Kembara Nuzul Quran Limbongan.net

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on August 28th, 2010 in DUN Kelantan, Lawatan, Pasir Puteh, Pendidikan No Comments

Alhamdulillah kembara Nuzul Quran yang telah dirancang sebelum ini telah berjalan sebagai mana takwimnya.

Imam Abdul Hadi dan Umar Al Faruq

Kehadiran dua pelajar Maahad Tahfiz Darul Huffazh, Lampung, Indonesia yang semakin dikenali dengan panggilan Pendakwah Cilik  iaitu Umar Al-Faruk dan Imam Abdul Hadi dibawah pengurusan  Ustazah Norhayati bt Ismail isteri kepada KH Nursalam bin Abdul Mutalib, maka kembara telah dimulakan di DUN Semerak pada 26 Ogos selepas Solat Asar di Masjid Lama Semerak.

Gandingan dua orang pelajar ini amat memberi makna yang besar kepada masyarakat setempat apabila persembahan bacaan Al-Quran daripada Imam Abdul Hadi dan seterusnya diikuti oleh pemidato cilik Umar Al-Faruq memukau pendengar.

Kepetahan Umar memukau para pendengar di Medan Ilmu, Kota Bharu

Antara aktiviti yang telah dijalankan kembara Solat Subuh serta Kuliah di Masjid Gong Chapa dan Madrasah Imam Al Shafie Seligi Baru,  Kuliah Asar di Masjid Ibrahimi, Kuliah Maghrib sementara menunggu waktu berbuka di Madrasah Al-Solihin Kg. jerat Semata, Kuliah Jumaat di Masjid Mukim Chekok, Ceramah di Medan Ilmu (tempat Kuliah  Jumaat Tok Guru) dan Ceramah Khas Nuzul Quran dan Solat Terawih di Maahad Saniah, Pasir Puteh.

Kuliah Selepas Solat Jumaat di Masjid Mukim Chekok

Sementara itu kembara akan diteruskan lagi sehingga 29 Ogos nanti yang akan berkunjung ke PASTI Lubok Kawah, Jerteh untuk majlis berbuka puasa serta Solat Terawih, Kuliah Subuh di Masjid Taman Kobena bersama anak-anak yatim, Tazkirah di PTJPP dan MDPP. Kembara akan berakhir dengan majlis Pemimpin Bersama Masyarakat di DUN Gaal di SMUA Bukit Yong.

YB Drs. Zainuddin sedang memberi gambaran kepentingan Darul Huffazh Majidiah kepada participant di Majlis Ceramah Nuzul Quran di Maahad Saniah

ADUN Limbongan sebagai Mursyid Kembara Nuzul Quran ketika ditemui berkata, InsyaAllah DUN Limbongan akan membuka Darul Huffaz Majidiah sempena Ramadhan tahun ini. “Saya tertarik dengan kata-kata KH Nursalam yang menyatakan matlamat utama beliau mengasas Maahad sejak 10 tahun itu adalah untuk melatih pelajar supaya menjadi ahli Syurga. Dari itu saya juga berazam dan inilah cita-cita saya untuk merealisasikan Darul Huffazh Majidiah Wakaf Berangan”, katanya.

Ustazah Norhayati menjelaskan sistem pengagihan anak angkat kepada Ustazah Wan Saedah

Ucapan terima kasih tidak terhingga daripada Ustazah Norhayati Ismail kepada para penderma yang sangat bermurah hati memberi sumbangan untuk tujuan menaik taraf Maahad Tahfiz Darul Huffazh, Lampung Indonesia.

Tags: , , , , , , ,

Majlis Perasmian Pelancaran Matawang Syariah Dinar & Dirham Kelantan

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on August 13th, 2010 in DUN Kelantan, Isu Semasa 1 Comment

KOTA BHARU, 12 Ogos – Selepas empat tahun Dinar Kelantan dilancarkan, hari ini di di bawah kepemimpinan ulama sekali lagi dicetus sejarah apabila melancar pula matawang syariah, Dinar dan Dirham Kelantan.

Majlis bersejarah itu disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan Trade Centre (KTC). Program sempena Ramadan tersebut dianjurkan bersama Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan Kelantan Golden Trade Sdn Bhd.

Dinar emas merupakan mata wang berasaskan emas yang dicadangkan digunakan di seluruh dunia terutama di negara-negara Islam. Istilah ini dipilih kerana berteraskan mata wang Islam yang pernah digunakan di negara Madinah al-Munawwarah pada zaman Nabi Muhammad lagi, iaitu dinar.

Bagaimanapun, penggunaan wang dinar dan dirham ini gagal diteruskan dengan kemerosotan empayar Islam pada abad ke 13 Masehi. Hadirnya penjajah yang membawa misi God, Glory and Gold iaitu agama, tanah jajahan dan kekayaan mengakibatkan umat Islam berjaya digoncangkan pegangan mereka terhadap agamanya sendiri lalu tinggallah Islam sebagai agama yang disebut di dalam masjid dan madrasah semata-mata dan tidak lagi didaulatkan sebagai syariat yang memerintah.

Kerajaan Negeri Kelantan menyedari betapa perlunya kekuatan ekonomi umat Islam ini dikembalikan. Pertama untuk mendapat keredhaan Allah SWT dan kedua untuk kesejahteraan seluruh umat manusia agar hidup aman damai tanpa sebarang penindasan ekonomi.

Penggunaan mata wang syariah ini akan diperluaskan dengan pembayaran zakat melalui dinar dan dirham. Di samping itu, dimaklumkan terdapat lebih 1000 buah kedai di sekitar bandar Kota Bharu yang sedia berurusan dengan pelanggan dengan menggunakan mata wang syariah dinar emas dan perak dirham yang dilancarkan hari ini.

Selain itu, pihak kerajaan akan melantik ejen jual beli yang beroperasi seperti money changer bagi memudahkan urusan tukaran mata wang ringgit dan mata wang syariah.

ADUN Limbongan yang hadir dalam majlis ini mengucapkan syabas dan tahniah di atas perasmian pelancaran matawang syariah emas dinar dan perak dirham ini khususnya kepada YB Dato’ Haji Husam bin Musa yang merupakan penggerak utama terhadap usaha ini.

Tags: , , ,

Dialog Persiapan ke Putrajaya Sempena Ambang Ramadhan

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on August 11th, 2010 in DUN Kelantan, Pakatan Rakyat, Pasir Puteh No Comments

PASIR PUTEH, 9 Ogos – Gerak kerja untuk menghadapi Pilihanraya Umum  ke-13 diteruskan lagi petang ini bertempat di Pejabat PAS Kawasan Pasir Puteh dengan mengadakan satu dialog kepimpinan yang dihadiri oleh  tetamu khas Prof. Madya Dr. Abu Hasan Abdullah yang tersohor sebagai Juara Debat Piala Perdana Menteri pada tahun 1984.

Hadir bersama dalam program ini ialah Yang Di Pertua PAS Kawasan Pasir Puteh, YB Dr. Nik Mazian, yang telah memberikan ucapan alu-aluan yang telah menyatakan rasa tidak puas hati beliau dengan prestasi jentera PAS Kawasan Pasir Puteh yang sehingga kini masih terdapat masalah dalaman yang boleh melemahkan perjuangan.

Beliau juga menyeru agar kepimpinan Parti PAS Kawasan Pasir Puteh khususnya dapat memanfaatkan sepenuhnya kelebihan pada Ramadhan akan datang agar dapat mengabdikan diri kepada Allah SWT agar perjuangan PAS mudah-mudahan lebih dirahmati dan diberkati olehNya.

Sementara itu ADUN Limbongan sebagai pengerusi majlis mengulas bahawa program ini bertujuan untuk untuk melatih para pimpinan peringkat Kawasan agar dapat mendalami dengan lebih lagi tentang betapa pentingnya  pencarian, pengkajian dan penyebaran informasi yang sasarannya adalah untuk memperkemaskan lagi kedudukan sebagai pemerintah  di negeri ini dan seterusnya mempertingkatkan prestasi untuk merampas Putrajaya pada Pilihanraya Umum yang akan datang.

Tags: , , , , , ,

Dialog Pemimpin Bersama Rakyat di Padang Pak Amat

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on August 3rd, 2010 in DUN Limbongan, Pasir Puteh No Comments

Padang Pak Amat, 29 Julai – Ahli Parlimen Pasir Puteh, YB Muhammad bin Husin dan ADUN Limbongan YB Drs. Zainuddin Awang Hamat petang ini menghadiri satu sesi dialog bersama rakyat dalam membincangkan isu-isu yang masih belum memenuhi keperluan rakyat tempatan.

Menyedari hakikat bahawa masih banyak isu-isu rakyat yang belum dapat diselesaikan, dialog secara bersemuka ini diadakan di Kedai Kopi Rosli yang dihadiri oleh lebih kurang 70 rakyat tempatan.

Beberapa soalan telah diajukan kepada kedua-dua wakil rakyat tersebut dalam bentuk bertulis dan juga lisan. Tidak kurang juga ada yang menyatakan rasa tidak puas hati dan kecewa dengan pimpinan kedua-dua orang wakil rakyat tersebut sehingga ada yang menyatakan bahawa tidak pernah terbaca diakhbar tentang hasil kerja mereka.

ADUN Limbongan menjawab segala persoalan dengan satu kesimpulan yang mudah agar sesi dialog ini tidak menjadi lebih hangat dengan tomahan dan kata-kata yang tidak sihat dari beberapa orang rakyat yang hadir. Menurut beliau, segala rungutan rakyat adalah pendorong baginya untuk terus menjalankan kewajipan dan berbakti untuk agama Islam. Menurut beliau lagi, program seperti ini mesti diadakan dengan lebih kerap lagi agar kedua-dua belah pihak mendapat kepuasan dalam apa jua persoalan yang timbul. “Bahasa pemimpin dan bahasa rakyat adalah berbeza, kami (pemimpin) menerima apa jua bentuk penyampaian asalkan ianya realistik dan logik” katanya.

Dalam pada itu, Drs. Zainuddin juga memberi taklimat pada akhir sesi dialog tentang padi organik yang sedang diusahakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan akhir-akhir ini. Beliau menyatakan hasrat untuk membawa kaedah penanaman padi terbaru ini ke Daerah Pasir Puteh khususnya DUN Limbongan bagi membantu menambahkan hasil tani rakyat tempatan.

Tags: , ,