PASIR PUTEH, 16 Mac – Ibu bapa diminta sentiasa memantau perkembangan pendidikan anak masing-masing dan tidak melepaskan tanggungjawab mendidik kepada guru dan pihak sekolah semata-mata.

Exco Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, proses pendidikan tidak akan lengkap jika ibu bapa tidak turut memain peranan ketika anak-anak mereka berada di rumah selepas selesai waktu persekolahan.

Mengambil contoh pelajar terbaik SPM 2008, Nik Nur Madiha, Nik Amar berkata, pelajar berkenaan mencapai kecemerlangan dalam setiap peperiksaan kerana ketika di rumah ibu dan bapanya sentiasa bertanya khabar dan mengambil ‘cakno’ terhadap beliau.

“Tiga komponen perlu seiring jika kita inginkan anak-anak kita berjaya dengan cemerlang iaitu sekolah, guru dan ibu bapa. Jika salah satu daripada tiga komponen ini tidak cukup, bukan bermakna pelajar itu tidak berjaya tetapi agak susah untuk mencapai kecemerlangan,” katanya.

Nik Amar berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Jawatankuasa Pengelola Kemajuan Sekolah (JPKS) Sekolah Menengan Ugama (Arab) Khairiah, Padang Pak Amat, Sabtu lepas.

Hadir sama Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat, Penolong Pengarah Yayasan Islam Kelantan (HEM), Ustaz Muslim, Pengetua SMU (A) Khairiah, Ustaz Ahmad Zaki Mat Nor dan Pengerusi JPKS SMU (A) Khairiah.

Pada majlis berkenaan, Nik Amar turut menyampaikan sumbangan set komputer kepada Pengetua SMU (A) Khairiah dan Pengetua SMU (A) Nahdatul Islamiah Jelor.

Tags: , , , , ,

Leave a Reply