PERBINCANGAN PERANAN MEDIA MEMBANTU UNJURAN MEMBANGUN BERSAMA ISLAM

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on October 15th, 2010 in DUN Kelantan, Lawatan No Comments

KUALA LUMPUR, 15 Oktober – YB Datuk Hj. Husam Bin Musa selaku Exco Kanan Kerajaan Negeri Kelantan meminta media samada media utama mahupun media alternatif dapat memainkan peranan yang lebih berkesan kearah membantu Kerajaan Kelantan membuat unjuran Membangun Bersama Islam.

YAB Tuan Guru pernah memberi perhatian serius gandingan ulamak dengan wartawan bahawa tugas wartawan yang dapat membuat laporan berasaskan Islam sama dengan ulamak yang mentarbiah ummah untuk membentuk manusia berpaksikan sahsiah Islam. Oleh itu wartawan apabila seiring dengan Islam, maka ianya sama dengan ulamak itu sendiri.

Dalam konteks ini YB Datuk Hj Husam antara lain supaya media khususnya Akhbar Siasah dapat memberi focus kepada promosi Ekspo Cheng Ho yang bakal diadakan di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu November ini.

Di samping itu juga, artikel khusus mengenai dinar dan dirham Matawang Syariah Kelantan yang telah dirancang sejak 4 tahun yang lepas mendapat sambutan seluruh negara ini diberi perhatian kearah mensinergikan peranan matawang tersebut sehingga dapat mengatasi masalah inflasi mahupun deflasi.

Ini kerana kita tahu bahawa wang kertas juga dipanggil ‘fulus’ yang digunakan dikalangan masyarakat jika dibandingkan dengan dinar dan dirham yang berasaskan logam emas dan perak akan memberi impak pertumbuhan ekonomi secara adil sesuai dengan konsep Keadilan Islam Untuk Semua.

“Saya selaku editor Akhbar Siasah menyambut baik saranan Datuk Hj Husam dan insyaAllah akan cuba untuk meletakkan satu prioriti Membangun Bersama Islam yang futuristik oleh Kerajaan Negeri Kelantan secara  lebih boleh dipertanggungjawabkan” kata Mohamad Sayuti Omar (MSO).

Perbincangan ini melibatkan Timbalan Exco Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan YB Drs. Hj. Zainuddin Awang Habat bersama advisor TEAM.

Tags: , ,

Perjalanan sejauh 1876 kilometer bermula pada jam 8 pagi dari perkarangan kediaman ADUN Limbongan, YB Drs. Hj. Zainuddin Awang Hamat.

Destinasi pertama ke rumah Mohd Sayuti Omar (MSO) di Wangsa Melawati. Kemudiannya kami bertiga terus ke Sg. Merab, Bangi untuk menjemput Hj. M. Rashid,  Advisor TEAM kepada Drs. Hj. Zainuddin yang juga selaku Timb. Exco Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan.

Hujan lebat sepanjang perjalanan ke Bangi menyebabkan kami tiba agak lewat. Menunaikan kewajiban 5 waktu di salah sebuah masjid berdekatan dengan Sg. Merab lalu bertemu dengan Hj. Rashid yang seterusnya mempelawa kami ke kediaman beliau.

Kembali ke Kuala Lumpur, menemani Hj. Rashid untuk berbuka puasa sunat  di rumah MSO dan  Solat Jama’ Fardhu Maghrib dan Isyak, sebelum menghadiri jemputan Ust. Dr. Azhar Arifin (Penasihat MAIS dan Pensyarah Kanan UTM) untuk makan malam di salah sebuah restoran Tom Yam dan Masakan Ala Thailand di Greenwood pada jam 9.00 malam.

Perbincangan utama selain dari yang lain adalah mengenai Dinar dan Dirham Matawang Syariah yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Banyak percambahan ilmu dan idea-idea yang terbit boleh membantu dalam merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri Kelantan melalui Dinar dan Dirham ini.

Selepas perbincangan mengenai pelbagai isu, kembali ke kediaman MSO pada jam 12.00 a.m. untuk bermalam. Alhamdulillah, layanan ahli keluarga MSO amat membuat kami berasa syukur.

Sesudah Solat Subuh berjemaah di Wangsa Melawati, kami bertiga meninggalkan kediaman MSO dan keluarga dengan ucapan ribuan terima kasih dengan luangan masa yang telah beliau korbankan bersama kami.

Destinasi berikutnya sarapan bersama Presiden Pertubuhan Damai Bakti Malaysia, En. Shamsuddin Salleh membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan kebajikkan dan dakwah dalam sama-sama mentarbiahkan diri, dan masyarakat  khususnya golongan muda-mudi pada hari ini.

Sarapan ini berlarutan hingga pertemuan dengan Setiausaha Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) yang mengajak kami seterusnya ke pejabat beliau untuk berbincang mengenai  Islam dan seni.

Alhamdulillah, kami dapat mesyuarat dengan PROFIMA  di Taman Permata, Wangsa Melawati dengan izin dan rahmat Allah menemukan kembali Drs. Zainuddin dengan sahabat lama En. Khir Mohd Nor yang telah memfilemkan 10 Tahun Perintahan Kelantan di Bawah Kepimpinan Ulamak pada tahun 1999.Kini beliau adalah Presiden PROFIMA.

Tertarik dengan foto yang diletakkan diatas meja Khir, nostalgia 1999 merungkai pelbagai peristiwa sepanjang penghasilan video penghargaan kepada 10 tahun pimpinan ulamak di Kelantan. Antara yang dikenali dalam foto ini ialah Tok Guru Hj. Nik Abdul Aziz (Menteri Besar Kelantan)  dan Saudara Dinsman yang sekarang ini sedang membuat penggambaran untuk video 20 Tahun PAS Memerintah Negeri Kelantan di Bawah Pimpinan Ulamak. Tidak ketinggalan juga Drs. Zainuddin dan krew penggambaran.

Perbincangan bersama Khir membawa beberapa idea baru kepada kami yang  antara lain adalah untuk memfilemkan perjalanan hidup seorang  Tok Guru sebagai Ulamak Tersohor  dan juga Menteri Besar yang mentadbir negeri Kelantan sehingga hari ini. Alhamdulillah kami telah disediakan dengan makan tengahari oleh staf  PROFIMA.

Hujan lebat seperti hari sebelumnya mengiringi perjalanan kami seterusnya ke Paroi, Negeri Sembilan untuk menziarahi sahabat Drs. Zainuddin yang merupakan seorang peminat Dinar dan Dirham Kerajaan Negeri Kelantan. Beliau sendiri menyatakan keuntungan untuk melabur melalui pelaburan Infaq Dinar dan Dirham ini ternyata tidak ada tandingan lagi. “Sangat menguntungkan didunia dan akhirat” kata Hj. Rashid  yang menyokong dan menyarankan kepada semua untuk melabur bersama Kerajaan Negeri Kelantan melalui Dinar dan Dirham.

Destinasi berikutnya adalah ke Benut, Johor untuk melawat seorang tokoh agama vateran iaitu Muhd Perang, 70 tahun yang berasal dari Kepulauan Jawa, Indonesia.

Jazakallahu Khairan Kathira, dalam usia yang sudah melebihi separuh abad, warga emas yang lebih dikenali dengan Pak Mat ini masih menunggang motosikal lama berkuasa tinggi kesayangan Suzuki 550. Menurut Pak Mat, motor ini banyak berjasa kepada beliau sejak dulu lagi.

Beliau pernah ke Kelantan dan beberapa buah negeri lain untuk tujuan berdakwah dan berkunjung menziarahi sahabat handai. Selain itu Pak Mat juga menceritakan beliau pernah tinggal di Kelantan.

Kami meninggalkan rumah Pak Mat selepas menemani beliau berbuka puasa pada jam 7.50 p.m. Beliau mampu terus berpuasa sepanjang tahun kecuali hari-hari yang diharamkan dan makanan ruji beliau ialah gandum. Kami memulakan perjalanan balik ke Kelantan melalui PLUS dalam hujan masih tidak henti-henti sejak tengah hari lagi, singgah untuk Solat berjemaah Fardhu Maghrib dan Isyak serta Sunat Syukur  di R&R  Pagoh kerana Allah SWT telah memberi banyak kemudahan sepanjang perjalanan kami.

Alhamdulillah, hujan rahmat mengiringi perjalanan balik kami hingga ke Raub, Pahang. Tiba di Sri Aman, Pasir Puteh pada jam 5.30 pagi. Sekian.

Tags: , , , , , , , ,