Konvensyen PR di Kedah Melangkah ke Putrajaya

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on January 18th, 2012 in DUN Kelantan, Isu Semasa, Pakatan Rakyat No Comments

ALOR STAR, 14 Jan – Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-3 yang berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim Jalan Suka Menanti, Alor Star sewajarnya ditakuti dan dibimbangi oleh UBN.

Bukan mengenai beberapa resolusi yang diputuskan ataupun janji-janji dan ikrar pimpinan Pakatan Rakyat untuk dilaksanakan seperti penghapusan tol, pelupusan pinjaman wang PTPTN, bantuan untuk warganegara emas, pembatalan penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) ataupun seribu macam janji lagi, tetapi kebanjiran manusia pada malam ceramah itu yang luar biasa adalah satu permulaan baru untuk PR mengorak langkah terus ke Putrajaya.

Fenomena ini berlaku apabila pendakwaan ke atas Anwar Ibrahim berhubung kes liwat selesai. Pembebasan Anwar itu disambut oleh rakyat sebagai satu kejayaan di mana doa dan harapan mereka selama ini yang menganggap Anwar dianiaya dan fitnah direstui Allah.

Sebelum konvensyen itu serangan atau road show ceramah PR yang diadakan di seluruh kawasan parlimen malam sehari konvensyen itu benar-benar berjaya mengejutkan hati dan perasaan rakyat Kedah. Kesemua kawasan yang diadakan ceramah sambutannya luar biasa antara 3,000 hingga 5,000.

Kalau sebelum ini sukar untuk mengumpul orang seramai itu tetapi ia berubah sebaik saja mahkamah memutuskan Anwar tidak bersalah. Pasti dan tentunya ledakan semangat dan kobaran azam kini berlaku di Kedah dengan satu nawaitu untuk mengkekalkan Kedah dalam genggaman dan menumbangkan kerajaan UBN di Pusat. Ledakan ini juga dipercayai turut terhimbau ke negeri-negeri lain.

Mereka datang dari dekat dan jauh. Wajah-wajah yang berjalan berderaian dengan anak-anak dan keluarga itu menunjukkan mereka sengaja datang untuk memberi sokongan. Seolah-olah jujutan manusia di sepanjang jalan itu datang tanpa mempedulikan kepada halangan dan sekatan lagi.

Tawaran wang RM500 yang digula-gulakan kepada mereka sedikitpun tidak membekas sedikitpun buat mereka. Mungkin juga rakyat yang menerima baucer RM500 boleh ditukar untuk dijadikan tambang bas atau membeli petrol untuk mendatangi ceramah dan majlis Pakatan Rakyat.

Betapa ramainya yang hadir, sehinggakan Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan ianya sebagai Arafah. Padang stadium dipenuhi dengan manusia yang mengenakan kopiah putih. Sukar untuk digambarkan berapakah angka sebenarnya tetapi apa yang boleh dinyatakan, kesesakan jalan raya menuju ke stadium sepanjang 3 km di segenap jalan menuju stadium boleh dihisab sendiri. Jumlah kenderaan pula tidak terhitung, motosikal, kereta memenuhi setiap bahu jalan dan jalan-jalan kecil padat sehingga sukar untuk bergerak.

Di Alor Star malam itu sedikit menghairankan kerana polis tidak bertindak seperti biasa. Tidak ada sekatan jalan raya dibuat bagi melengah atau menganggu perjalanan. Hendaknya apa yang ditunjukkan oleh Polis Di Raja (PDRM) Kedah yang yakin dan percaya himpunan melibat Pakatan Rakyat tidak mendatangkan masalah turut sama dipercayai oleh polis di negeri-negeri lain khasnya di Johor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.

Apa yang boleh disimpulkan dengan kehadiran lebih 35,000 di stadium malam itu ia sudah mula menampakkan rakyat sudah bangun dan bersedia untuk melakukan perubahan. Rakyat sudah tidak sabar untuk menanti saat peti undi PRU ke-13 dibuka untuk mereka menyaksikan PR akan membentuk kerajaan dan UBN akan tumbang

Tags:

Leave a Reply