Sekali lagi wanribu bermusafir bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan, YB Drs. Hj. Zainuddin Ag. Hamat dan Adsivor TEAM Hj. Abdul Rashid ke Jajahan Gua Musang dalam siri dakwah  mencari ketentuan Allah SWT.

Bermula pada seawal pagi menunaikan Solat Subuh di Masjid Tengku Faiz Petra. Udara segar dan suasana pagi yang sangat sejuk di sini diiringi dengan kicauan unggas di pinggir perkarangan masjid ini membawa satu kelainan yang jarang ada di tempat lain.

Jemaah diimamkan oleh Imam 2 Masjid, Ustaz Hazuari yang menyampaikan kuliah Subuh kemudiannya membawa kami bertiga ke bilik Imam untuk membincangkan hal-hal pembangunan dan aktiviti yang mengimarahkan jemaah masjid.

Ustaz Hazuari yang berkelulusan dari Kota Baghdad, Iraq seorang yang sangat berdedikasi dan aktif bersama AJK Masjid yang lain menyuarakan rasa syukur dengan kehadiran kami kerana beberapa masalah yang tertangguh sebelum ini mendapat perhatian serius Drs. Hj. Zainuddin. Antara yang menjadi perhatian Drs. Zainuddin masalah berkaitan dengan tandas dan bilik mandi yang pengurusan kebersihan tidak ditahap yang sepatutnya sedangkan Masjid ini bukan sahaja dikunjungi oleh jemaah tempatan malah yang bermusafir dalam perjalanan ke jajahan-jajahan lain di negeri ini memandangkan Gua Musang adalah pintu masuk utama laluan dari pantai barat dan juga utara semenanjung. Lantaran itu, permohonan peruntukkan untuk membaik pulih semua fasiliti termasuk cadangan untuk membina Islamik Homestay diperkarangan masjid ini telah dibincangkan bersama dan mendapat persetujuan Drs. Zainuddin untuk di bawa ke peringkat seterusnya.

Perbincangan berlanjutan sehingga membawa kami untuk sarapan pagi bersama di medan makan berdekatan yang seterusnya mencambahkan idea untuk mengadakan satu sesi ceramah di Masjid ini berkaitan dengan Q&A (Qawiyyun Amin) dalam masa terdekat ini. Pakar Q&A, Hj. Abdul Rashid bersetuju untuk berkongsi kaedah ini dalam ceramah tersebut untuk kebaikkan dalam penyusunan ikatan Ummah dan pengurusan seharian tidak semestinya di masjid sahaja malah dalam menjalani kehidupan seharian, InsyaAllah.

Dalam kesempatan membincangkan isu berkaitan dengan masjid, Drs. Zainuddin juga menyentuh mengenai masalah  dalam kesihatan tubuh badan dalam usia yang semakin meningkat. Dalam berkongsi pengalaman bersama AJK Masjid dan beberapa pelanggan yang sedang bersarapan, kami juga sempat mempromosikan penggunaan Stevia sebagai pemanis pengganti gula yang kini hangat dipasaran produk kesihatan. Dua orang kenalan kami bersetuju untuk menjadi agen (dealer) untuk kawasan Gua Musang amat tertarik dengan produk keluaran Nisvia (Ekstrak 100% Stevia) yang kami bawa untuk sama-sama memberi kesedaran tentang penjagaan kesihatan dalam pemakanan terutama yang mengalami masalah Diabetes.

Kemudianya kami bertiga ditemani oleh Saudara Husin Embong ke Perkampungan Orang Asli Kg. Lambuk, Kuala Betis untuk sama-sama meraikan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Ramah Mesra anjuran JHEOA.

Kami tidak lama di Majlis ini kerana ada beberapa urusan masih perlu diselesaikan. Seterusnya kami berempat  menziarah keluarga Allayarham Che Hashim, bekas ADUN Galas yang meninggal dunia baru-baru ini. Suasana yang sayu masih jelas di wajah ahli keluarga dengan kehilangan seorang tokoh ketua keluar dan pemimpin yang disanjung rakyat. Drs. Zainuddin yang juga ADUN Limbongan amat rapat dengan rakan seperjuangan ini juga berasa sedih kerana beliau tidak dapat hadir bersama untuk penghormatan terakhir pada Allahyarham kerana sedang berada di China pada masa itu. Ucapan takziah kami kepada seluruh ahli keluarga dan juga rakyat DUN Galas.

Alhamdulillah, dengan bantuan Saudara Husin Embong dan rakan-rakan tempatan, beberapa urusan berkaitan dengan tempat penginapan untuk kempen Pilihanraya Kecil DUN Galas akan datang selesai dengan rahmatNya untuk BBC Kelantan, PAS Kawasan Pasir Puteh dan Machang.

Selesai makan tengahari di salah sebuah restoran di bandar ini, kami mula perjalanan  balik ke Pasir Puteh melalui Kg. Jerek untuk melawat tapak cadangan penubuhan Maahad Tahfiz Darul Hufaaz Cawangan Gua Musang. Dengan bantuan Saudara Wan Ibrahim, berasal dari Tendong  Pasir Mas tetapi sudah hampir 40 tahun tinggal di Jerek inimembawa kami ke tapak lokasi cadangan pembinaan. Amat sesuai sekali, udara yang nyaman dan suasana yang tenang di sini dijadikan institusi untuk hafal Al-Quran.

Kami seterusnya beredar ke kediaman Wan Ibrahim untuk menunaikan Solat Jama’ Zohor dan Asar. Paling bermakna dalam perjalanan kali ini, kami dapat merasakan kebesaran dan keaslian ciptaan Allah SWT yang jarang terdapat di lain-lain tempat terutama ketika menumpang mandi di sini. Airnya  yang nyaman dan sejuk menyegarkan tubuh badan kami untuk meneruskan perjalanan pulang.

Drs. Zainuddin ketika ditanya mengenai “Lawatan Kerja” kali ini, beliau menyatakan rasa syukur yang teramat sangat ke hadrat Ilahi kerana mendapat kemudahan dan pertolongan Allah SWT dalam menjalankan kewajiban dunia dan akhirat. Begitu juga dengan Advisor Team Hj. Abdul Rashid yang menyatakan bahawa inilah berkat doa dan Ibadi dalam menjalankan tugas seharian tanpa meminggirkan soal-soal akhirat dan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi Allah ini.

“Dan apabila…” maka segala ketentuan itu adalah dariNya.

Sekian.

Leave a Reply