PASIR PUTEH, 3 Feb – Walaupun usianya mencecah 100 tahun, ingatannya masih kuat dan mampu melakukan kerja harian tanpa bantuan orang lain. Kebolehan Fatimah Ali menceritakan dengan jelas dan terperinci mengenai sejarah silam termasuk peristiwa pendudukan Jepun menarik perhatian generasi baru di sekitar rumahnya.

Dia tidak menunjukkan tanda-tanda letih apabila melakukan rutin harian seperti menyapu sampah di halaman rumah dan menanam pelbagai jenis sayuran berhampiran rumahnya.

Anak bongsunya, Anuar Idris, 52, berkata, ibunya membuat pagar untuk melindungi tanaman tanpa dibantu sesiapa pun.

“Kelakuannya tidak seperti orang yang berusia 100 tahun, dia boleh mengecam orang lain dengan jelas dan pendengarannya juga masih baik. Tidak susah untuk menjaga dia dan saya tidak menghalangnya daripada melakukan kerja-kerja harian kerana dia memang mempunyai kudrat untuk melakukan itu semua,” katanya ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Limbongan, Zainuddin Awang Hamat kelmarin.

Zainuddin berkata, Fatimah merupakan warga tertua dalam DUN Limbongan ketika ini yang perlu dibantu seperti mana warga emas lain.

“Menerusi Program Cakna Warga Emas, kita mengunjungi rumah-rumah mereka untuk bertanya khabar dan menyampaikan sedikit sumbangan,” katanya yang diiringi Penghulu Mukim Sri Aman, Mahadi Rajab.

Sinar Harian

Tags: , , ,

Leave a Reply