PETALING JAYA, 4 Mac – Dua belas Ahli Parlimen PKR menyuarakan sokongan terhadap parti dan menyelar spekulasi mereka akan keluar parti seperti yang didakwa dalam beberapa laman blog.

Ahli Parlimen Teluk Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas, yang mewakili Ahli Parlimen terbabit, berkata mereka masih berpegang teguh terhadap pucuk kepimpinan parti itu.

“Kami mengambil ketetapan sekeras-kerasnya menolak dakwaan bahawa kami akan meninggalkan parti sepertimana yang dispekulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab semata-mata untuk mengganggu kesatuan dan perpaduan dalam parti,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di Tropicana semalam.

Pada sidang media itu, 10 Ahli Parlimen hadir manakala dua lagi iaitu Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh, dan Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan, tidak hadir kerana mempunyai urusan luar.

Mereka yang hadir ialah Ahmad Kassim (Kuala Kedah), Yusmadi Yusoff (Balik Pulau), S Manikavasagam (Kapar), Datuk Rashid Din (Merbok), Azan Ismail (Indera Mahkota), Hee Loy Sian (Petaling Jaya Selatan), Abdullah Sani Abdul Hamid (Kuala Langat), Ab Aziz Ab Kadir (Ketereh) dan Amran Ab Ghani (Tanah Merah).

Mengulas mengenai tindakan ahli yang keluar parti, Kamarul Baharin berkata kemungkinan ia disebabkan masalah peribadi yang tidak dimaklumkan kepada pimpinan parti.

“Saya tak menduga kemungkinan itu (masalah peribadi) menjadi tugas kepimpinan parti untuk ambil tahu. Tapi kalau masalah berkaitan dengan parti, saya ingat parti tidak mengabaikan tanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Yusmadi berkata PKR perlu melihat dan memperbaiki segala kesilapan kerana tindakan keluar parti sering berlaku.

BERNAMA/Berita Harian

Tags: , , , , ,

Leave a Reply