Program D.O Masuk Kampung DUN Gaal

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on March 28th, 2011 in DUN Kelantan, Lawatan, MDPP No Comments

BUKIT AWANG, 27 Mac – Ahli Parlimen Pasir Puteh, ADUN Gaal, ADUN Limbongan, ADUN Semerak dan ADUN Selising adalah antara pemimpin yang hadir sama dalam Program D.O Masuk Kampung yang pertama kalinya diadakan tahun ini di DUN Gaal bagi merasmikan 3 buah rumah di kampung Bunut Rendang yang akan dibaik pulih.

Program ini juga antara lain bertujuan untuk merapatkan silaturrahim antara pemimpin dan juga masyarakat setempat. Dalam ucapan ADUN Gaal, YB Dr. Nik Mazian Nik Mohamed beliau mengalu-alukan kedatangan semua yang hadir terutama rombongan dari Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh yang diketuai oleh YABrs Hj. Fauzi Bin Mat selaku Ketua Jajahan (D.O) Pasir Puteh. Beliau juga menyatakan kelebihan yang ada dalam rakyat di negeri ini yang bersikap tidak meminta malah sentiasa berkerja keras membela nasib diri adalah satu rahmat yang diberikan oleh Allah SWT dibawah pemerintahan Kerajaan Membangun Bersama Islam yang sehingga ini telah mentadbir lebih 20 tahun.

Sementara itu YABrs Ketua Jajahan pula menyatakan rasa terharu dan bangga dengan sokongan dari kelima-lima wakil rakyat di Jajahan ini yang hadir bersama menjayakan program pada hari ini. Penekanan dalam ucapan beliau kepada peranan Penghulu Mukim dalam mendekati rakyat yang merukapan sayap kiri dalam pentadbiran Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh bagi memaklumkan dan menyampaikan maklumat tentang kutipan hasil cukai tanah. Selain itu, penghulu juga perlu mengenalpasti rakyat yang berada dalam kumpulan miskin tegar dan mengemaskinikan senarai yang sedia ada dari masa ke semasa supaya tiada keciciran dan terlepas pandang dalam membela nasib rakyat yang berada dalam hidup yang serba-serbi susah.

Program ini juga dihadiri oleh semua Penggawa Jajahan Pasir Puteh, Penghulu-penghulu Mukim DUN Gaal, kakitangan Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh dan wakil-wakil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.

YABrs Ketua Jajahan juga menekankan bagaimana untuk mengelakkan masalah sosial yang kini semakin mendatangkan masalah kepada semua pihak. Beliau berkata, usaha awal perlulah dimulakan dari rumah lagi dan peranan ibu bapa atau penjaga kepada remaja yang masih di bawah jagaan adalah penting dengan menunjukkan kasih sayang sebenar kepada anak-anak. Beliau juga berazam untuk mengadakan program seperti ini di DUN-DUN lain selepas ini dengan lebih baik lagi memandangkan sokongan dari semua pihak yang hadir dalam program hari ini amat-amat membanggakan.

Lawatan ke tiga buah rumah yang akan dibaiki juga dilakukan dalam program ini disamping menyampaikan bantuan segera.

Tags: ,