Program D.O Masuk Kampung DUN Gaal

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on March 28th, 2011 in DUN Kelantan, Lawatan, MDPP No Comments

BUKIT AWANG, 27 Mac – Ahli Parlimen Pasir Puteh, ADUN Gaal, ADUN Limbongan, ADUN Semerak dan ADUN Selising adalah antara pemimpin yang hadir sama dalam Program D.O Masuk Kampung yang pertama kalinya diadakan tahun ini di DUN Gaal bagi merasmikan 3 buah rumah di kampung Bunut Rendang yang akan dibaik pulih.

Program ini juga antara lain bertujuan untuk merapatkan silaturrahim antara pemimpin dan juga masyarakat setempat. Dalam ucapan ADUN Gaal, YB Dr. Nik Mazian Nik Mohamed beliau mengalu-alukan kedatangan semua yang hadir terutama rombongan dari Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh yang diketuai oleh YABrs Hj. Fauzi Bin Mat selaku Ketua Jajahan (D.O) Pasir Puteh. Beliau juga menyatakan kelebihan yang ada dalam rakyat di negeri ini yang bersikap tidak meminta malah sentiasa berkerja keras membela nasib diri adalah satu rahmat yang diberikan oleh Allah SWT dibawah pemerintahan Kerajaan Membangun Bersama Islam yang sehingga ini telah mentadbir lebih 20 tahun.

Sementara itu YABrs Ketua Jajahan pula menyatakan rasa terharu dan bangga dengan sokongan dari kelima-lima wakil rakyat di Jajahan ini yang hadir bersama menjayakan program pada hari ini. Penekanan dalam ucapan beliau kepada peranan Penghulu Mukim dalam mendekati rakyat yang merukapan sayap kiri dalam pentadbiran Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh bagi memaklumkan dan menyampaikan maklumat tentang kutipan hasil cukai tanah. Selain itu, penghulu juga perlu mengenalpasti rakyat yang berada dalam kumpulan miskin tegar dan mengemaskinikan senarai yang sedia ada dari masa ke semasa supaya tiada keciciran dan terlepas pandang dalam membela nasib rakyat yang berada dalam hidup yang serba-serbi susah.

Program ini juga dihadiri oleh semua Penggawa Jajahan Pasir Puteh, Penghulu-penghulu Mukim DUN Gaal, kakitangan Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh dan wakil-wakil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.

YABrs Ketua Jajahan juga menekankan bagaimana untuk mengelakkan masalah sosial yang kini semakin mendatangkan masalah kepada semua pihak. Beliau berkata, usaha awal perlulah dimulakan dari rumah lagi dan peranan ibu bapa atau penjaga kepada remaja yang masih di bawah jagaan adalah penting dengan menunjukkan kasih sayang sebenar kepada anak-anak. Beliau juga berazam untuk mengadakan program seperti ini di DUN-DUN lain selepas ini dengan lebih baik lagi memandangkan sokongan dari semua pihak yang hadir dalam program hari ini amat-amat membanggakan.

Lawatan ke tiga buah rumah yang akan dibaiki juga dilakukan dalam program ini disamping menyampaikan bantuan segera.

Tags: ,

Sumbangan untuk OKU sebatang kara

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on February 25th, 2011 in DUN Limbongan, Lawatan No Comments

KG. MERKANG, 22 Feb – Penderitaan seorang wanita OKU yang hidup sebatang kara tanpa suami dan anak-anak di sini, mendapat perhatian ADUN Limbongan yang berkunjung menyampaikan bantuan.

Mek Som Manaf, 54 yang tinggal sendirian sekian lama selepas terpisah dari keluarga hanya mengharapkan pertolongan daripada jiran tetangga yang datang membantu menguruskan dirinya setiap hari. Mujurlah ada insan yang masih sudi untuk menjaga beliau yang kini dalam keadaan lumpuh separuh badan.

Keluarga Zubaidah Yusuf, 35 yang menceritakan tentang kepayahan hidup Mek Som nama panggilanya Mak Wa semasa lawatan ini membuatkan kami berasa sangat terharu. Ahli keluarga asal Mak Wa yang masih ada kian sukar untuk dihubungi. Ada yang sudah berpindah tempat tinggal atau nombor telefon menyebabkan sukar untuk Zubaidah memaklum kepada mereka sekiranya berlaku apa-apa yang tidak diingini lebih-lebih lagi keadaan kesihatan Mak Wa seringkali tidak menentu.

Drs. Hj. Zainuddin yang hadir bersama Penghulu Mukim Merkang dan beberapa orang dari MTD Limbongan menyerahkan sebuah kerusi roda dengan hasrat dapat membantu meringakan beban yang dipikul oleh Mek Som dan keluarga Zubaidah.

“Saya memohon agar sekiranya ada pihak-pihak yang sudi untuk memberi bantuan apa sekalipun kepada Mek Som memandangkan keadaan beliau yang daif dari segi mental dan juga fizikal” ujar Zainuddin lagi.

Tags: , , , , ,

Titian Ukhwah Muslimat DUN Limbongan Melalui Cakna Duafat

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on January 18th, 2011 in DUN Limbongan, Lawatan 2 Comments

PASIR PUTEH, 17 Januari – Rombongan yang diketuai oleh Pengarah MTD DUN Limbongan yang turun bersama isteri serta beberapa orang Muslimat PAS DUN Limbongan hari ini menziarahi beberapa keluarga yang hidup dalam kedaifan dan miskin tegar sekitar DUN ini.

Turut serta dalam Titian Ukhwah ini adalah Pemangku Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Pasir Puteh, Dzulkaedah bt Ali Mohd dan Ketua Dewan Muslimat DUN Limbongan, Fauziah bt Salleh yang menyatakan bahawa Cakna Duafat kali ini lebih fokus kepada keluarga yang hidup dalam serba kekurangan dalam mengharungi hidup yang dibebani oleh keadaan ekonomi semasa serta tanggungjawab membesarkan anak-anak yang ramai.

  • Keluarga Mat Zahar bin Awang menerima sumbangan dari ADUN Limbongan dalam Titian Ukhwah Cakna Duafat

Salah satu keluarga yang diziarahi rombongan ini adalah keluarga Mat Zahar Bin Awang, 40 yang menanggung kepayah hidup bersama 8 orang anak dan isteri Saudah Binti Abdul Aziz, 36 di Kg. Merkang. Bekerja sebagai buruh kontraktor Telekom, pendapatan harian sekitar RM30 masih tidak mampu untuk menampung perbelanjaan keluarga sehingga isteri beliau terpaksa bekerja sambilan di salah sebuah restoran di Pasir Puteh. Sekali imbas kebahagiaan keluarga tetap teserlah walaupun dibelenggu kemiskinan, hidup di sebuah rumah usang tanpa bilik tidur apatah lagi kelengkapan isi rumah yang lain.

Menurut Dzulkaedah, Cakna Duafat ini tidak bermotifkan parti politik semata-mata namun rasa tanggungjawab sebagai kerajaan yang memerintah di bawah syariat Agama mengajak mereka untuk terus mendekati masalah rakyat walaupun hadir dengan bantuan yang tidak seberapa.

Rombongan ini juga sempat singgah di kediaman Nik Hanafi Nik Mat di Kg. Gong Chapa yang kematian isteri beliau baru-baru ini. Kehilangan ibu kepada 7 orang anak ini amat terasa kepayahannya lebih-lebih lagi Nik Hanafi dalam usia yang sudah menjangkau 60-an kini hanya mampu mencari sumber rezeki melalui kerja-kerja kampung. YB Drs. Hj. Zainuddin yang amat bersimpati dengan keluarga ini menyampaikan sumbangan melalui isteri beliau kepada anak-anak yatim tersebut dan berdoa semoga Allah akan sentiasa memberkati dan memberi semangat serta ketabahan yang kuat dalam mengharungi hidup pada masa akan datang.

Jazakallahu Khairan Khatira.

Tags: ,

Lawatan Halwa DUN Limbongan ke Pulau Langkawi

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on January 3rd, 2011 in DUN Limbongan, Lawatan No Comments

KUALA PERLIS, 25 Disember 2010 – Rombongan Halwa dibawah pimpinan Timbalan Pengarah 4 MTD Limbongan, Puan Fauziah Salleh singgah di Majlis Keraian Perkahwinan Anak ADUN Sanglang lebih kurang jam 4.00 petang sebagai destinasi pertama dalam lawatan ke Pulau Langkawi.

Rombongan kemudiannya ke Markaz UPU Behor Mali DUN Simpang Empat untuk bermalam di sini. Menurut salah seorang peserta lawatan Nor Asilah Bt Mohd Zain, jalinan erat antara UPU Behor Mali dengan PAS Kawasan Pasir Puteh terjalin sejak dari PRK Arau 1997 lagi semasa mereka bertugas di sana.

Pada malam keesokkan harinya, lawatan mahabbah dan silaturrahim beserta dialog dengan Dewan Muslimat Langkawi di Markaz Pekan Kuah telah diadakan. Program ini banyak memberi manfaat di mana percambahan idea dan perkongsian maklumat dalam menjalankan kerja-kerja dakwah dapat dihuraikan bersama.

Selain dari program-program rasmi yang telah dirancangkan, peserta lawatan juga sempat menziarah beberapa destinasi menarik di pulau yang kini tersohor di serata dunia. Keindahan pulau yang amat mengagumkan meningkatkan lagi rasa cinta kepada Allah SWT.

Setiausaha MTD Limbongan, Hj. Md. Judin selaku ketua rombongan ini menyatakan rasa terharu dan berterima kasih  dengan layanan dari pihak tuan rumah terutamanya YB. Rus’sele Eizan dan YB. Ust. Hashim Jasin yang banyak memberi kerjasama menjayakan lawatan ini.

Berbekalkan Nasi Berlauk Ala Perlis dan Bubur Asyura dari pihak tuan rumah, Alhamdulillah perjalanan pulang tidak menghadapi sebarang masalah. InsyaAllah segala yang dipelajari dari hasil lawatan ini akan diberi keberkatan dariNya dan terus mengukuhkan jalinan ukhwah dalam memartabatkan perjuangan agama Islam pada masa akan datang.

Majlis Keraian Perkahwinan anak YB UST HASHIM JASIn, Pesuruhjaya PAs Perlis / ADUN Sanglang

Tags: , , , , ,

T2K di Program Cakna Remaja

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on December 13th, 2010 in DUN Limbongan, Lawatan 2 Comments

PANTAI MELAWI, 8 Disember – Sempena musim cuti sekolah ini, Dewan Muslimat DUN Limbongan telah menganjurkan satu Program Cakna Remaja di sini yang telah disertai oleh 40 orang remaja perempuan DUN Limbongan.

Program selama 2 hari 1 malam di Redzuan’s Chalet ini telah diketuai oleh Ketua Dewan Muslimat DUN Limbongan, Fauziah Bt. Yusof. Bertemakan Tarbiyyah, Kerjaya dan Kesejahteraan, program ini telah dimuatkan dengan pelbagai aktiviti kerohanian yang bertujuan membentuk minda remaja kearah kematangan pemikiran berlandaskan syariah Islam dan menjauhi dakyah serta kelakuan yang negatif.

Antara aktiviti yang dijalankan seperti zikir munajat memuji kebesaran Allah, pendekatan kepada ajaran Al-Quran dan Hadis, dialog bersama pemimpin, nasyid dan banyak lagi.

ADUN Limbongan dalam ucapan perasmian program ini telah menyatakan tentang cabaran dalam pertumbuhan minda remaja dalam dunia globalisasi dengan menghuraikan kaitan perkembangan rohani dan jasmani dalam usia belasan tahun. Menurut beliau, dunia informasi terpantas pada hari ini lebih cenderung kepada perkara-perkara yang boleh memudaratkan dan jika remaja tidak berhati-hati dalam membataskan kehidupan seharian maka tidak mustahil lebih banyak lagi gejala sosial yang tidak pernah ada difikiran kita hari ini akan berlaku pada masa akan datang.

Selain itu, remaja juga harus bersifat lebih proaktif dalam menangani masalah rakan sebaya kerana ramai dikalangan mereka pada hari ini lebih berminat untuk tidak merujuk kepada ibu bapa sekiranya terdapat masalah yang tidak mampu diselesaikan malahan rakan sebaya adalah orang pertama dijadikan sebagai tempat untuk berkongsi masalah.

Walaupun telah ramai ibu bapa pada hari ini menyedari hakikat ini, namun pengawasan mereka terhadap anak-anak juga dibatasi dengan adanya kemudahan alat-alat komunikasi seperti telefon bimbit dan komunikasi internet seperti Facebook yang akhir-akhir ini telah banyak mencetuskan masalah kerana penyalahgunaan aplikasinya.

Teraju utama program ini Fauziah Yusof, menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan Cakna Remaja kali ini dan berharap lebih banyak lagi aktiviti untuk remaja seperti ini akan dijalankan pada masa akan datang untuk terus mentarbiyyahkan remaja kearah menjadi insan yang beriman.

Tags: , , ,

PASIR PUTEH, 27 November – Sempena 50 Tahun usia Masjid Ibrahimi Pasir Puteh, satu Majlis Jubli Emas yang telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fatah Mahmood disambut meriah oleh masyarakat tempatan.

Majlis ini juga turut dihadiri oleh rombongan tetamu khas dari China yang telah bersama-sama menjayakan Ekspo Cheng Ho 21-26 November lalu. ADUN Limbongan selaku ketua dalam rombongan ini dalam ulasan beliau mengenai dialog bersama jemaah setempat menyatakan bahawa dakwah Islamiah tidak menspesifikkan kepada halangan namun Islam itu mudah jika difahami dan dihayati dengan sepenuhnya.

Beliau menyatakan demikian setelah ditanya mengenai seorang jurubahasa sukarelawan yang tidak beragama Islam dibawa masuk ke rumah Allah untuk terjemahan bahasa Cina ke bahasa Melayu. “Meskipun tidak menutup aurat sepenuhnya (ketika di dalam masjid), kita telah mampu menyebarkan Islam secara tidak langsung kepada jurubahasa tersebut apabila beliau menterjemahkan ucapan tetamu dari China itu yang kandungannya adalah huraian dari firman Allah dalam Al-Quran” ujar Zainuddin lagi.

Sambutan Jubli Emas ini juga dimeriahkan lagi dengan pelbagai pertandingan acara dalam dan luar dewan. Antaranya adalah Pentandingan Tilawah dan Hafazan Al-Quran, Pertandingan Azan dan pelbagai Sukan Rakyat seperti dam(haji), Karom, Ping pong dan lain-lain lagi.

Selain itu, Drs. Hj. Zainuddin juga mengucapkan tahniah kepada AJK Masjid Ibrahimi yang telah menganjurkan sambutan ini dan telah mendekatkan masyarakat kepada masjid tentang fungsinya terutama untuk golongan belia.

Galeri Foto:

1. Pertandingan acara dalam dan luar dewan sempena sambutan

Tags: , ,