Cakna Duafat: Dua beradik sebatang kara bersyukur

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on March 13th, 2011 in DUN Limbongan No Comments

KG. CHERANG TULI, 11 Mac – Kepayahan hidup 2 beradik yang tinggal dalam keadaan yang sangat daif mendapat perhatian dari pimpinan MTD Limbongan yang hari ini melancarkan aktiviti gotong-royong di bawah program Cakna Duafat. Aktiviti seperti ini adalah kali yang kedua telah dilakukan oleh MTD Limbongan dalam minggu ini.

Setelah kematian bapa lebih 10 tahun yang lalu dan ibu 2 tahun  yang lalu, Yusuf Mamat, 51 dan adiknya Yaakub Mamat meneruskan kehidupan di rumah usang ini dengan menyara hidup melalui pendapatan mereka hasil dari kerja-kerja kampung. Dua lagi adik beradik mereka yang sudah berumah tangga tinggal bersama keluarga masing-masing sementara dua orang lagi telah pulang ke rahmatullah beberapa tahun yang lalu akibat dari sakit kronik.

Yusuf Mamat yang lebih dikenali dengan panggilan Dollah di Kg. Cherang Tuli (berdekatan dengan Tmn. Derasa) juga menderita sakit kencing manis dan darah tinggi. Dahulunya, beliau seorang yang sangat aktif dalam sukan namun ketentuan takdir menyebabkan beliau tidak boleh melakukan sebarang aktiviti lasak lagi.

Dollah juga sempat menceritakan bagaimana di saat-saat akhir hayat ibu kesayangan beliau. Kenangan itu menyebabkan beliau sangat sayang dengan apa yang ditinggalkan oleh arwah ibu kepada beliau. “Kalau kapten kapal, dia akan bersumpah untuk mati dalam kapalnya. Rumah ini tidak ternilai bagi saya” kata Dollah dalam nada yang sangat menyayat hati dan tidak mahu rumah itu dirobohkan untuk diganti dengan yang baru.

Sementara itu, Pengarah Cakna Duafat kali ini En. Ghazali Abdullah menyatakan keluarga ini dari dulu lagi memang hidup dalam serba kekurangan namun mereka tidak pernah meminta bantuan dari mana-mana pihak. Tidak hairanlah 2 beradik ini sehingga hari ini tidak mendapat bantuan bulanan dari mana-mana pihak sekalipun. Namun memikul tanggungjawab sebagai pemimpin, MTD Limbongan kali ini tidak terlepas pandang dengan nasib mereka dan akan berusaha menyiapkan kerja-kerja membaiki rumah ini dengan kadar segera.

ADUN Limbongan yang turut sama hadir dalam gotong-royong ini mengucapkan syabas dan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program ini terutama kepada kakitangan Jabatan Perkhidmatan Awam yang  hadir membantu.

Tags: , ,

Cakna Duafat: Gotong -royong MTD Limbongan baiki rumah mangsa banjir

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on March 8th, 2011 in DUN Limbongan No Comments

KG. ALOR PASIR, 8 Mac – Majlis tindakan DUN Limbongan hari ini mengadakan satu program gotong-royong membaik pulih sebuah rumah yang musnah akibat dari banjir di musim tengkujuh yang lalu.

Kediaman pasangan suami isteri Ismail Yusuf, 70 dan Supiah Mahmud yang tinggal bersama 3 orang anak mereka musnah di bahagian belakang akibat dari laluan air banjir dan angin pada bulan Disember lalu mendapat perhatian ADUN Limbongan yang turun padang bersama ahli-ahli MTD seramai lebih kurang 20 orang. Turut sama membantu adalah anggota-anggota dari Jabatan Perkhidmatan Awam, Pasir Puteh.

Menurut YB Drs. Hj. Zainuddin, program seperti ini akan diteruskan dari masa ke semasa ke seluruh DUN Limbongan bagi membantu meringankan beban rakyat tanpa mengira status atau fahaman politik.

Sementara itu Ismail Yusuf menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua yang hadir membantu menyiapkan bahagian rumah beliau yang rosak itu.

Tags: , ,

Titian Ukhwah Muslimat DUN Limbongan Melalui Cakna Duafat

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on January 18th, 2011 in DUN Limbongan, Lawatan 2 Comments

PASIR PUTEH, 17 Januari – Rombongan yang diketuai oleh Pengarah MTD DUN Limbongan yang turun bersama isteri serta beberapa orang Muslimat PAS DUN Limbongan hari ini menziarahi beberapa keluarga yang hidup dalam kedaifan dan miskin tegar sekitar DUN ini.

Turut serta dalam Titian Ukhwah ini adalah Pemangku Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Pasir Puteh, Dzulkaedah bt Ali Mohd dan Ketua Dewan Muslimat DUN Limbongan, Fauziah bt Salleh yang menyatakan bahawa Cakna Duafat kali ini lebih fokus kepada keluarga yang hidup dalam serba kekurangan dalam mengharungi hidup yang dibebani oleh keadaan ekonomi semasa serta tanggungjawab membesarkan anak-anak yang ramai.

  • Keluarga Mat Zahar bin Awang menerima sumbangan dari ADUN Limbongan dalam Titian Ukhwah Cakna Duafat

Salah satu keluarga yang diziarahi rombongan ini adalah keluarga Mat Zahar Bin Awang, 40 yang menanggung kepayah hidup bersama 8 orang anak dan isteri Saudah Binti Abdul Aziz, 36 di Kg. Merkang. Bekerja sebagai buruh kontraktor Telekom, pendapatan harian sekitar RM30 masih tidak mampu untuk menampung perbelanjaan keluarga sehingga isteri beliau terpaksa bekerja sambilan di salah sebuah restoran di Pasir Puteh. Sekali imbas kebahagiaan keluarga tetap teserlah walaupun dibelenggu kemiskinan, hidup di sebuah rumah usang tanpa bilik tidur apatah lagi kelengkapan isi rumah yang lain.

Menurut Dzulkaedah, Cakna Duafat ini tidak bermotifkan parti politik semata-mata namun rasa tanggungjawab sebagai kerajaan yang memerintah di bawah syariat Agama mengajak mereka untuk terus mendekati masalah rakyat walaupun hadir dengan bantuan yang tidak seberapa.

Rombongan ini juga sempat singgah di kediaman Nik Hanafi Nik Mat di Kg. Gong Chapa yang kematian isteri beliau baru-baru ini. Kehilangan ibu kepada 7 orang anak ini amat terasa kepayahannya lebih-lebih lagi Nik Hanafi dalam usia yang sudah menjangkau 60-an kini hanya mampu mencari sumber rezeki melalui kerja-kerja kampung. YB Drs. Hj. Zainuddin yang amat bersimpati dengan keluarga ini menyampaikan sumbangan melalui isteri beliau kepada anak-anak yatim tersebut dan berdoa semoga Allah akan sentiasa memberkati dan memberi semangat serta ketabahan yang kuat dalam mengharungi hidup pada masa akan datang.

Jazakallahu Khairan Khatira.

Tags: ,