ADUN Limbongan bidas bakal PM Malaysia

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on November 24th, 2011 in DUN Kelantan, Lawatan No Comments

“Sebagai seorang bakal Perdana Menteri, YAB hendaklah membantu Kelantan bagi mendapatkan semula royalti minyak,” – Drs. Hj. Zainuddin

KOTA BHARU, 23 Nov –  Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini dalam majlis bersama Guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Lembaga Pengelola Sekolah dibidas ADUN Limbongan berkenaan isu bantuan kepada pelajar dan pembangunan sekolah di negeri ini.

Adun Limbongan yang juga Pengerusi PIBG Maahad Saniah Pasir Puteh ketika tampil mengemukakan soalan juga berharap agar Kerajaan Pusat mempertimbangkan hak Kelantan ke atas royalti minyak.

Malah beliau juga mempertikaikan wakil JPN yang berada dalam Jawatankuasa Pendidikan Negeri tidak menyalurkan maklumat kepada kementerian bagi membolehkan pelajar-pelajar sekolah agama di bawah YIK juga mendapat bantuan RM100. Sebelum itu dalam ucapan TPM yang juga Menteri Pelajaran Malaysia memberitahu sekolah yang tidak mendaftar dengan kementerian belum diberi bantuan RM100 kerana tiada maklumat lengkap.

Sementara itu, seorang Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Kemajuan Sekolah (JKPS) dari Pasir Puteh meluahkan rasa kecewa terhadap Datuk Seri Mustapa Mohamed. Harun Said, pengerusi JKPS sekolah agama di Kuala Nering memberitahu pernah mengemukakan masalah mengenai bantuan persekolahan kepada Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan. “Saya tanya Datuk Pa pada satu perjumpaan meja bulat yang diadakan pada 2004 mengapa bantuan kepada sekolah agama rakyat dihentikan. Namun pada masa itu Dato’ Pa tidak menjawab apa-apa, sehingga baru-baru ini Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM100 juta disediakan dalam bajet untuk sekolah agama,” katanya.

Harun berkata, sepatutnya bantuan tersebut diberi kepada sekolah agama sejak 2004 lagi bagi membolehkan pelbagai kemudahan kepada pelajar disediakan. “Sudahlah SAR begitu lemah, letih dan ada banyak kekurangan, bantuan kewangan pula disekat tentunya menyebabkan jiwa juga menjadi lemah,” katanya lagi.

Dewan Kelantan Trade Centre (KTC)

Tan Sri Muhyiddin Yassin mencipta sejarah apabila berjumpa dengan guru-guru agama dari sekolah Yayasan Islam Kelantan (Yik) dan Jabatan Pelajaran Kelantan (JPN) dalam Majlis Penyampaian Cek dan Sijil Bantuan Kerajaan Persekutuan  di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) di Kota Bharu.  Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin, anggota Exco, Datuk Mohd Amar Abdullah, wakil-wakil rakyat dan pegawai kanan kerajaan pusat.

Tags: , , , ,

Leave a Reply