KEBAKARAN MUTIARA SHOPPING CENTRE

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on October 18th, 2010 in DUN Limbongan, Pasir Puteh No Comments

PASIR PUTEH, 18 Oktober – Perniagaan barangan runcit dan keperluan harian yang sudah hampir 15 tahun dipremis ini  musnah sama sekali dijilat api pada lewat petang semalam.

Pemilik perniagaan ketika ditemui menyatakan beliau telah menerima panggilan telefon pada jam 11.30 malam dari jiran yang berdekatan dengan tempat kejadian dan memberitahu kelihatan api didalam bangunan premis itu.

Suami beliau terus bergegas kemudiannya ke tempat kejadian dan apabila sampai, keadaan sudah tidak terkawal lagi. Kemudian pihak Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh tiba untuk memadamkan kebakaran.

Usaha memadamkan kebakaran oleh pihak Bomba dengan bantuan orang awam memakan masa hampir tiga jam setengah. Sementara itu, punca kejadian yang masih dalam siasatan pihak berkenaan masih diragui. Menurut pemilik premis, Safiah Bt. Yusof, 47 tahun kemungkinan besar puncanya adalah dari litar pintas.

Dalam pada itu ADUN Limbongan yang tiba pada pagi ini telah menyampaikan sumbangan segera Kerajaan Negeri Kelantan sebagai tanda simpatik atas apa yang dialami. Hadir bersama Drs. Hj. Zainudin ialah Pegawai Pembangunan Kebajikkan Masyarakat Pejabat Tanah dan JajahanPasir Puteh, En. Mohd Azuan.

Tags: ,

INTERAKSI LIMBONGAN.NET BERSAMA TOKOH TERKENAL

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on October 15th, 2010 in Umum No Comments

KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Lawatan bersama ADUN Limbongan di Kuala Lumpur disamping perbincangan peranan media bersama ulamak antara lain mewujudkan interaksi bersama beberapa orang tokoh terkenal.

Salah satu darinya mantan Ketua Pengarah JHEOA Dato’ Jimi Idris yang banyak memeberi nasihat dan tunjuk ajar disamping berkongsi pengalamannya yang luas dalam pengurusan sumber manusia dari pelbagai kaum di masa belia berkhidmat. Antara pesanan yang paling diingati adalah apabila berhubung dengan masyarakat orang asli, “Leh Hak dan Leh Yeak”.

Sterusnya Dato’ Jimi juga memberi pandangan beliau tentang politik semasa di negara ini: Jangan biarkan orang yang mempunyai IQ yang tidak tinggi, impaknya secara mudah menafikan hak orang lain seperti isu royalti minyak di negeri Kelantan. Beliau mencadangkan dasar pertanian Bertani Satu Beribadah seperti tanaman jagung menggantikan tanaman tembakau.

Kemudiannya, kami menziarah Dr. Daeng Sanusi yang merupakan bekas murid politik Dato’ Asri B Muda yang juga sebagai mantan Naib Presiden PAS, Mantan Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Mantan Ahli Dewan Rakyat Rantau Panjang, Mantan Pesuruhjaya PAS Johor. Beliau menyatakan berbuat baiklah kepada manusia sebagaimana Allah berbuat baik kepada seluruh makhlukNya.

Semasa beliau terlibat dalam politik di Kelantan beliau merumuskan bahawa orang Kelantan adalah orang yang paling baik (10 kali lebih baik) jika kita berbuat baik pada mereka dan begitulah juga sebaliknya.

PERBINCANGAN PERANAN MEDIA MEMBANTU UNJURAN MEMBANGUN BERSAMA ISLAM

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on October 15th, 2010 in DUN Kelantan, Lawatan No Comments

KUALA LUMPUR, 15 Oktober – YB Datuk Hj. Husam Bin Musa selaku Exco Kanan Kerajaan Negeri Kelantan meminta media samada media utama mahupun media alternatif dapat memainkan peranan yang lebih berkesan kearah membantu Kerajaan Kelantan membuat unjuran Membangun Bersama Islam.

YAB Tuan Guru pernah memberi perhatian serius gandingan ulamak dengan wartawan bahawa tugas wartawan yang dapat membuat laporan berasaskan Islam sama dengan ulamak yang mentarbiah ummah untuk membentuk manusia berpaksikan sahsiah Islam. Oleh itu wartawan apabila seiring dengan Islam, maka ianya sama dengan ulamak itu sendiri.

Dalam konteks ini YB Datuk Hj Husam antara lain supaya media khususnya Akhbar Siasah dapat memberi focus kepada promosi Ekspo Cheng Ho yang bakal diadakan di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu November ini.

Di samping itu juga, artikel khusus mengenai dinar dan dirham Matawang Syariah Kelantan yang telah dirancang sejak 4 tahun yang lepas mendapat sambutan seluruh negara ini diberi perhatian kearah mensinergikan peranan matawang tersebut sehingga dapat mengatasi masalah inflasi mahupun deflasi.

Ini kerana kita tahu bahawa wang kertas juga dipanggil ‘fulus’ yang digunakan dikalangan masyarakat jika dibandingkan dengan dinar dan dirham yang berasaskan logam emas dan perak akan memberi impak pertumbuhan ekonomi secara adil sesuai dengan konsep Keadilan Islam Untuk Semua.

“Saya selaku editor Akhbar Siasah menyambut baik saranan Datuk Hj Husam dan insyaAllah akan cuba untuk meletakkan satu prioriti Membangun Bersama Islam yang futuristik oleh Kerajaan Negeri Kelantan secara  lebih boleh dipertanggungjawabkan” kata Mohamad Sayuti Omar (MSO).

Perbincangan ini melibatkan Timbalan Exco Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan YB Drs. Hj. Zainuddin Awang Habat bersama advisor TEAM.

Tags: , ,

Memakmurkan Masjid TMFP Gua Musang

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on October 6th, 2010 in DUN Kelantan, ICT, Lawatan No Comments

GUA MUSANG, 4 Oktober – Menyedari peranan dan fungsi masjid dalam mentadbir kehidupan seharian, Kerajaan Negeri Kelantan menganjurkan satu program melalui Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan untuk mengimbas peranan masjid di Zaman Rasulullah SAW.

ADUN Limbongan yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan mewakili Kerajaan Negeri Kelantan menyatakan masjid adalah Rumah Allah yang menjadi Jantung Hati untuk umat Islam beribadat.

Menurut beliau lagi, masjid perlu dihias bukan sahaja pada bangunan masjid tersebut tetapi pengisian aktiviti keagamaan mesti di susun dan dikemaskinikan setiap masa.

Antara faktor utama yang boleh membawa ke arah itu adalah penyusunan AJK masjid yang efektif, banyak mengadakan kuliah yang dikendalikan oleh penceramah dari luar dan hebahan juga penting bagi memberitahu informasi dan perkembangan masjid. Sehubungan itu, Drs. Zainuddin telah melancarkan Facebook Masjid TMFP Gua Musang pada majlis tersebut.

Menurut Zainuddin lagi, AJK Masjid perlu mendekatkan diri dengan orang awam terutama golongan belia tidak kira dengan apa cara sekalipun untuk menarik kunjungan jemaah supaya lebih ramai lagi pada masa akan datang.  Pada hari ini, terdapat masjid yang hanya terhad kepada beberapa aktiviti keagamaan sahaja yang menyebabkan kunjungan jemaah yang ramai hanya pada hari-hari kebesaran Islam seperti Solat Jumaat dan Sunat Hari Raya. Disebabkan itu, jemaah lebih gemar untuk beribadat dirumah.

Drs. Zainuddin antara lain dalam ucapan beliau menyatakan hasrat Kerajaan Negeri Kelantan untuk membina Islamik Homestay di perkarangan masjid tersebut sejajar dengan pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan berkonsepkan Islam di Jajahan ini. “Membina masjid tidaklah susah sepertimana memakmurkannya juga”,  ujar Drs. Zainuddin lagi.

Tags: , , , ,

Sekali lagi wanribu bermusafir bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan, YB Drs. Hj. Zainuddin Ag. Hamat dan Adsivor TEAM Hj. Abdul Rashid ke Jajahan Gua Musang dalam siri dakwah  mencari ketentuan Allah SWT.

Bermula pada seawal pagi menunaikan Solat Subuh di Masjid Tengku Faiz Petra. Udara segar dan suasana pagi yang sangat sejuk di sini diiringi dengan kicauan unggas di pinggir perkarangan masjid ini membawa satu kelainan yang jarang ada di tempat lain.

Jemaah diimamkan oleh Imam 2 Masjid, Ustaz Hazuari yang menyampaikan kuliah Subuh kemudiannya membawa kami bertiga ke bilik Imam untuk membincangkan hal-hal pembangunan dan aktiviti yang mengimarahkan jemaah masjid.

Ustaz Hazuari yang berkelulusan dari Kota Baghdad, Iraq seorang yang sangat berdedikasi dan aktif bersama AJK Masjid yang lain menyuarakan rasa syukur dengan kehadiran kami kerana beberapa masalah yang tertangguh sebelum ini mendapat perhatian serius Drs. Hj. Zainuddin. Antara yang menjadi perhatian Drs. Zainuddin masalah berkaitan dengan tandas dan bilik mandi yang pengurusan kebersihan tidak ditahap yang sepatutnya sedangkan Masjid ini bukan sahaja dikunjungi oleh jemaah tempatan malah yang bermusafir dalam perjalanan ke jajahan-jajahan lain di negeri ini memandangkan Gua Musang adalah pintu masuk utama laluan dari pantai barat dan juga utara semenanjung. Lantaran itu, permohonan peruntukkan untuk membaik pulih semua fasiliti termasuk cadangan untuk membina Islamik Homestay diperkarangan masjid ini telah dibincangkan bersama dan mendapat persetujuan Drs. Zainuddin untuk di bawa ke peringkat seterusnya.

Perbincangan berlanjutan sehingga membawa kami untuk sarapan pagi bersama di medan makan berdekatan yang seterusnya mencambahkan idea untuk mengadakan satu sesi ceramah di Masjid ini berkaitan dengan Q&A (Qawiyyun Amin) dalam masa terdekat ini. Pakar Q&A, Hj. Abdul Rashid bersetuju untuk berkongsi kaedah ini dalam ceramah tersebut untuk kebaikkan dalam penyusunan ikatan Ummah dan pengurusan seharian tidak semestinya di masjid sahaja malah dalam menjalani kehidupan seharian, InsyaAllah.

Dalam kesempatan membincangkan isu berkaitan dengan masjid, Drs. Zainuddin juga menyentuh mengenai masalah  dalam kesihatan tubuh badan dalam usia yang semakin meningkat. Dalam berkongsi pengalaman bersama AJK Masjid dan beberapa pelanggan yang sedang bersarapan, kami juga sempat mempromosikan penggunaan Stevia sebagai pemanis pengganti gula yang kini hangat dipasaran produk kesihatan. Dua orang kenalan kami bersetuju untuk menjadi agen (dealer) untuk kawasan Gua Musang amat tertarik dengan produk keluaran Nisvia (Ekstrak 100% Stevia) yang kami bawa untuk sama-sama memberi kesedaran tentang penjagaan kesihatan dalam pemakanan terutama yang mengalami masalah Diabetes.

Kemudianya kami bertiga ditemani oleh Saudara Husin Embong ke Perkampungan Orang Asli Kg. Lambuk, Kuala Betis untuk sama-sama meraikan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Ramah Mesra anjuran JHEOA.

Kami tidak lama di Majlis ini kerana ada beberapa urusan masih perlu diselesaikan. Seterusnya kami berempat  menziarah keluarga Allayarham Che Hashim, bekas ADUN Galas yang meninggal dunia baru-baru ini. Suasana yang sayu masih jelas di wajah ahli keluarga dengan kehilangan seorang tokoh ketua keluar dan pemimpin yang disanjung rakyat. Drs. Zainuddin yang juga ADUN Limbongan amat rapat dengan rakan seperjuangan ini juga berasa sedih kerana beliau tidak dapat hadir bersama untuk penghormatan terakhir pada Allahyarham kerana sedang berada di China pada masa itu. Ucapan takziah kami kepada seluruh ahli keluarga dan juga rakyat DUN Galas.

Alhamdulillah, dengan bantuan Saudara Husin Embong dan rakan-rakan tempatan, beberapa urusan berkaitan dengan tempat penginapan untuk kempen Pilihanraya Kecil DUN Galas akan datang selesai dengan rahmatNya untuk BBC Kelantan, PAS Kawasan Pasir Puteh dan Machang.

Selesai makan tengahari di salah sebuah restoran di bandar ini, kami mula perjalanan  balik ke Pasir Puteh melalui Kg. Jerek untuk melawat tapak cadangan penubuhan Maahad Tahfiz Darul Hufaaz Cawangan Gua Musang. Dengan bantuan Saudara Wan Ibrahim, berasal dari Tendong  Pasir Mas tetapi sudah hampir 40 tahun tinggal di Jerek inimembawa kami ke tapak lokasi cadangan pembinaan. Amat sesuai sekali, udara yang nyaman dan suasana yang tenang di sini dijadikan institusi untuk hafal Al-Quran.

Kami seterusnya beredar ke kediaman Wan Ibrahim untuk menunaikan Solat Jama’ Zohor dan Asar. Paling bermakna dalam perjalanan kali ini, kami dapat merasakan kebesaran dan keaslian ciptaan Allah SWT yang jarang terdapat di lain-lain tempat terutama ketika menumpang mandi di sini. Airnya  yang nyaman dan sejuk menyegarkan tubuh badan kami untuk meneruskan perjalanan pulang.

Drs. Zainuddin ketika ditanya mengenai “Lawatan Kerja” kali ini, beliau menyatakan rasa syukur yang teramat sangat ke hadrat Ilahi kerana mendapat kemudahan dan pertolongan Allah SWT dalam menjalankan kewajiban dunia dan akhirat. Begitu juga dengan Advisor Team Hj. Abdul Rashid yang menyatakan bahawa inilah berkat doa dan Ibadi dalam menjalankan tugas seharian tanpa meminggirkan soal-soal akhirat dan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi Allah ini.

“Dan apabila…” maka segala ketentuan itu adalah dariNya.

Sekian.