Kelantan kecewa sikap penganjur LTdL

Posted by admin on March 3rd, 2010 in Isu Semasa No Comments

KOTA BHARU, 2 Mac – Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fatah Mahmood melahirkan rasa kecewa dengan sikap penganjur perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) yang dikatakan membelakangkan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada upacara melepaskan peserta di sini, semalam.

Abdul Fatah berkata, apa yang berlaku pada majlis pelepasan yang diadakan di hadapan Istana Balai Besar pagi semalam adalah sesuatu memalukan.

“Ia tidak menghormati Tok Guru selaku Menteri Besar dan tuan rumah yang sepatutnya melakukan pelepasan itu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Sebaliknya majlis pelepasan disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Perlumbaan jelajah berbasikal terulung Asia itu memulakan peringkat pertama dari sini ke Kuala Berang sejauh 174.5 kilometer.

Mengulas perkara itu, Abdul Fatah berkata, nama Nik Aziz, selaku tetamu kehormat untuk melepaskan peserta, dimaklumkan kepada beliau pada malam kelmarin.

“Sepatutnya saya dimaklumkan terlebih dahulu jika ada perubahan tetapi ini tidak,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri akan mengutus surat kepada pihak penganjur terhadap insiden itu.

LTDL kali ini dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan disertai 20 pasukan.

Perlumbaan melibatkan tujuh peringkat sejauh 1,013.9 kilometer untuk merebut hadiah keseluruhan bernilai RM710,650.

Sinar Harian

Tags: , , ,

Leave a Reply