditemui di luar Dewan, beliau berkata kerajaan negeri akan menilai semula peranannya dalam memberikan kerjasama pada masa akan datang.

LTdL kali ini dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan disertai 20 pasukan.

Perlumbaan melibatkan tujuh peringkat sejauh 1,013.9 kilometer untuk merebut hadiah keseluruhan bernilai RM710,650.

Sementara itu, Kelantan meminta Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) melantik segera tiga wakil kerajaan negeri ke dalam lembaga pengarah agensi itu.

Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata pelantikan itu penting dalam menyelaraskan program pembangunan demi untuk rakyat di Kelantan Selatan terutama perkara yang membabitkan soal tanah.

Persidangan DUN ditangguh pada satu tarikh yang akan ditentukan.

BERNAMA/Malaysiakini

Tags: , ,