DALAM usaha memperkasakan sekolah menengah ugama (SMU) bantuan kerajaan negeri, Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat telah mengambil inisiatif melawat sambil berbincang dengan pihak pentadbiran sekolah untuk mendengar sendiri permasalahan yang mereka alami.

Di samping itu, beliau juga mengambil kesempatan pada lawatan berkenaan untuk berinteraksi secara langsung dengan para pelajar bagi menyemarakkan semangat mereka meneruskan pendidikan di sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Pada 8 Mac lepas, Adun Limbongan telah meluangkan masa melawat salah sebuah sekolah ugama YIK yang terletak dalam kawasan DUN Limbongan iaitu SMU (A) Nahdatul Islamiah di Jelor.

“Semasa lawatan ini, saya telah berbincang dengan mudir sekolah dan antara aduan yang saya terima ialah keperluan komputer dan keadaan garaj tempat meletak kenderaan yang amat uzur.

“Bagi masalah komputer, alhamdulillah satu set komputer telah pun diluluskan dan akan disampaikan kepada mudir sekolah, Ustaz Mohd Saupi Abd Latif sempena dengan Program Pemimpin Bersama Rakyat pada 11 Mac,” kata Adun Limbongan selepas lawatan ke sekolah berkenaan, 8 Mac lepas.

Di atas keprihatinan pembangunan sekolah yang amat memerlukan sokongan semua pihak, maka pihak sekolah amat mengharapkan bantuan daripada orang ramai terutamanya bantuan berbentuk kewangan yang boleh disalurkan melalui akaun Bank Islam (BIMB) cawangan Pasir Puteh, nombor akaun: 03 0900 1001 9299 atas nama SMU (A) Nahdatul Islamiah Jelor.

Tags: , , ,

Leave a Reply