Kelantan Fiesta: MB Tidak Akan Hadir Malam Ini

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on June 16th, 2010 in Isu Semasa, Umum No Comments

KOTA BHARU, 16 Jun: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama dengan Exco-Exco dan pegawai-pegawai kerajaan negeri tidak akan menghadiri majlis perasmian Karnival Kelantan Fiesta 2010 yang akan berlangsung pada malam ini.

Ini kerana, pengurus acara berkenaan, Red Carpet Worldwide, didakwa telah melanggar dan tidak menghormati persetujuan yang diberikan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra yang telah bersetuju untuk berangkat bagi merasmikan fiesta berkenaan sebagaimana yang dipersetujui banginda menerusi surat bertulis 14 Jun lalu juga tidak akan hadir atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Pengerusi Karnival Kelantan Fiesta 2010, Datuk Takiyuddin Hassan (gambar) berkata, kerajaan negeri telah diketepikan dan tidak dihormati dalam membuat keputusan.

“Mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini memutuskan untuk tidak mengambil bahagian dalam program Fiesta Kelantan yang akan berlangsung bermula 16 hingga 19 Jun ini.

“Pihak Red Carpet tidak menghormati persetujuan dan persefahaman yang diberikan oleh kerajaan negeri, antaranya kenyataan rasmi Red Carpet Worldwide, di dalam akhbar mengatakan yang merasmikan program ini adalah Perdana Menteri,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat Exco, di sini tengah hari tadi.

Red Carpet Worldwide, melalui siaran-siaran di seluruh bandar, mengatakan mereka adalah penganjur dengan kerjasama sahaja daripada kerajaan negeri.

“Ini satu gambaran jelas perlanggaran persefahaman oleh Red Carpet Worldwide,” ujarnya.

Takiyuddin menambah, beliau turut dimaklumkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustafa Mohamad, bahawa Menteri Besar Kelantan, tidak dibenarkan untuk berucap dalam majlis berkenaan walaupun juga telah dipersetujui sebelumnya.

Pada 5 Mei lalu, Exco telah bersetuju untuk menganjurkan program itu secara bersama antara kerajaan negeri dengan Red Carpet Worldwide dengan beberapa syarat.

Katanya, sebelum ini program berkenaan dirancang antara Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dengan Red Carpect yang bertindak sebagai  event management.

“Antara syarat yang dipersetujui bersama antaranya majlis perasmian itu akan dirasmikan oleh Pemangku Raja Kelantan, Muhammad Faris Petra.

“Yang keduanya, antara yang bakal berucap pada majlis itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,” ujarnya.

Katanya lagi, Pengerusi Jawatankuasa Induk juga telah melantik empat orang anggota Exco kerajaan negeri bagi mengurus program tersebut.

(Gambar:Sidang akhbar empat Exco Kelantan mengenai Kelantan Fiesta 2010)

Jelasnya, antaranya  Haji Abdul Fatah Mahmud, Datuk Mejar (B) Mohd Anizam Abdul Rahman, Dr Muhammad Fadzli Hassan dan beliau sendiri mengikut portfolio masing-masing.

Katanya lagi, keempat-empat Exco berkenaan juga sebagai Pengerusi Jawatankuasa Induk  telah diberi tanggungjawab untuk mengangkat surat kepada Pemangku Raja untuk menjemput  bagi merasmikan majlis berkenaan pada 16 Jun, iaitu malam ini.

“Alhamdulillah dua hari lepas, iaitu 14 Jun lalu saya telah menerima surat dari istana memaklumkan  Pemangku Raja telah menyatakan persetujuan baginda untuk berangkat malam ini di stadium.

“Namun beberapa hari ini, kerajaan negeri mendapat maklum dan telah ditunjukkan bukti yang jelas pihak Red Carpet Wordwide tidak mematuhi persetujuan dan persefahaman yang telah dicapai bersama,” ujarnya lagi.

Katanya, jika Menteri Besar tidak berucap, kemungkinan pihak Red Carpet  akan berucap bersama Perdana Menteri.

Sehubungan itu, kerajaan negeri mengumumkan untuk menarik diri dari menyertai program berkenaan di mana semua pemimpin kerajaan negeri, para pegawainya juga tidak akan hadir malam ini.

Jelas Takiyuddin lagi, acara-acara yang bakal dipersembahkan malam ini  melalui TIC seperti persembahan 1,000 pesilat, persembahan gendang besar, kejohanan bola sepak street soccer dan program di bawah majlis kerja raya juga ditarik balik. - Sumber dari Harakahdaily.net

Tags: , , , ,

Program Cakna Pengurusan MTD Limbongan Khamis Ini

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on June 14th, 2010 in Umum No Comments

LIMBONGAN, 14 Jun - Dalam menjana sistem pentadbiran dan pengurusan baru berteraskan kepada keadilan untuk semua, pengurusan MTD  akan mengadakan Program Cakna Pengurusan MTD  pada 17 Jun 2010 di Pejabat Kebajikan Masyarakat DUN Limbongan.

Menurut Setiausaha Program Cakna Rakyat DUN Limbongan Mohd Ruslan Muda, program ini melibatkan semua penjawat awam DUN Limbongan serta pemimpin-pemimpin setempat.

Program ini juga akan disertai bersama Air Kelantan Sdn. Bhd  yang akan memberikan taklimat ringkas mengenai hal-hal yang berkaitan dengan AKSB dan model pengurusan yang dipraktikkan di dalam syarikat  dalam menangani aduan pengguna. Ianya bertujuan untuk melatih lantikan politik DUN Limbongan mentadbir dengan lebih efektif pada masa akan datang.

Matlamat diadakan Program Cakna Pengurusan ini adalah untuk penghayatan Islam untuk keadilan semua, memahami konsep pengurusan berteraskan empati rakyat, menghargai integriti, akauntabiliti dan kredibiliti kepimpinan. Di samping itu, ianya juga bermatlamat untuk melaksanakan pengurusan jemaah secara telus, berhemah dan pro-aktif.

Tentatif program yang akan dilaksanakan antara lain sesi info kepimpinan, info kecaknaan yang mencakupi semua maklumat sosio budaya, sosio ekonomi serta aspek lain yang mempengaruhi tingkah laku gerak kerja kepimpinan yang berkesan.

“Dengan program ini, budaya cakna sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam dapat diselami, dilaksana, dihayati sehingga menjadi satu instrumen “KPI” kepada setiap petugas-petugas jemaah. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini” -  Drs. Zainuddin.

Drs. Hj. Zainuddin Bermuktamar Melalui Internet

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on June 12th, 2010 in ICT, Umum No Comments

PASIR PUTEH, 12 Jun – Masalah kesihatan yang masih belum stabil bukan menjadi alasan ADUN Limbongan untuk meneruskan perjuangan. Walaupun tidak dapat hadir untuk Muktamar PAS 56 di PUTIK, beliau tetap aktif berhujah memberikan idea-idea bernas dasar pemerintahan berkonsepkan Islam di Facebook.

Beliau mencadangkan agar dapat membanyakkan lagi wacana ilmu pentadbiran sebagai kerajaan alternatif dalam pemerintahan baru PR. Susun atur pentadbiran mestilah bermula dari sekarang supaya rakyat akan lebih yakin dengan akauntabiliti, kredibiliti dan integriti pimpinan PR dalam meraih kemenangan di PRU 13 nanti.

Beliau juga berbicara mengenai ekonomi yang berkonsepkan Ummah berteraskan keadilan pendapatan isi rumah secara sejahtera mengikut merit dan peluang taburan pembangunan agar dikecapi secara adil. Hutang rakyat dihapus, istilah subsidi dilebur, wujudkan Dana Kebajikan Rakyat (DKR).

Menurut beliau lagi, banyak teori yang dapat dijadikan panduan seperti mana huraian dalam Al-Quran oleh para ulamak seperti karangan Yusuf Qardawi tentang hubungan muslim dengan non-muslim dan buku Model Ekonomi Omar Al-Khattab.

Selain itu Model Ekonomi Mikra (MEM) juga patut dipraktikkan bagi peniaga-peniaga marhean seperti yang diamalkan di KB-BRI sehingga para peniaga seterusnya berjaya membeli gedung perniagaan berharga ratusan ribu ringgit di Wakaf Che Weh Zon Ekonomi BaruMPKB.

Tags: , , ,

Cikgu Din Jemput Pengantin Baru ke Cakna Rakyat

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on June 11th, 2010 in DUN Limbongan No Comments

PASIR PUTEH, 10 Jun- Musim cuti sekolah ini banyak jemputan Majlis Perkahwinan meraikan pengantin-pengantin baru. ADUN Limbongan yang masih dalam keadaan kurang sihat sempat menghadiri beberapa undangan sambil mempromosikan Program Cakna Rakyat DUN Limbongan yang bakal diadakan Julai ini.

Menarik dalam beberapa lawatan beliau adalah upacara akad nikah yang dilangsungkan di Masjid Mukim Padang Pak Amat hari ini dengan kehadiran ahli keluarga yang sangat besar meraikan pengantin baru. 19 adik beradik kesemuanya hadir dalam upacara tersebut di mana YB Drs. Zainuddin sempat merakamkan tahniah dan rasa bangga dengan ikatan kekeluargaan yang sangat teguh ini.

Sehubungan dengan promosi Cakna Rakyat DUN Limbongan, Drs. Zainuddin menjemput semua pengantin baru untuk hadir dalam program tersebut Julai ini bagi memeriahkan acara meraikan pengantin baru yang akan menerima cenderahati dari urusetia program itu yang bertemakan Kecaknaan Membawa Rahmat Kepada Semua.

Dalam masa yang sama ADUN Limbongan memohon kemaafan atas undangan yang beliau tidak sempat untuk menghadirkan diri kerana keadaan kesihatan yang masih belum stabil dan menghadiri Muktamar PAS ke 56 di PUTIK Pengkalan Chepa selama 3 hari bermula dari 11 Jun sehingga 13 Jun 2010.

Selamat Pengantin Baru dari warga limbongan.net.


Galeri foto oleh wanribu:

Tags: , , ,

ADUN Limbongan Promosi Cakna Rakyat

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on June 10th, 2010 in DUN Limbongan No Comments

PADANG PAK AMAT, 10 Jun- Lawatan kebajikkan YB Drs. Zainuddin hari ini bermotifkan untuk menyampaikan amanah sumbangan Tabung Kifaalah serta mempromosikan Cakna Rakyat DUN Limbongan yang bakal diadakan Julai ini.

Dalam lawatan ini juga ADUN Limbongan sempat beramah mesra bersama 2 orang kurang upaya (OKU) yang merintih hidup dalam serba kekurangan.

Beliau menyatakan bahawa inilah keperitan yang turut dirasai sebagai seorang wakil rakyat. “Tugas yang dipikul ibarat ayam menanti hampas kelapa di bawah jemuran” katanya.

Promosi Cakna Rakyat juga diteruskan oleh semua pihak yang terlibat melalui saluran UPU yang telah mengaktifkan AJK dan petugas-petugas dalam menghadapi hari yang gilang-gemilang nanti.


Galeri foto oleh wanribu:

Tags: , , ,

Ketua Penerangan Jentera N30 Prihatin dengan Isu Politik

Posted by Wan Rahibullah Hj. Wan Ismail on June 10th, 2010 in Umum No Comments

PADANG PAK AMAT, 9 Jun – Perjumpaan dalam perancangan Program Cakna Rakyat DUN Limbongan diteruskan lagi malam ini yang dipegerusikan oleh Haji Mohd Judin selaku Pengarah Cakna Rakyat DUN Limbongan 2010.

Dalam ucapan Ketua Penerangan DUN Limbongan Abd Halim atau lebih dikenali dengan panggilan Halim Bukit, beliau menegaskan bahawa Program Cakna Rakyat ini tidak boleh menimbulkan sebarang prasangka isu politik memandangkan falsafah sebenar program bertujuan untuk memberi kerahmatan dan kebahagiaan kepada semua.

Beliau juga menyeru agar semua lantikan politik di DUN Limbongan agar sentiasa bersiap sedia untuk menangani isu semasa dan sentiasa berfikiran positif dalam menjalani hari-hari yang semakin hampir dengan Pilihanraya Umum ke 13 nanti.

“Mana-mana yang difikirkan perlu, kita harus berbincang secara berjemaah  dahulu sebelum membuat sebarang tindakan agar kesan yang positif akan diperoleh pada masa akan datang. Ini adalah untuk mengelakkan sebarang tindakan dalam menangani isu politik dicemari dengan salah guna kuasa dan emosi yang negatif” ujar beliau lagi.

Manakala ADUN Limbongan yang juga memberikan ucapan dalam perjumpaan ini menyatakan kerja-kerja dalam program Cakna Rakyat ini memerlukan kata sepakat dan Ukhwah yang teguh supaya ianya dapat dijayakan dan mendapat rahmat dari Allah SWT.


Galeri foto oleh wanribu: