PASIR PUTEH, 16 Mac – Timbalan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob menaruh keyakinan kefahaman tinggi pemimpin PAS terhadap dasar perjuangan parti yang berteraskan Islam mampu menghalang mereka daripada tergelincir dari perjuangan membanteras kezaliman di negara ini.

Katanya, PAS mempunyai rekod bersih sifat istiqomah di kalangan pemimpin parti yang tidak berganjak dengan prinsip perjuangan sekali pun ditawarkan habuan kemewahan untuk menyertai parti lawan.

Mengulas tindakan beberapa kerat wakil rakyat PKR keluar parti itu, Ustaz Ahmad berkata, perbezaan ketara di kalangan pemimpin PAS ialah mereka sentiasa menerima tarbiah dan mempunyai kefahaman jelas terhadap dasar Islam yang diperjuangkan PAS.

“Di sinilah letaknya kepentingan program tarbiah di kalangan ahli dan pemimpin PAS. Sebab itu kita lihat hari ini tiada pemimpin PAS yang keluar parti kerana mereka tidak akan menukar dasar Islam kepada dasar sekular berdasarkan proses tarbiah yang telah mereka terima dalam PAS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Lajnah Tarbiah PAS Kawasan Pasir Puteh di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Saniah, Sabtu lepas.

Hadir sama Timbalan Yang Dipertua PAS Pasir Puteh yang juga Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat, Setiausahanya, Haji Che Bisi Hassan dan Ahli Parlimen Pasir Puteh yang juga Pengerusi Lajnah Tarbiah Kawasan, Ustaz Muhamad Hussin.

Tags: , ,

Leave a Reply