Majlis Perasmian Pelancaran Matawang Syariah Dinar & Dirham Kelantan

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on August 13th, 2010 in DUN Kelantan, Isu Semasa 1 Comment

KOTA BHARU, 12 Ogos – Selepas empat tahun Dinar Kelantan dilancarkan, hari ini di di bawah kepemimpinan ulama sekali lagi dicetus sejarah apabila melancar pula matawang syariah, Dinar dan Dirham Kelantan.

Majlis bersejarah itu disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan Trade Centre (KTC). Program sempena Ramadan tersebut dianjurkan bersama Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan Kelantan Golden Trade Sdn Bhd.

Dinar emas merupakan mata wang berasaskan emas yang dicadangkan digunakan di seluruh dunia terutama di negara-negara Islam. Istilah ini dipilih kerana berteraskan mata wang Islam yang pernah digunakan di negara Madinah al-Munawwarah pada zaman Nabi Muhammad lagi, iaitu dinar.

Bagaimanapun, penggunaan wang dinar dan dirham ini gagal diteruskan dengan kemerosotan empayar Islam pada abad ke 13 Masehi. Hadirnya penjajah yang membawa misi God, Glory and Gold iaitu agama, tanah jajahan dan kekayaan mengakibatkan umat Islam berjaya digoncangkan pegangan mereka terhadap agamanya sendiri lalu tinggallah Islam sebagai agama yang disebut di dalam masjid dan madrasah semata-mata dan tidak lagi didaulatkan sebagai syariat yang memerintah.

Kerajaan Negeri Kelantan menyedari betapa perlunya kekuatan ekonomi umat Islam ini dikembalikan. Pertama untuk mendapat keredhaan Allah SWT dan kedua untuk kesejahteraan seluruh umat manusia agar hidup aman damai tanpa sebarang penindasan ekonomi.

Penggunaan mata wang syariah ini akan diperluaskan dengan pembayaran zakat melalui dinar dan dirham. Di samping itu, dimaklumkan terdapat lebih 1000 buah kedai di sekitar bandar Kota Bharu yang sedia berurusan dengan pelanggan dengan menggunakan mata wang syariah dinar emas dan perak dirham yang dilancarkan hari ini.

Selain itu, pihak kerajaan akan melantik ejen jual beli yang beroperasi seperti money changer bagi memudahkan urusan tukaran mata wang ringgit dan mata wang syariah.

ADUN Limbongan yang hadir dalam majlis ini mengucapkan syabas dan tahniah di atas perasmian pelancaran matawang syariah emas dinar dan perak dirham ini khususnya kepada YB Dato’ Haji Husam bin Musa yang merupakan penggerak utama terhadap usaha ini.

Tags: , , ,