Wakil rakyat keluar parti ‘pengkhianat’

Posted by admin on March 24th, 2010 in Isu Semasa No Comments

KOTA BHARU, 24 Mac – Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan wakil rakyat yang lompat parti tetapi enggan melepaskan jawatan mereka sebagai golongan yang pecah amanah.

Tok Guru berkata, wakil rakyat yang ingin melompat parti sepatutnya meletakkan jawatan dan bertanding semula bagi mendapat mandat rakyat kerana mereka menang pada pilihan raya lepas berdasar kepada parti yang mereka wakili.

Katanya, apabila wakil rakyat terbabit menang kerana meraih undi berdasar parti politik yang mereka wakili, maka mandat rakyat itu perlu dipulang kembali apabila mereka melompat ke parti lain.

“Mereka ni tak betul kerana telah pecah amanah.. khianat (kepada rakyat).. kalau nak lompat kena letak jawatan (dan) bertanding semula, baru betul.

“Serupa kita berkongsi berniaga, si A ada duit tapi tak ada idea (untuk berniaga) manakala si B tak ada duit tapi ada idea dan usaha.

“Maka begitu juga wakil rakyat mereka ada idea untuk dibawa ke parlimen manakala rakyat berkongsi beri undi kepada mereka, sebagaimana mereka yang kongsi berniaga dikira pecah amanah kerana bawa lari duit begitu juga wakil rakyat pecah amanah kerana bawa lari undi daripada rakyat.

“Lebih baik wakil rakyat Cina dari Perlis yang letak jawatan bila dia tak setuju dengan parti,” kata Tok Guru semasa menyampaikan kuliah Maghrib mingguan di Masjid Pulau Melaka, malam ini.

Baru-baru ini tiga wakil rakyat dari PKR bertindak keluar parti dan mengisytihar sebagai wakil rakyat bebas tetapi enggan melepas jawatan mereka walau pun didesak oleh para pengundi kawasan masing-masing.

Wakil rakyat terbabit ialah Ahli Parlimen (MP) Bayan Baru, Datuk Zahrain Hashim, MP Bagan Serai, Mohsin Fadzli dan MP Nibong Tebal, Tan Tee Beng.

Seorang lagi wakil rakyat PKR iaitu MP Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin pula dipecat dari parti itu ekorang masalah disiplin yang serius.

Tags: , , ,

Leave a Reply