Jalinan Mesra Muslimat

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on February 28th, 2011 in DUN Limbongan No Comments

PADANG PAK AMAT, 28 Feb – Dewan Muslimat PAS DUN Limbongan di bawah pimpinan Puan Faudziah Yusuf hari ini menganjurkan satu program Jalinan Mesra pemimpin bersama rakyat di PASTI Nurrul Hidayah.

Kak Lah sedang menyampaikan amanat dan penerangan kepada Muslimat yang hadir

Program yang dihadiri oleh seluruh AJK Muslimat dari 44 Cawangan DUN Limbongan dan ibu bapa anak-anak yang belajar di PASTI ini lebih kurang 150 orang juga diadakan sempena Sambutan Maulidul Rasul. Penceramah jemputan khas ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan, YB Siti Zailah Muhd Yusuf yang juga merupakan Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Dalam ceramah beliau antara lain menyatakan bahawa kehadiran dalam majlis ilmu seperti ini ganjaran pahalanya adalah 1000 kali lebih baik dari solat sunat di rumah. Selain itu beliau juga memberi penerangan kepada isu-isu hangat di negara ini yang digembar-gemburkan dalam media-media tempatan sebagai makluman kepada semua hadirin.

Sementara itu menurut Ketua Dewan Muslimat DUN Limbongan, program ini antara lain tujuannya adalah untuk memantapkan gerak kerja Muslimat di peringkat cawangan bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 yang sudah tidak lama lagi. Beliau juga berharap agar aqidah Muslimat tidak akan dapat ditukar ganti dengan apa cara sekalipun dalam memperjuangkan agama Islam kerana janji Allah SWT adalah benar. Turut hadir dalam program ini isteri ADUN Limbongan.

Tags: , ,

Sambutan Maulidul Rasul di Markaz Al-Aitam

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on February 26th, 2011 in Markaz Al-Aitam No Comments

KG. WAKAF, 26 Feb – Ahli Jawatankuasa Markaz Al-Aitam hari ini telah mengadakan sambutan Maulidul Rasul di Masjid Darul Aitam yang dihadiri oleh pelajar dan guru-guru dari Madrasah Al-Khairiyah, warga Pondok Yaakub Samba dan juga penduduk sekitar.

Selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW

Program bermula dengan Solat Zuhur berjemaah diiringi dengan berzanji serta bacaan selawat ke atas junjungan besar Muhammad SAW. Program juga diisi dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh pelajar anak-anak yatim di bawah jagaan Markaz Al-Aitam. Jamuan makan juga disediakan sementara menunggu Ceramah Maulidul Rasul oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Mustafa yang diadakan selepas Solat Maghrib .

Turut hadir dalam program ini ADUN Limbongan yang dalam ucapan beliau berkata sambutan seperti ini amat digalakkan bagi terus meneguhkan keimanan kepada Rasulullah SAW. “Walaupun kita tidak pernah mengenali paras rupa dan peribadi sebenar Rasulullah SAW secara dekat, namun seperti sabda baginda, umat hari ini adalah yang paling mulia kerana sentiasa berselawat, kasih dan mengikuti segala ajaran baginda” ujar Drs. Hj. Zainuddin lagi.Beliau juga mengingatkan agar sentiasa mendekati majlis-majlis ilmu seperti ini kerana usaha untuk mendapatkan ilmu agama adalah tanda kesyukuran ke hadrat Ilahi.

Sementara itu Setiausaha Jawatankuasa Markaz Al-Aitam, Nik Yusof Nik Abdullah yang mempengerusikan majlis tersebut berharap agar anak-anak dapat mengkuti malah akan lebih baik lagi pada masa akan datang setiap amalan ibadah yang ditunjukkan oleh orang-orang yang terdahulu.

Tags: , ,

Sumbangan untuk OKU sebatang kara

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on February 25th, 2011 in DUN Limbongan, Lawatan No Comments

KG. MERKANG, 22 Feb – Penderitaan seorang wanita OKU yang hidup sebatang kara tanpa suami dan anak-anak di sini, mendapat perhatian ADUN Limbongan yang berkunjung menyampaikan bantuan.

Mek Som Manaf, 54 yang tinggal sendirian sekian lama selepas terpisah dari keluarga hanya mengharapkan pertolongan daripada jiran tetangga yang datang membantu menguruskan dirinya setiap hari. Mujurlah ada insan yang masih sudi untuk menjaga beliau yang kini dalam keadaan lumpuh separuh badan.

Keluarga Zubaidah Yusuf, 35 yang menceritakan tentang kepayahan hidup Mek Som nama panggilanya Mak Wa semasa lawatan ini membuatkan kami berasa sangat terharu. Ahli keluarga asal Mak Wa yang masih ada kian sukar untuk dihubungi. Ada yang sudah berpindah tempat tinggal atau nombor telefon menyebabkan sukar untuk Zubaidah memaklum kepada mereka sekiranya berlaku apa-apa yang tidak diingini lebih-lebih lagi keadaan kesihatan Mak Wa seringkali tidak menentu.

Drs. Hj. Zainuddin yang hadir bersama Penghulu Mukim Merkang dan beberapa orang dari MTD Limbongan menyerahkan sebuah kerusi roda dengan hasrat dapat membantu meringakan beban yang dipikul oleh Mek Som dan keluarga Zubaidah.

“Saya memohon agar sekiranya ada pihak-pihak yang sudi untuk memberi bantuan apa sekalipun kepada Mek Som memandangkan keadaan beliau yang daif dari segi mental dan juga fizikal” ujar Zainuddin lagi.

Tags: , , , , ,

Bantuan Peniaga Kecil Wanita

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on February 24th, 2011 in DUN Limbongan No Comments

WAKAF BERANGAN, 22 Feb – Pusat Khidmat Masyarakat DUN Limbongan hari ini mengadakan satu program penyampaian Bantuan Peniaga Kecil Wanita kepada 10 orang penerima di DUN Limbongan.

Drs. Hj. Zainuddin menyampaikan sumbangan kepada penerima sambil diperhatikan oleh Hj. Mohd Judin

Menurut Setiausaha MTD Limbongan Hj. Mohd Judin Samat, 10 orang penerima ini adalah antara yang bertuah menerima RM1,400 setiap orang sebagai suntikan untuk mereka terus menjalankan aktiviti perniagaan dengan lebih baik. “Penerima wajib memikul tanggungjawab untuk memanfaatkan rezeki dari Allah ini dengan sebaik mungkin” ujar beliau lagi.

ADUN Limbongan dalam ucapan beliau menyatakan apabila disebut perkataan usahawan, sebenarnya ianya merujuk kepada usahawan lelaki dan wanita. Dalam erti kata lain, kaum wanita tidak perlu satu istilah khas bagi menggambarkan bahawa wanita adalah seorang peniaga. Begitu juga ciri-ciri usahawan, tidak ada beza antara ciri-ciri usahawan lelaki berbanding usahawan wanita.

Dalam dunia perniagaan, wanita ternyata mempunyai kelebihan yang tersendiri jika dibandingkan dengan kaum lelaki. Wanita selalunya lebih bersedia menghadapi ragam pelanggan dan tekun memupuk perniagaan. Selain menjadi hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab kepada Pencipta, seorang wanita itu adalah juga seorang isteri juga seorang ibu. Ini bermakna sebagai seorang usahawan, wanita juga perlu menjayakan peranannya sebagai isteri solehah juga sebagai ibu yang bertanggungjawab terhadap masa kini dan masa depan anaknya.

Bantuan ini diharap bukan sahaja dapat membantu penerima menjana ekonomi keluarga sahaja namun dapat mentarbiyyahkan semua usahawan bahawa rezeki itu tidak lain datangnya dari Allah SWT sahaja. Jazakallahu Khairan Khatiraa.

Tags: ,

Sambutan Maulidul Rasul Dewan Muslimat PAS Kawasan Pasir Puteh

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on February 22nd, 2011 in DUN Kelantan, Pakatan Rakyat, Pasir Puteh No Comments

WAKAF BERANGAN, 21 Feb – Sambutan Maulidul Rasul 1432H anjuran Dewan Muslimat PAS Kawasan Pasir Puteh hari ini dihadiri oleh lebih 50 orang jemaah Muslimat di Dewan Majidiah.

Pemangku Ketua Dewan Muslimat mengetuai Selawat ke atas junjungan Rasulullah

Pemangku Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Pasir Puteh, Puan Dzulkaedah Ali Momahad menyatakan kehadiran pada petang ini adalah diluar jangkaan dan bersyukur kerana program yang dirancangkan berjalan dengan lancar.

Majlis ini juga diisi dengan tazkirah oleh Ustaz Khairul Ikhwan atau lebih dikenali dengan panggil Ustaz Budak Besar. Anak kelahiran Besut, Terengganu ini dalam tazkirah lebih kurang 1 jam menceritakan beberapa kisah Nabi Muhammad dalam perjuangan baginda menyebarkan agama Islam. Beliau juga mengaitkan bagaimana pemimpin yang ada pada hari ini perlu mengikut segala ajaran Rasulullah kerana baginda mendapat ajaran langsung dengan Allah SWT.

Menurut beliau, sehebat mana sekalipun ilmu manusia yang ada pada zaman ini tidak mungkin akan dapat menandingi setiap apa yang terkandung dalam Al-Quran dan apa jua hujah sekalipun jika di susuli dengan dalil Al-Quran pasti tidak akan dapat disangkal. “Tiada istilah dalam Al-Quran yang menyuruh kita untuk memperjuangkan bangsa atau agama lain selain dari Islam meskipun Nabi Muhammad itu dari bangsa Arab. Allah mencipta manusia dalam berbilang kaum hanya untuk manusia mengenali antara satu sama lain dan tiada syafaat dijanjikan Allah diakhirat nanti untuk bangsa tertentu melainkan umat yang beragama Islam sahaja” ujar beliau lagi.

Turut hadir dalam majlis ini ADUN Limbongan yang masih dalam keadaan tidak sihat namun tetap memberi sokongan kepada hadirin. “Jasa dan  kasih sayang Rasulullah kepada umat baginda tidak terbilang, justeru selawat ke atas baginda bukan sekadar di hari sambutan Maulidul Rasul sahaja malah untuk sepanjang hayat kita” kata Drs. Hj. Zainuddin.

Tags: , , ,

WAKAF  BERANGAN, 12 Febuari – Majlis Penyampaian Bantuan Skim Al-It’am untuk pusingan pertama kepada 100 orang rakyat miskin tegar di sekitar DUN Limbongan hari ini dimulakan dengan tazkirah yang disampaikan oleh YB Drs. Hj. Zainuddin Awg. Hamat.

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Penyayang, tazkirah disusuli dengan bacaan Surah Al-Maun yang menjelaskan tentang kecelakaan bagi orang-orang yang lalai dalam solat kerana mengherdik anak-anak yatim dan tidak memperdulikan kepayahan orang-orang miskin. Kelalaian dalam ibadah inilah yang menjadikan umat itu pendusta agama Allah serta takbur akan nikmat dan sumber yang berguna ciptaan dari Maha Esa.

Sedangkan manusia dicipta sebaik-baik kejadian, mengapa mesti ada bandingan? Miskin, kaya, hina atau sering dipuja semua nya ke satu destinasi akhir yang sama(akhirat). Drs. Zainuddin juga menerangkan betapa kejinya hamba Allah yang menggunakan anak-anak yatim dan orang-orang miskin ini untuk kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu. Sekiranya ada kemewahan dari segi harta dan kekayaan dunia, adalah wajib untuk kita berkongsi nikmat yang dikurniakan Allah.

Semua makhluk Allah yang masih menghela nafasnya dunia ini perlukan kebahagaian dalam meneruskan pencarian hidup sehari-hari. Kebahagaiaan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit dan ditagih dari sesiapa tetapi ianya datang dari hati individu itu sendiri. Tidak semua yang berharta itu bahagia sama seperti mempunyai keluarga yang besar di mana kebahagiaan tidak mudah dikecapi tanpa hidayah dari Allah.

Drs. Zainuddin juga dalam tazkirah hampir 1 jam ini berkongsi pengalaman beliau bersama para hadirin tentang penat lelah pentadbiran bersama Kerajaan Negeri Kelantan selama lebih dari 15 tahun pembabitan beliau. “Syukur, ujian Allah kepada pemimpin-pemimpin Kerajaan Membangun Bersama Islam ini menambahkan lagi keimanan dan meningkatkan prestasi kerja. Allah gerakkan hati-hati pemimpin negeri ini untuk terus menziarahi rakyat yang dalam kesusahan walaupun hadir dengan senyuman sahaja” ujar beliau lagi.

Dengan keberkatan dan kerahmatan Allah, Kerajaan Negeri Kelantan sehingga hari ini telah banyak menerajui perubahan dalam sistem pentadbiran meskipun Hukum Hudud Allah masih tidak dapat dijalankan dengan rasminya di negara ini  kerana ada pihak yang beranggapan hukum ini zalim dan tidak praktikal sedangkan mereka sedar perkataan Hudud ini disebut sebanyak 14 kali dalam 9 ayat-ayat suci Al-Quran.

Kerajaan yang perihatin terhadap rakyat mereka seharusnya memperluaskan skim ini ke setiap DUN dan di negara maju seperti Amerika Syarikat, mereka sering mengadakan bantuan tertentu kepada rakyat. Kelantan hanya sebuah negeri kecil juga begitu cakna dalam aspek tersebut biarpun tuntutan royalti minyak hanya menjadi tajuk-tajuk hangat media dan peluang untuk pihak yang berkaitan dengan penyelewengan ini terus menjadi hamba-hamba munafik. Sejumlah RM1.5 juta peruntukkan bagi Skim Al-It’am ini untuk seramai 100 keluarga dari setiap DUN akan menerima sumbangan beras 10 kilogram setiap bulan. InsyaAllah.

Skim Al-It’am, Takaful Kifaalah, Takaful Armalah dan banyak lagi program penjanaan ekonomi berteraskan halalan-toyyiban bukan lagi manifesto Kerajaan ini malah ianya telah membuktikan kepada seluruh rakyat dinegara ini betapa Sistem Pemerintahan Islam berdasarkan Al-Quran dan Sunnah adalah adil untuk semua.

Tags: , , ,