Bekas setiausaha agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim meramalkan lebih 10 wakil rakyat PKR akan keluar parti itu.

“Mungkin lebih daripada 10. Ambil semua jumlah (wakil rakyat), tolak yang sosialis, NGO liberal dan kroni, buatlah kerja matematik (mengira),” katanya.

“Tetapi semua mereka tidak akan melompat pada masa yang sama, mereka akan muncul seorang atau dua orang sekali. Seperti dalam sukan tinju, ada regunya masing-masing.”

Didesak membuat penjelasan lanjut, beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama atau jumlah sebenarnya wakil rakyat terbabit dengan alasan ia akan dilakukan pasa masa yang sesuai.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar di mana ahli parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng mengumumkan keluar PKR dan menjadi wakil rakyat bebas.

Salehuddin juga meramalkan akan wujud satu ‘blok MP’ bebas di Dewan Rakyat.

“Kamu sedar ada perkembangan dalam PAS dan DAP ke arah itu. Terdapat juga perkembangan dalam PKR,” katanya.

Bekas setiausaha agung PKR itu juga turut menghadiri sidang akhbar Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim bulan lalu, ketika ahli parlimen Bayan Baru itu mengumumkan keluar PKR.

Malaysiakini

Tags: , , , ,

Leave a Reply