BERSEMPENA dengan Program Pemukiman Dakwah DUN Limbongan maka pihak YB Adun Limbongan bersama pengurusan Markaz Al-Aitam mengadakan Solat Dhuha, Hajat dan Istisqa’ jam 8 pagi tadi di tapak pembinaan Masjid Al-Aitam.

Tanda rahmat daripada Allah amat diyakini apabila pada waktu solat dilakukan kelihatan awan mendung di langit tanda-tanda hujan akan turun (lihat foto).

Sewaktu Program Pemimpin Bersama Rakyat di SMU (A) Nahdatul Islamiah, Jelor pada waktu tengah hari hujan turun membasahi bumi Pasir Puteh.

Tapak masjid yang akan dibina seluas 10,000 kaki persegi itu telah diwakafkan oleh Hj Mohd Salleh Hussain sebagai mewakili pihak keluarganya, pasangan Hjh Bidah Saman dan Hj Hasan Salleh serta Hjh Makalsom Saad.

Tapak yang diwakafkan untuk pembinaan Masjid Al-Aitam itu dianggarkan bernilai RM120,000 di mana masjid dengan keluasan 3,000 kaki persegi berjumlah lebih kurang RM300,000 sebagaimana pelan asal.

Apa yang menarik kos pembinaan berkenaan ditanggung oleh keluarga beliau. Walau bagaimanapun beliau menyeru mana-mana pihak yang ingin berkongsi saham akhirat melalui pembinaan Masjid Al-Aitam ini bolehlah menghubungi pihak pengurusan Markaz Al-Aitam secara terus menerusi Pengerusi Markaz, Hj Mohd Nordin Ismail (Tuan Guru Ayah Mat) di talian 019-967 5378.

Solat Hajat berkenaan telah diimamkan oleh Tuan Guru Ayah Mad yang turut disertai sama oleh Setiausaha Markaz Al-Aitam, Nik Yusof Nik Abdullah, Setiausaha Adun Limbongan, Hj Mohd Judin Samad serta penduduk sekitar.

Sementara itu Setiausaha Markaz Al-Aitam, Hj Nik Yusof ketika ditemui selepas solat hajat berkenaan mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat atas kehadiran beliau melancarkan tabung dana pembinaan Markaz Al-Aitam, 20 Februari lepas.

Selain itu beliau turut mengucapkan terima kasih atas usaha dan sokongan ADUN Limbongan merangkap Penasihat Markaz Al-Aitam yang bertungkus lumus bagi menjayakan program tersebut.

“Tak lupa juga kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung atau tidak langsung terutama sekali kepada para penderma dan para petugas serta masyarakat sekitar sehinggakan derma yang diperolehi semasa hari pelancaran tersebut melebihi RM100,000 yang di luar jangkaan.

Tags: , ,

Leave a Reply