Imbasan Peristiwa Memali 1985 di Dewan Utama MDPP

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on December 16th, 2010 in DUN Kelantan, DUN Limbongan, Pakatan Rakyat, Pasir Puteh No Comments

PASIR PUTEH, 14 Disember – Tayangan video imbasan memali di Ceramah anjuran PAS Kawasan Pasir Puteh menggamit kenangan perjuangan Allahyarham Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya yang telah terbunuh dalam Operasi Angkara/ Operasi Hapus oleh pihak berkuasa.

Peristiwa berdarah ini telah terjadi pada 19 Nov 1985 yang mengakibatkan 18 orang mati dan berpuluh-puluh cedera serta penahanan beratus-ratus orang. Kesemuan yang ditahan telah dibebaskan kecuali 36 orang yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Antara babak menyentuh qalbu dalam tayangan video itu ialah  apabila Ustaz Ibrahim berkata “Alhamdulillah kerana telah mengorbankan kami di jalan mati syahid” semasa berada dipangkuan polis di akhir hayat beliau. Dengan genggaman tangan terkepal diatas sambil melaungkan kalimah “Allahuakbar” Ustaz Ibrahim akhirnya gugur di medan perjuangan.

Video pendek ini ditayangkan pada slide ceramah ADUN Limbongan yang bertajuk Sepakat Jatuhkan BN UMNO-APCO yang menghuraikan beberapa faktor kenapa PR perlu ambil alih Putrajaya di PRU13 nanti.

Sementara itu penceramah jemputan, ADUN Pulai Chondong YB Zulkifli B. Mamat lebih banyak berkisar tentang kejayaan Expo Cheng Ho dan implikasi kepada semua rakyat tempatan khususnya para usahawan yang rata-rata menyatakan kesan dari Expo ini adalah terbaik untuk kemajuan dan pembangunan di negeri ini pada masa akan datang.

Selain dari itu persembahan nyanyian lagu-lagu dakwah versi dikir barat yang disampaikan oleh Megat Nordin, Man Awara dan rakan-rakan mendapat pujian ADUN Limbongan yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan dan memberi galakan agar terus berjihad dan mentarbiyyahkan pendengar melalui kaedah seperti ini.

Sungguhpun tayangan video peristiwa memali ini hanya satu selingan sahaja, namun ianya sudah pasti mempunyai kesan tersendiri dalam memberi suntikan semangat jihad kepada umat Islam hari ini agar tidak akan mudah berundur dengan musuh-musuh Islam yang semakin hari lantang bersuara dan berlaku tidak adil kepada sesama manusia.

Makan Malam MTD Limbongan Bersama Media

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on December 16th, 2010 in DUN Limbongan No Comments

TOK JANGGUT, 16 Disember – Kejayaan sesuatu progam yang dilaksanakan di peringkat kampung perlu diwar-warkan kepada masyarakat agar ia mencapai matlamat yang dirancangkan, justeru itu penghulu disarankan agar sentiasa mendampingi pihak media kerana media boleh menjadi perantaraan antara rakyat dan pimpinan masyarakat, demikian dijelaskan oleh Adun Limbongan Drs.Zainuddin Awang Hamat.

Zainuddin berkata walaupun kini terlalu banyak media arus perdana yang menyiarkan dari sudut negatif program yang dilaksanakan di peringkat dun, namun ia tetap dilaksanakan keranan rakyat setempat sudah tahu hasrat sebenar kerajaan negeri.

“Alhamdulillah dengan adanya akhbar cetak dan elektronik yang masih lagi membuka ruang kepada Pakatan Rakyat dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat, hasrat kerajaan masih lagi dapat disampaikan kepada rakyat “ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika meraikan wartawan dan blogger di majlis makan malam bersama Adun di sebuah restoran baru yang dimiliki oleh anak tempatan Restoran Daun Serai berhampiran Simpang empat Hospital Tengku Anis.

Zainuddin juga berharap hubungan baik antara media dan wakil rakyat diteruskan demi kesejahteraan penduduk setempat kerana dengan penyebaran maklumat yang tepat dari media dan blogger terhadap aktiviti wakil rakyat, ianya boleh membantu bagi merapatkan lagi hubungan wakil rakyat dan rakyat.

Beliau sekali lagi menegaskan media seharusnya berpegang kepada etika kewartawanan yang betul seperti melaporkan perkara yang benar-benar berlaku tanpa ditokok tambah kerana apa yang dibaca oleh orang ramai itu merupakan satu ilmu dan sekiranya ilmu yang salah disampaikan, maka ia akan membawa kepada perkara yang buruk dalam masyarakat.   -- petikan dari gegarkelantan.net

T2K di Program Cakna Remaja

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on December 13th, 2010 in DUN Limbongan, Lawatan 2 Comments

PANTAI MELAWI, 8 Disember – Sempena musim cuti sekolah ini, Dewan Muslimat DUN Limbongan telah menganjurkan satu Program Cakna Remaja di sini yang telah disertai oleh 40 orang remaja perempuan DUN Limbongan.

Program selama 2 hari 1 malam di Redzuan’s Chalet ini telah diketuai oleh Ketua Dewan Muslimat DUN Limbongan, Fauziah Bt. Yusof. Bertemakan Tarbiyyah, Kerjaya dan Kesejahteraan, program ini telah dimuatkan dengan pelbagai aktiviti kerohanian yang bertujuan membentuk minda remaja kearah kematangan pemikiran berlandaskan syariah Islam dan menjauhi dakyah serta kelakuan yang negatif.

Antara aktiviti yang dijalankan seperti zikir munajat memuji kebesaran Allah, pendekatan kepada ajaran Al-Quran dan Hadis, dialog bersama pemimpin, nasyid dan banyak lagi.

ADUN Limbongan dalam ucapan perasmian program ini telah menyatakan tentang cabaran dalam pertumbuhan minda remaja dalam dunia globalisasi dengan menghuraikan kaitan perkembangan rohani dan jasmani dalam usia belasan tahun. Menurut beliau, dunia informasi terpantas pada hari ini lebih cenderung kepada perkara-perkara yang boleh memudaratkan dan jika remaja tidak berhati-hati dalam membataskan kehidupan seharian maka tidak mustahil lebih banyak lagi gejala sosial yang tidak pernah ada difikiran kita hari ini akan berlaku pada masa akan datang.

Selain itu, remaja juga harus bersifat lebih proaktif dalam menangani masalah rakan sebaya kerana ramai dikalangan mereka pada hari ini lebih berminat untuk tidak merujuk kepada ibu bapa sekiranya terdapat masalah yang tidak mampu diselesaikan malahan rakan sebaya adalah orang pertama dijadikan sebagai tempat untuk berkongsi masalah.

Walaupun telah ramai ibu bapa pada hari ini menyedari hakikat ini, namun pengawasan mereka terhadap anak-anak juga dibatasi dengan adanya kemudahan alat-alat komunikasi seperti telefon bimbit dan komunikasi internet seperti Facebook yang akhir-akhir ini telah banyak mencetuskan masalah kerana penyalahgunaan aplikasinya.

Teraju utama program ini Fauziah Yusof, menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan Cakna Remaja kali ini dan berharap lebih banyak lagi aktiviti untuk remaja seperti ini akan dijalankan pada masa akan datang untuk terus mentarbiyyahkan remaja kearah menjadi insan yang beriman.

Tags: , , ,

Tahniah Media www.limbongan.net – MTD Limbongan

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on December 13th, 2010 in DUN Limbongan, Makluman No Comments

PASIR PUTEH – Kejayaan meraih tempat ketiga dalam Pertandingan Laman Web Anjuran Kerajaan Negeri Kelantan bagi Kategori Wakil Rakyat baru-baru ini mendapat perhatian seluruh Ahli Majlis Tinda kan DUN Limbongan yang menyatakan rasa bangga dan bersyukur dengan adanya media alternatif ini dalam menyampaikan khabar untuk semua pembaca tidak kira di mana sekalipun.

Menurut penyelia laman web ini, Wan Rahibullah Wan Ismail, 30 kejayaan ini adalah hasil dari usaha seluruh warga MTD Limbongan yang sentiasa menjadikan media ini satu saluran khas bagi menyampaikan berita setiap aktiviti yang telah dijalankan di DUN ini. Beliau berharap kerjasama seperti ini akan berterusan lebih-lebih lagi permintaan pembaca kini semakin hebat setelah laman ini sudah mula dikenali ramai oleh terutamanya pembaca yang berada di perantauan.

Sehubungan itu, ADUN Limbongan, Drs Hj. Zainuddin Awg. Hamat selain mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah kepada laman web media ini telah merasmikan sebuah kenderaan pacuan empat roda kepada media limbongan.net sebagai dorongan agar media ini terus menyalurkan informasi untuk setiap aktivi yang bakal dijalankan dan isu semasa di sekitar DUN Limbongan pada masa akan datang.

Beliau juga menyatakan hasrat untuk memperkemaskan lagi saluran media rasmi DUN Limbongan ini dengan menyediakan lebih banyak kelengkapan alat bantu media kepada MTD untuk terus berkerjasama menyalurkan informasi yang sudah tentu akan dapat mempertingkatkan prestasi pentadbiran MTD kelak.

Untuk tujuan tersebut Zainuddin juga menyatakan sokongan beliau kepada saranan YB. Dr. Fadzli dalam ucapan penggulungan Sidang Dewan Negeri baru-baru ini untuk membekalkan IPAD kepada setiap ADUN. “InsyaAllah setiap Penghulu Mukim akan dibekalkan dengan camera digital mulai tahun hadapan dan akan menyertai kursus kewartawanan dalam masa terdekat ini” kata Drs. Zainuddin.

Portal rasmi DUN Limbongan ini juga dalam pembikinan untuk menerbitkan edisi khas  limbongan.net dalam bentuk bercetak untuk diedarkan sempena menyambut kedatangan tahun baru 2011 nanti. Edisi khas yang bakal diedarkan bersama Takwim (kalendar) tahun baru akan memaparkan berita-berita penting dan gambar-gambar terbaik sepanjang tahun 2010.

Tags: , ,

Kuliah Maghrib Sempena Sambutan Maal Hijrah

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on December 13th, 2010 in DUN Limbongan, Dunia Islam 1 Comment

KG. WAKAF, 7 Disember – Kuliah maghrib Sempena Sambutan Maal Hijrah dibawah anjuran Penduduk Mukim Kg. Wakaf yang diketuai oleh Penghulu Mukim, Mohd Sabri telah diadakan di Madrasah Madinatul Ilmi malam ini.

Penceramah jemputan khas Ustaz Mohd Rifki Imam Dua Masjid Taman Universiti, Johor Bharu dalam kuliah beliau menceritakan tentang sirah Rasulullah dan para Sahabat tentang bagaimana baginda berhijrah dari Kota Mekah ke Madinah.

Dalam tazkirah selama 1 jam setengah ini, beliau menekankan bagaimana setiap kejadian Allah SWT dimuka bumi ini wajib menjalankan tugas yang diamanahkan oleh Allah dalam membuat perubahan dan membetulkan kesilapan sekiranya kehidupan seharian kita berhadapan dengan kemungkaran yang ditegah olehNya.

“Bukan saja manusia yang diciptakan sebagai sebaik-baik kejadian ini mendapat arahan Allah, namun makluk lain pun begitulah sepertimana Allah mengarahkan labah-labah untuk membuat sarang memberi perlindungan kepada Rasulullah ketika bersembunyi di dalam gua semasa perjalanan baginda menuju ke Madinah dijejaki oleh kaum Quraisy” ujar Ustaz Rifki.

Selain itu beliau juga membuat kesimpulan bahawa dalam kita menghijrahkan diri kearah kebaikkan sudah pasti terdapat halangan yang kadang kala boleh melumpuhkan hasrat seseorang untuk membuat amal kebajikan. Menurut beliau, berbuat baik umpama menjaga sebidang sawah padi, walaupun dibaja dan dijaga dengan rapi, ianya tidak tumbuh semudah lalang.

Tazkirah oleh anak kelahiran tempatan ini mendapat perhatian seluruh jemaah termasuk ADUN Limbongan yang turut sama hadir di majlis tersebut dan berjaya menimbulkan rasa keinsafan, keinsanan dan kesyukuran dalam menyambut kedatangan Awal Muharam 1432H.

Tags: , , ,

T2K Tema MTD Limbongan Untuk 1432H

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on December 13th, 2010 in DUN Limbongan No Comments

WAKAF BERANGAN, 6 Disember – Muzakarah MTD Limbongan menyambut kedatangan Awal Muharram kali ini bertemakan Tarbiyyah, Kerjaya dan Kesejahteraan (T2K) telah diadakan di Dewan Maahad Tahfiz Darul Hufaz, Masjid Majidiah hari ini.

Majlis yang dihadiri oleh seluruh Ahli MTD DUN Limbongan ini telah dipengerusikan oleh Setiausaha DUN Limbongan, Hj. Md. Judin yang dalam ucapan aluan beliau menyatakan rasa syukur dengan limpah rahmat dari Allah SWT kerana masih diberi peluang untuk bermusyawarah bersama dengan kepimpinan setempat untuk sekian kalinya.

Muzakarah telah di ketuai oleh YB. Drs. Hj. Zainuddin Awg. Hamat selaku Pengarah MTD Limbongan. Beliau yang juga telah bersama-sama MTD Semerak di Taklimat Gerak Gempur Daftar Mengundi DUN Semerak semalam, secara rasminya telah mengumumkan tema T2K untuk tahun baru ini dalam mentadbir Kerajaan Membangun Bersama Islam DUN Limbongan.

Dalam ucapan pendahuluan, beliau telah menerangkan maksud Ayat 71 Surah Maryam yang menyatakan  tidak seorang pun dari kalangan hamba Allah ini akan terlepas dari ujian dan hukumanNya apabila Allah telah menetapkan ketentuan itu. Menurut Zainuddin, dari ayat inilah lahir dari hati beliau untuk menjadikan T2K sebagai tulang belakang pentadbiran DUN Limbongan di tahun baru ini.

Meletakkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai tonggak utama pemerintahan Kerajaan Membangun Bersama Islam sahaja tidak mencukupi tanpa merealisasikan alunan Ubudiyyah, Itqan dan Mas’uliah seperti yang disarankan oleh pemerintah idola tersebut. Dari itu tarbiyyah yang berterusan akan dapat melahirkan keimanan dan mengenali Allah dengan lebih dekat lagi.

Dalam menangani masalah pengangguran masyarakat setempat, pimpinan harus mencari strategi untuk menjana sumber manusia semaksima mungkin agar lebih produktif lagi. Selain memperbanyakkan lagi produk-produk Islam, pimpinan juga perlu menjadi role model atau contoh terbaik untuk diikuti serta menghapuskan budaya “cakap lebih kerja kurang”.

Bekerja secara jemaah sudah tentu mendatangkan lebih banyak kebaikkan yang akan memberi kepuasan sekiranya pemimpin menjalankan amanah yang diberikan sebaik mungkin. Sikap Qawiyyun Amin mesti terus dijanakan agar dapat menghayati dan mengaplikasi sepenuhnya arahan dari pimpinan atasan yang insyaAllah dapat membina qalbu yang mampu memberi impak kepada kehidupan yang selesa dan sejahtera mengikut syariat Islam.

Muzakarah ini juga diselang-selikan dengan dialog antara Penghulu Mukim dan pimpinan atasan DUN yang akhirnya memberi beberapa kata sepakat untuk menganjurkan beberapa program di mukim masing-masing dalam masa terdekat ini. Majlis ditangguhkan pada tarikh yang akan ditetapkan kelak untuk mengadakan sesi brainstorming bagi program yang dibincangkan dalam Muzakarah pada kali ini.

Petikan bacaan doa penutup oleh Pengarah MTD Limbongan: “Tolonglah Islam dan Orang-Orang Islam, Hancurkanlah Kekufuran dan Orang Yang Syirik, Orang Munafik. Hancurkanlah Musuh-MusuhMu dan Musuh Agama, Ampunkanlah Dosa-Dosa Kami dan Saudara Kami Yang Terdahulu Telah Beriman dan Janganlah Engkau Biarkan Kedengkian Dalam Hati Kami Terhadap Orang-Orang Yang Beriman, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun dan Maha Penyayang”.

Ahlan Wassahlan Muharram 1432H dari Warga limbongan.net…

Tags: , ,