Dialog Cakna Air pimpinan bersama AKSB

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on March 9th, 2011 in DUN Limbongan, Isu Semasa No Comments

WAKAF BERANGAN, 9 Mac – Satu sesi dialog antara pimpinan DUN Limbongan bersama Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. telah diadakan di Dewan Majidiah pagi ini bagi membincangkan masalah semasa berkaitan dengan bekalan air di DUN ini.

-Penghulu Mukim sedang menyuarakan aduan masalah bekalan air setempat

Antara tetamu yang hadir dalam dialog ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan Ir. Mustapha Salleh, Pengurus Besar AKSB Mohd Suhaimi Mohd Jusoh dan beberapa orang kakitangan dari AKSB dan PMBK. ADUN Limbongan hadir bersama Penghulu-penghulu Mukim sangat mengalu-alukan kedatangan tetamu bagi membincangkan isu bekalan air di DUN ini yang saban hari menjadi masalah utama lebih-lebih lagi ianya menjejaskan kegiatan ekonomi masyarakat setempat.

Dalam ucapan aluan Ir. Mustapha Salleh menerangkan bahawa punca utama masalah yang berlaku adalah berikutan kelodak pasir yang terlekat di muka sauk di Loji Rawatan Air Wakaf Bunut berikutan hujan lebat yang melanda daerah ini pada tiap-tiap musim tengkujuh yang menyebabkan proses rawatan air tergendala pada musim kemarau. Beliau berharap kerja-kerja pembersihan muka sauk yang sedang dilakukan dari masa ke semasa akan dapat membantu meningkatkan kualiti pembekalan air bersih kepada pengguna.

Di samping itu pihak AKSB juga membuka peluang kepada pimpinan setempat untuk melaporkan segala masalah yang menjejaskan pembekalan air di DUN ini. Antara tindakan segera yang disarankan adalah dengan menyenaraikan kawasan-kawasan yang memerlukan tangki statik yang mampu mengelakkan putusnya bekalan air untuk kegunaan harian. Pihak AKSB akan membekalkan tangki statik di kawasan terbabit dengan kadar segera berdasarkan butiran laporan dari pihak pimpinan. Sebarang aduan juga boleh disuarakan di talian hotline AKSB 1-300-88-2572.

ADUN Limbongan amat-amat mengharapkan kerjasama dari semua pihak agar dapat mengatasi masalah rutin ini sebaik mungkin. Beliau juga memuji tindakan PMBK dan AKSB yang turun ke DUN mendengar masalah dari pimpinan setempat dan mengambil tindakan segera ke atas aduan yang disuarakan.

Tags: , , ,