Majlis Penyerahan Kunci Masjid Al-Aitam

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on November 13th, 2010 in Markaz Al-Aitam No Comments

KG WAKAF, 12 November – Para Jemaah Markaz Al-Aitam hari ini dengan penuh rasa kesyukuran berkumpul seperti mana biasa pada setiap pagi Jumaat untuk Majlis Ilmu dan Solat Duha tetapi kali ini dalam suasana berlainan di Masjid Al-Aitam yang telah pun siap sepenuhnya.

Pada hari bersejarah ini satu Majlis Penyerahan Kunci Masjid oleh wakil tuan tanah Hj. Mohd Salleh bin Hj. Hussin, 64 kepada  Penasihat Markaz Al-Aitam Ayahnda Tuan Guru Ayah Mat Permatang Gading. Majlis yang dipengerusikan oleh ADUN Limbongan YB Drs. Hj. Zainuddin Awang Hamat ini dihadiri oleh lebih kurang 50 orang jemaah muslimin dan muslimat.

Masjid Al-Aitam yang berkeluasan 80 kaki persegi dan mampu menampung 400 orang jemaah dalam satu masa ini telah dibina dan dibiayai sepenuhnya hasil dari kutipan derma sepanjang tahun ini. Lot tanah wakaf ini asalnya dimiliki oleh keluarga Allahyarham Hj. Husin bin Hj. Hassan, Hjh. Bidah binti Seman, Hjh. Selamah Hj. Yaakub dan Hjh. Maklesom Hj. Saat.

Sementara itu ADUN Limbongan dalam ucapan alu-aluan beliau menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua yang telah terlibat dalam pembinaan masjid ini. Dalam merealisasikan wawasan DUN Limbongan sebagai Pusat Ilmu beliau telah menyusun beberapa aktiviti yang bakal diadakan pada masa akan datang bagi mengimarahkan masjid ini. Selain dari konsep ilmuan, aktiviti yang dirancang antara lain berkaitan dengan pelancongan dan kebudayaan Islam bagi menarik minat para jemaah untuk beribadat di sini selain terus memberi sokongan dan sumbangan dalam menyiapkan sepenuhnya Markaz Al-Aitam pada akhir tahun ini juga.

Drs. Hj. Zainuddin juga menyatakan hasrat untuk membawa rombongan AJK Masjid ini pada satu masa nanti melawat perkampungan Orang Asal Kg. Lambok Kuala Betis bertujuan untuk menyebarkan dakwah Islamiah dan sebagai penghargaan kepada AJK yang selama ini bertungkus-lumus dalam menjayakan pembinaan Masjid Al-Aitam ini.

Tags: ,

Ikhtifal PASTI raikan kanak-kanak asuhan Islam

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on November 13th, 2010 in DUN Limbongan, Pendidikan No Comments

PASIR PUTEH, 12 Nov – Majlis Ikhtifal PASTI bagi 2 Cawangan dalam DUN Limbongan iaitu PASTI Tarbiyatul Atfal dan PASTI Tarbiyyah Darul Hikmah hari ini telah berlansung dengan jayanya.

Majlis bermula pada jam 9.00 pagi di Kg. Nering ini telah dihadiri oleh Pengerusi PASTI, Ustaz Nazlan bin Mohd Hasbullah yang menyambut kedatangan ADUN Limbongan YB Drs. Hj. Zainuddin Awg. Hamat selaku Penaung PASTI DUN Limbongan untuk upacara perasmian.

Antara acara yang dilangsungkan adalah hafazan al-quran, bercerita, nasyid serta penyampaian hadiah kepada  para pelajar. Menurut Ustaz Nazlan, beliau menegaskan bahawa anak-anak adalah aset negara yang perlu dijaga dengan baik, berilah pendidikan yang terbaik kepada mereka, dekatkan mereka dengan Allah.

Dalam pada itu, Drs. Hj. Zainuddin dalam ucapan beliau menyatakan sempena budget Kerajaan Negeri Kelantan yang bertemakan penyayang untuk tahun 2011, insyaAllah akan memberi ruang untuk pembangunan PASTI termasuk menaikkan gaji tenaga pengajar untuk PASTI DUN Limbongan. Hasrat beliau itu sejajar dengan perkembangan Maahad Tahfidz Darul Huffaz yang kini dibawah didikan Ustaz Riduan Al-Hafiz telah mengasah beberapa orang pelajar berumur 5 dan 6 tahun belajar menghafal Al-Quran. Beliau juga mengharapkan agar Jawatankuasa Pemuda DUN akan lebih bertungkus-lumus pada masa akan datang dalam terus memartabatkan 20 Tahun Pemerintahan Kerajaan Negeri Kelantan Membangun Bersama Islam.

Sementara itu, Ikhtifal PASTI Tarbiyyah Darul Hikmah yang dilangsungkan di Kg. Kelubi yang dipengerusikan oleh Ketua Pemuda PAS DUN Limbongan, Ust Nazri (Tok Siak) yang diadakan pada sebelah petang memukau ibu bapa dan para hadirin dengan persembahan nasyid dan bacaan ayat-ayat hafazan oleh pelajar-pelajar yang diraikan.

Dalam majlis ini, ibu bapa yang tidak putus-putus memberi sokongan selama ini juga diberikan penghargaan dengan penyampaian anugerah khas di atas kerjasama dalam menjaga kebajikkan untuk anak-anak dan pembangunan PASTI itu sendiri.

Tags: ,

Ulasan ADUN Limbongan: Corat-coret PRk DUN Galas

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on November 9th, 2010 in DUN Kelantan, Umum No Comments

Catatan dibawah adalah hasil dari temubual wanribu bersama ADUN Limbongan:

Saya (Drs Zainuddin) diamanah sebagai Pengarah PRK Galas bagi UPU Batu Papan telah bertugas dengan seluruh jentera pilihanraya PAS Kawasan Pasir Puteh bermula pada 21 Oktober sehingga 4 November 2010. Fokus kami di UPU Batu Papan bermukim di Kg. Sungai Kepa, Taman Tropika, Kg. Batu Papan, Kg. Kundur, Kg. Kerinting dan Panggung Lalat. Kami dari Pasir Puteh bersama-sama dengan jentera PAS Kawasan Machang Terengganu dan Negeri Sembilan gabungan semua tenaga ini Alhamdulillah mampu melaksanakan tugas sebagaimana yang diamanahkan.

Suasana  PRK  kali ini memang terasa berat kerana kami sebagai Parti  yang menghadapi Kerajaan Pusat yang telah menggunakan segala kelebihan tanpa batas dan undang-undang,  maka kami menerima hakikat kekalahan dalam Pilihanraya Kecil DUN Galas  ini.

Statistik menunjukkan PAS kehilangan undi dalam Pilihanraya Umum 2008 sebanyak 264 undi walaupun BN memperolehi undi sebanyak 1109 yang menunjukkan peningkatan pengundi yang keluar menyebelahi BN terutama undi saluran generasi muda. Pada pengamatan kami masyarakat masih mempercayai segala janji-janji BN waktu pilihanraya dan ugutan-ugutan kepada masyarakat miskin. Media mereka selalu memainkan peranan suka memfitnah dan memburukkan PAS yang menyayatkan hati apabila UMNO sentiasa menolak Islam sebagai cara hidup bernegara.

Justeru itu tidak hairan kami mendapati pihak mereka menggula-gulakan masyarakat orang asli dengan jamuan minuman keras seperti yang telah berlaku di Pos Blau sehinggakan sampai hari ini masjid menjadi kosong akibat dari pesta mabuk waktu pilihanraya. Oleh itu pengajaran dari PRK Galas ini terutama penumpuan kepada dakwah  masyarakat orang asli, Kerajaan Negeri Kelantan haruslah mengambil langkah drastik  menubuhkan sekretariat orang asli di negeri ini.

Pengalaman kami selama berulang alik di kawasan penempatan orang asli di Kuala Betis walaupun sebahagian besar mereka telah memeluki Islam tetapi masih tidak melaksanakan tuntutan Islam. Justeru itu kami menumpukan  perhatian kepada kanak-kanak di Madrasah Kg Lambok  untuk membaca dan menghayati Al-Quran.

Bagi masyarakat sekitar di bandar Gua Musang,  mereka amat memerlukan media yang boleh menyebarkan maklumat tentang perkembangan Kerajaan Negeri Kelantan terutama Program Ladang Rakyat dan permasalahan Tanah Tinggi Lojing supaya masyarakat adil memberi penilaian terhadap usaha-usaha Kerajaan Negeri membangunkan Gua Musang  sebagai gerbang ilmu di selatan negeri ini.

Kegigihan petugas-petugas tempatan membantu jentera dari luar amat kami sanjungi walaupun terdapat kelemahan yang tidak boleh dinafikan. Dalam menghadapi arus pilihanraya yang singkat  seperti ini kami petugas dari Pasir Puteh dapat meyelami masalah setempat seperti kekeliruan mewartakan tanah kubur di Kg. Tanah Putih, maka alhamdulillah YB Dato’ Timbalan Menteri Besar telah merasmikan tanah perkuburan tersebut.

Prasarana yang masih ketinggalan terutama di Kg. Sungai Kepa dibaiki serta merta seperti jalan kampung yang ditar dan dibatukan. Masyarakat disekitar kebanyakkannya bergantung harap kepada rutin harian sebagai penoreh getah dan bekerja di kilang-kilang papan. Apa yang pasti, mereka masih ketinggalan dalam memacu pendapatan yang tinggi lebih-lebih lagi mengharungi hidup dalam pasaran kos yang agak tinggi di daerah ini.

Selain dari suasana pilihanraya yang boleh menyelongkar persoalan-persoalan hidup masyarakat,  ianya juga memberi impak kepada ketahanan jentera dakwah Kerajaan Negeri Kelantan bagi menjaga keharmonian hidup berasaskan kepada Islam yang menjadi teras pemerintahan negeri ini.

Jika dilihat dari sudut semangat kempen pilihanraya, PAS menang diawal lagi sewaktu penamaan calon tetapi jentera BN yang telah lama memasuki Galas sewaktu Allayarham Chek Hashim  masih ada lagi telah memberikan kelebihan kepada mereka MENDAKYAHKAN masyarakat setempat.

Sekian.

Galeri foto oleh wanribu:

Tags: ,