Majlis Penyerahan Kunci Masjid Al-Aitam

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on November 13th, 2010 in Markaz Al-Aitam No Comments

KG WAKAF, 12 November – Para Jemaah Markaz Al-Aitam hari ini dengan penuh rasa kesyukuran berkumpul seperti mana biasa pada setiap pagi Jumaat untuk Majlis Ilmu dan Solat Duha tetapi kali ini dalam suasana berlainan di Masjid Al-Aitam yang telah pun siap sepenuhnya.

Pada hari bersejarah ini satu Majlis Penyerahan Kunci Masjid oleh wakil tuan tanah Hj. Mohd Salleh bin Hj. Hussin, 64 kepada  Penasihat Markaz Al-Aitam Ayahnda Tuan Guru Ayah Mat Permatang Gading. Majlis yang dipengerusikan oleh ADUN Limbongan YB Drs. Hj. Zainuddin Awang Hamat ini dihadiri oleh lebih kurang 50 orang jemaah muslimin dan muslimat.

Masjid Al-Aitam yang berkeluasan 80 kaki persegi dan mampu menampung 400 orang jemaah dalam satu masa ini telah dibina dan dibiayai sepenuhnya hasil dari kutipan derma sepanjang tahun ini. Lot tanah wakaf ini asalnya dimiliki oleh keluarga Allahyarham Hj. Husin bin Hj. Hassan, Hjh. Bidah binti Seman, Hjh. Selamah Hj. Yaakub dan Hjh. Maklesom Hj. Saat.

Sementara itu ADUN Limbongan dalam ucapan alu-aluan beliau menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua yang telah terlibat dalam pembinaan masjid ini. Dalam merealisasikan wawasan DUN Limbongan sebagai Pusat Ilmu beliau telah menyusun beberapa aktiviti yang bakal diadakan pada masa akan datang bagi mengimarahkan masjid ini. Selain dari konsep ilmuan, aktiviti yang dirancang antara lain berkaitan dengan pelancongan dan kebudayaan Islam bagi menarik minat para jemaah untuk beribadat di sini selain terus memberi sokongan dan sumbangan dalam menyiapkan sepenuhnya Markaz Al-Aitam pada akhir tahun ini juga.

Drs. Hj. Zainuddin juga menyatakan hasrat untuk membawa rombongan AJK Masjid ini pada satu masa nanti melawat perkampungan Orang Asal Kg. Lambok Kuala Betis bertujuan untuk menyebarkan dakwah Islamiah dan sebagai penghargaan kepada AJK yang selama ini bertungkus-lumus dalam menjayakan pembinaan Masjid Al-Aitam ini.

Tags: ,

Leave a Reply